Menu

 

A+ A A-

ZAMAN NABI DAN SAHABAT ADA BANK ISLAM?

Terdapat banyak persoalan berkenaan asal usul bank dari perspektif Islam. Ramai ilmuwan yang menulis dalam bidang ini akan membuat kesimpulan tidak wujud sistem perbankan pada zaman Nabi mahupun sahabat seperti yang wujud pada zaman ini.

Adakah penubuhan bank-bank Islam dewasa ini dianggap meniru pemikiran Barat semata-mata, tidak bersih dari sudut asalnya serta tidak sesuai dengan sistem konvensional yang wujud?

zaman-nabi-sahabat-ada-bank-islam-1

Telah diterima dalam kalangan para ulama Islam, ciptaan-ciptaan baru dalam bidang kewangan dan hal ehwal urusan sesama manusia (iaitu bukan hal ibadat khusus) tidak menjadi masalah dalam Islam selagi boleh diubah suai dan tidak bercanggah dengan kehendak hukum Islam.

Selain itu, bagi mereka yang menyelusuri sejarah Islam akan mendapati beberapa asas kepada bank sejak zaman sahabat Nabi s.a.w. lagi dan zaman selepas itu, ia adalah seperti berikut:

1) Khidmat Simpanan (wadi’ah) oleh al-Zubair al-’Awwam

Ibn Sa’ad mencatatkan bahawa ramai yang datang kepada Zubair dan meminta untuk disimpan wang mereka sehingga Zubair menolak kerana berasa terbeban kemungkinan akan hilang wang tersebut sedangkan beliau sendiri langsung tidak boleh menggunakannya.

Justeru, Zubair meminta penyimpan untuk menyimpan atas dasar pinjaman dan bukan lagi wadi’ah. Sebagaimana katanya:

“Tidak, tapi jadikannya sebagai pinjaman, sesungguhnya aku bimbang ia akan hilang.”

Hasil daripada tindakan Zubair ini, semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah yang dipegangnya mencecah 2,200,000 dirham. Satu jumlah yang amat besar pada zaman tersebut. Sehingga terdapat penulis yang menamakannya sebagai Bank Zubair. Mungkin ia boleh dikira sebagai bank Islam yang pertama.

Melalui tindakan Zubair ini beliau telah menukar asas konsep wadi’ah yang hanya menjaga amanah dan menyimpan tanpa boleh digunakan, kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkannya dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut.

Natijah keuntungan yang di perolehi oleh Zubair banyak digunakan untuk membeli aset. Menurut al-Zahabi, tatkala Zubair meninggal dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham pun kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu juga meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2,200,000 dirham iaitu nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman.

2) Khidmat Perbankan oleh Ibn Abbas dan Abdullah Ibn Zubair

zaman-nabi-sahabat-ada-bank-islam-2

Diriwayatkan juga, Ibn Abbas r.a. mengambil wang perak di Makkah bagi membawanya ke Kufah, dan Abdullah bin Zubair pula menulis dan mengambil wang perak dari Kufah untuk dibawa ke Makkah dan seterusnya ke Iraq. Tindakan mereka ini merupakan salah satu daripada khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh perbankan moden seperti credit transfer.

Kesimpulan daripada pendedahan ini terbukti bahawa khidmat-khidmat perbankan selagi menepati hukum syariah maka ia dibenarkan. Tambahan pula jika kewujudannya boleh memudahkan dan memberi manfaat yang banyak buat masyarakat.

Antara kemudahan yang dapat dihasilkan melalui khidmat perbankan adalah seperti berikut:

a) Menguruskan keperluan kewangan dua kelompok dalam masyarakat, iaitu:

* Satu kelompok yang mempunyai lebihan wang dan ingin melabur, menyimpan dan mendapat manfaat daripada lebihan wang yang dimilikinya. Mereka terdiri daripada semua orang yang mampu membuat simpanan. Mereka digelar surplus unit.

* Satu kelompok lagi ialah mereka yang memerlukan tunai dan wang sama ada untuk keperluan perniagaan mereka atau keperluan asasi seperti pembelian kereta dan sebagainya. Mereka digelar deficit unit.

Hasil daripada kewujudan dua kelompok ini dalam masyarakat, kewujudan bank Islam sebagai orang tengah yang dipercayai (kerana ia sebuah institusi yang dipantau dan diberi lesen oleh Bank Negara) boleh membantu kedua-dua kelompok bertemu dan memanfaatkan antara satu sama lain.

b) Mampu menyediakan penjagaan wang tunai yang lebih selamat berbanding penjagaan oleh individu di rumah masing-masing.

c) Menyediakan khidmat pelaburan. Ini sudah tentu baik kerana tidak semua individu yang berduit mampu mencari dan memutuskan pelaburan apa yang terbaik dan selamat baginya. Justeru, kewujudan bank yang dipenuhi dengan para pekerja profesional yang berpengalaman dalam bidang ini mampu memberikan manfaat kepada orang ramai.

Ini hanyalah antara beberapa perkara yang menunjukkan kewujudan bank dalam system kewangan Islam dapat diterima selagi mana semua manfaat yang disebutkan di atas dapat dikawal selia dalam lingkungan hukum Islam.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas