Menu

 

A+ A A-

IMAM AL-BUKHARI PAKAR “MERAWAT” HADIS

MINATNYA sejak kecil lebih tertumpu pada mempelajari hadis dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis yang ditimba daripada sekian ramai alim ulama yang ditemuinya. Mungkin tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk memiliki sebuah koleksi hadis hasil karangan (susunan) sendiri.

Hinggalah pada suatu ketika beliau menerima usul daripada salah seorang gurunya, Ishak ibn Rahawaih. Kata gurunya, “Alangkah baiknya kamu menghimpun satu buku khusus untuk sunnah (hadis) Rasulullah yang sahih belaka.”

Cadangan gurunya itu menjadi titik mula ke arah satu usaha yang lebih cemerlang dan bersungguh-sungguh. Apa yang dianjurkan itu terus melekat di sanubarinya. Cuma pada peringkat awal beliau agak ragu-ragu menyatakan kesanggupan secara terus terang. Hanya tekad yang makin tersimpul kuat untuk cuba mengubah harapan sang guru menjadi realiti.

imam-al-bukhari-pakar-merawat-hadis-2

Bertempat di Masjidilharam, Makkah, Imam al-Bukhari mula menyusun kitab yang dicadangkan. Beliau amat mengutamakan ketelitian dalam tugasannya itu. Ia terbukti melalui pengakuannya sendiri, “Tidaklah aku memasukkan suatu hadis pun melainkan sesudah aku memohon istikharah dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang sunat. Dan sesudah aku betul-betul meyakini yang hadis itu adalah sahih.”

Imam Bukhari mengambil masa tidak kurang daripada 15 tahun untuk menyudahkan karangannya. Sehinggalah terhasilnya kitab himpunan hadis yang diberi judul al-Jamius Sahih (Himpunan Hadis Sahih) atau lebih terkenal dengan nama Sahih Bukhari. Dalamnya terhimpun lebih 4,000 buah hadis. Hadis-hadis itu diperoleh hasil saringan daripada 600,000 buah hadis.

imam-al-bukhari-pakar-merawat-hadis-1

Nama sebenar Imam Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim. Beliau diputerakan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194 Hijrah di Bukhara, Uzbekistan. Zaman kanak- kanaknya penuh dengan ujian dan penderitaan. Ayahnya meninggal dunia semasa usianya baru 5 tahun.

Beberapa tahun menyusul, Imam al-Bukhari menghidap sakit mata yang kronik. Penyakit tersebut memberikan impak yang sangat besar iaitu mengakibatkan penglihatannya hilang sama sekali. Sedangkan si ibu menaruh harapan yang cukup tinggi mahu melihat beliau berjaya dalam pengajian.

Harapan Ibu

Harapan ibu tidak pernah putus, saling bersulam usaha dan doa. Tidak pernah sekali pun berlepas pergantungan kepada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t. Beratnya duka dan resah ibu, sampai terbawa-bawa ke dalam tidur. Barangkali disebabkan terlalu mengharapkan mata anaknya sembuh, dia bermimpi tentang kesembuhan itu.

Ternyata mimpi itu suatu kebenaran kerana mentari yang muncul keesokan harinya sudah boleh dilihat oleh Imam al-Bukhari. Tidak terhingga gembiranya hati ibu. Berlimpahan pujian dan kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Allah s.w.t. Sambil tidak akan lupa mimpi aneh yang dialaminya – bertemu seseorang. Orang itu berkata kepadanya, “Sesungguhnya Allah telah menyembuhkan mata anakmu yang rosak berkat banyaknya doamu.”

Kecerdasan akal Imam al-Bukhari mula menyerlah semasa usianya menginjak 10 tahun. Setahun selepas itu beliau sudah berani menegur kesilapan gurunya. Bermulalah detik-detik gemilang dalam kariernya sebagai penuntut yang pintar. Imam al-Bukhari mula disegani dan dihormati. Semasa berumur 16 tahun, Imam al-Bukhari sudah boleh menghafaz dua buah kitab hadis karangan Ibn Mubarak dan Waqi’i.

Imam al-Bukhari sanggup berkunjung ke satu-satu tempat berulang kali kerana mahu mendapatkan hadis, biar pun hanya satu hadis. Kadang-kadang untuk memastikan kesahihan hadis yang diterimanya. Dan kadang-kadang untuk menguatkan lagi keyakinannya kepada periwayat hadis.

Tidak Mencatat?

imam-al-bukhari-pakar-merawat-hadis-3

Hasyid bin Ismail, rakan seperguruan Imam al-Bukhari bercerita, dia pergi ke Basrah bersama Imam al-Bukhari untuk menemui guru-guru hadis. Setelah 16 hari di Basrah, Hasyid Berjaya mencatat sejumlah 15,000 hadis. Sebaliknya Imam al-Bukhari tidak mencatat walau satu hadis pun. Hal demikian menghairankan Hasyid bin Ismail. Macam mana mahu belajar kalau tidak mencatat? Apabila ditegur, dengan tenang Imam al-Bukhari pun membacakan kesemua hadis yang dipelajari sepanjang 16 hari berada di Busra, tanpa melihat pada kitab atau catatan.

Pernah diadakan suatu majlis untuk menguji ketinggian ilmu hadis Imam al-Bukhari. Sepuluh orang ulama hadis mengemukakan 100 buah hadis yang telah diputarbelitkan. Tugas Imam al-Bukhari ialah “merawat” semula hadis-hadis yang telah “dicacatkan” itu. Ternyata tugas mencabar itu tidak langsung menyukarkan pakar hadis ini.

Pada tahun 250 Hijrah, Imam al-Bukhari berkunjung ke Nisabur. Beliau disambut meriah oleh ulama-ulama besar dan rakyat Nisabur. Tetapi tidak lama berlalu, kemeriahan itu bertukar rupa. Pihak pemerintah yang sememangnya sedari awal tidak menyenangi kedatangan kedatangan “Doktor Hadis” ini mula menampakkan ketidaksukaan itu.

Mereka memanggil Imam al-Bukhari menghadiri satu majlis ilmu. Di majlis itu, diajukan beberapa soalan yang amat sulit. Lebih berbahaya lagi apabila mereka mempersoalkan masalah Kalam Allah; adakah ia bersifat qadim atau baharu? Sedaya upaya Imam al-Bukhari cuba mengelakkan daripada ditanya persoalan seumpama itu.

Beliau tidak takut menerima nasib seperti Imam Ahmad Ibn Hanbal (menerima hukuman kerana masalah yang sama) semata-mata kerana hendak menjaga serta memelihara pegangan dan keyakinan masyarakat agar jangan sampai terkeliru.

Muhammad bin Yahya al-Zihli yang memerintah Nisabur tidak berpuas hati. Imam al-Bukhari diperintahkan supaya keluar dari wilayahnya.

Pulang ke Bukhara

Kemudian disebarkan fitnah keji terhadap ulama hadis tersohor ini. Setiap tempat diawasi ketat agar tidak menerima Imam al-Bukhari menyampaikan kuliah ilmunya. Imam al-Bukhari akhirnya pulang ke Bukhara. Suatu hari beliau dipanggil ke istana gabenor dan diminta membawa bersama dua buah karangannya – Sahih dan Tarikh.

Agak keberatan Imam al-Bukhari hendak menerima panggilan itu lantaran merasakan ia bertujuan tidak baik. Lebih-lebih lagi melibatkan dua buah karangan agungnya. Lalu beliau pun menolak pelawaan tersebut dengan sopan. Bukan kepalang marah gabenor sehingga Imam al-Bukhari tidak dibenarkan lagi berada di Bukhara, tanah tumpah darahnya sendiri.

Beliau beruzlah ke sebuah desa terpencil bernama Khartank di luar kota Samarkand. Di situ imam besar ini telah jatuh sakit. Cepatnya berita tersebar, datang beberapa orang pembesar Samarkand mahu membawa Imam al-Bukhari masuk ke kota. Imam al-Bukhari perlu menjalani rawatan di kota Samarkand.

Tetapi jemputan itu tidak sempat dipenuhi. Beliau rebah sebelum sempat menaiki tunggangannya. Rebah yang akhirnya (selepas beberapa hari) membawa Imam al-Bukhari berangkat ke alam barzakh. Diceritakan bahawa beberapa hari selepas dimakamkan, orang ramai dipesonakan dengan bau harum yang terbit dari pusara ulama terbilang ini. Hari ini, haruman itu terus membalut sebuah nama yang agung, al-Bukhari.

Gelaran “Doktor Hadis”

Dengan kehebatan hafalan beliau yang luar biasa, Imam al-Bukhari diberi gelaran “Doktor Hadis”. Orang yang mula-mula menggelar dengan gelaran tersebut ialah Imam Muslim, muridnya sendiri yang juga seorang ulama hadis terbilang. Kata Imam Muslim: “Berilah saya peluang mencium kakimu, wahai doktor dalam hadis yang dapat mengubati semua penyakitnya.”

Zuraimi Ismail

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Kembali ke atas