KEJUJURAN TERINDAH
- Ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya
- Kategori Terkini
- Read 5541 times
Mana nak cari segunung intan
Intan berlindung di balik ancala
Mana nak cari semurni impian
Bernaunglah kasih Allah Taala
Jujur itu seperti bunga
Jiwa memandang rasa bahagia
Kita biasa melihat slogan yang terpampang di dada akhbar, di kaca TV mahupun di segenap lembaran yang ada. Perkataan jujur kerap kali menghiasi ayat yang mengajak manusia menjadi lebih baik dan berintegriti. Jujur sahabat karib bagi ikhlas, amanah, taat, benar, suci, mulia dan segala-galanya yang bernilai indah di sisi Allah s.w.t.
Serangkai akhlak saling berganding
Bagai burung terbang seiring
Jika luka sayap berpaling
Jatuh merana di lurah asing
Jujur tidak kelihatan di mata ataupun didahi. Sesiapa sahaja boleh memiliki sifat jujur. Ia suatu perkara mulia yang terhasil daripada didikan dan pengalaman yang panjang. Jujur berkait dengan fitrah. Ia membawa erti semulajadi atau suci. Asal usul kita suci dan terpelihara. Didikan dan asuhan membentuk peribadi dan corak pandangan kita. Itulah asas kepada bunga-bunga kejujuran dalam kehidupan.
Kanak-kanak sukar untuk menipu. Perkataanyang terpacul dari mulut mereka adalah kebenaran yang tidak terselindung, tanpa hipokrit. Apa yang mereka rasa, akan diungkapkan. Sebab itulah dunia kanak-kanak indah kerana hidup dalam realiti yang tiada kepalsuan.
Fitrah suci Allah kurniakan
Sebagai rahmat untuk disyukuri
Hanya iman mampu bentangkan
Pandangan palsu atau hakiki
Sayang sekali, apabila semakin membesar, nilai itu kian terhakis. Apabila bermulanya peningkatan usia, nilai kejujuran semakin mereput dan usang. Hanya yang beriman kekal dalam lembayung kejujuran. Bertuah jadi orang beriman. Mereka dipercayai dan hidup dalam rahmat Allah. Bayangkan jika kita berhadapan dengan orang tidak jujur; apabila membeli kita ditipu, apabila berjanji kerap dimungkiri, apabila diamanahkan sesuatu semuanya tidak menjadi. Susah bukan?
Orang berdusta mencari peluang menambah dosa
Orang jujur mencari peluang mengumpul pahala
Hati orang yang jujur sentiasa terikat dengan Allah. Semua yang hendak dilakukan, mesti ‘dirujuk’ kepada Allah. Tidak ada masa untuk memikirkan khianat dan penyelewengan. Mereka hidup berpandu kebenaran dan ketaatan, tanpa berselekoh di jalan kemungkaran. Apabila berpuasa contohnya, tidak perlu mencari jalan hendak makan sembunyi-sembunyi pada siang hari kerana kejujuran hati membuatkan diri sentiasa dipandang dan diawasi oleh Allah.
Untuk apa menipu orang
Terjerat jua dek tingkah yang salah
Bagai tupai di dahan bersilang
Jatuh tersungkur mendapat musibah
Percayalah, orang yang jujur seolah-olah menyemai benih-benih hebat di sebuah taman yang segar dan mekar. Mereka barangkali dianggap lurus bendul kerana terlalu mengikut peraturan... tetapi, siapa yang berani menentang janji Allah kepada manusia yang beriman dan berakhlak mulia? Subhanallah,tenanglah jiwa insan yang hatinya harum dengan kejujuran. Di dunia lagi, mereka sudah dijauhkan daripada kesengsaraan. Walau tidak kaya, namun rezeki sentiasa ada. Walaupun tidak popular, tetapi orang sentiasa ingin mendekatinya. Walaupun tidak berpengaruh, kata-katanya terpakai sebagai rujukan serta terkandung hikmah. Walaupun tidak berwajah rupawan, kejujuran yang terpamer membuatkan wajahnya tenang untuk dipandang. Adakah kita mempunyai kualiti itu?
Jujur…
Jalan selamat ke pintu syurga
Jalan keluar daripada azab sengsara
Jalan mati daripada syaitan menggoda
Jalan penting untuk terlepas dari neraka
Jujur itu perlu diusaha
Biar rimbun segar dibaja
Jujur itu amatlah mudah
Hanya nafsu berkata susah
Carilah teman berwatak jujur
Hidup berkat lagi teratur
Orang jujur dipayungi rahmat
Di dalam diri bebas kesumat
Budaya jujur jadikan tradisi
Akhlak yang baik sama diwarisi
Jangan gadaikan harta syurgawi
Hanya kerana tamakkan duniawi
Janji Allah kita miliki
Dengan doa dan peribadi suci
Dusta itu penghancur iman
Bebaskan dari kamus kehidupan
Kerana kita orang Islam
Hidup dan mati
Hanya untuk-Mu ya Allah
AHMAD FEDTRI YAHYA
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.10

Ahmad Fedtri Yahya
Ahmad Fedtri Yahya merupakan seorang pengacara Malaysia Hari Ini. Beliau juga merupakan personaliti TV3. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Dunia Baru The Movie sebagai pelakon cameo. Antara program lain yang pernah dihoskan beliau ialah Dari Masjid Ke Masjid, Madrasah, Scoreboard, Kafe Aktif, Keluarga Bijak Everyday, Khurafat, Sebalik Malam dan pelbagai lagi.
Beliau ialah lulusan Sarjana Muda Komunikasi ( Filem & Penyiaran ) USM dengan minor Pengajian Islam. Beliau menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM ketika istiadat Konvokesyen USM 2003.
Beliau juga aktif menjadi pengacara pelbagai majlis dan menulis buku bertajuk 'Haruman Puisi Cinta' dan 'Pantun Penyeri Pengantin'. Beliau juga aktif menulis dalam majalah seperti Remaja, Gen-Q dan Tunas Cipta. Beliau ialah salah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) atau lebih dikenali sebagai KUSESS.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.