Menu

 

A+ A A-
Mohd Aizam Mas‘od

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

KENALI TAREKAT SESAT

SOALAN: Kalau dibaca satu persatu tentang ajaran sesat yang pernah disebarkan, kita boleh lihat macam-macam bentuk penyelewengan mereka. Antara semua itu, apakah bentuk penyelewengan yang paling banyak?

JAWAPAN

Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kebanyakan ajaran sesat berlaku dalam empat bentuk utama:

  • Ajaran kesufian dan kerohanian
  • Perbomohan dan persilatan
  • Khurafat dan tahyul
  • Penyelewengan pemikiran

 

Daripada empat perkara tersebut, ajaran kesufian dan kerohanian adalah bentuk yang paling banyak disalahgunakan oleh pembawa ajaran sesat. Ia banyak berkembang menerusi amalan tarekat tasawuf. Di Malaysia, ia bermula pada awal abad ke-20 dan mula ketara dalam masyarakat Islam sekitar tahun 1960-an khasnya di negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor. Walau bagaimanapun, ketika itu hanya sebahagian kecil masyarakat Islam yang mengikutinya.

Namun sekitar tahun 1970-an, pihak Jabatan Agama Islam Negeri dan JAKIM mendapati muncul beberapa tarekat yang menyeleweng, sebahagiannya ialah:

  1. Tarekat Islam
  2. Kumpulan Ikhwan/Al-Mas di Kuala Lumpur (1974)
  3. Tarekat Samaniah (1971)
  4. Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya (1970)
  5. Ajaran Ratib Kuat Hasan Anak Rimau (1971)
  6. Tarekat Mufaridiah (1970-an)
  7. Tarekat Kabullani (1983)

Kemunculan tarekat-tarekat sesat ini berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya, wujud orang-orang jahil yang mengaku sebagai pemimpin tarekat sehingga mendakwa dirinya syeikh mursyid. Ada pula yang mengaku dirinya telah mencapai martabat wali dan memiliki keramat. Ia bukan keramat sebaliknya ilmu sihir yang diperoleh menerusi bantuan jin dan syaitan.

Kesalahan Asas

SOALAN: Bagaimana caranya kita mengenal sesuatu tarekat itu menyeleweng atau tidak?

JAWAPAN

Kesalahan paling asas dan utama adalah penyelewengan dalam persoalan pokok atau usul. Sehinggakan al-Junaid al-Baghdadi menyatakan keadaan orang yang mencuri dan berzina adalah lebih baik daripada mereka.

Pencuri dan penzina mengetahui kesalahan yang dilakukan dan berpeluang untuk bertaubat. Tetapi bagi golongan ini, mereka mendakwa berada di makam tertinggi dan tidak perlu pulang ke pangkal jalan. Antara jenis penyelewengan dari aspek usul yang dianuti sesetengah kumpulan sufi sesat ialah:

Soal kemerdekaan dan perhambaan.

Mereka beriktikad seseorang hamba itu dikategorikan sebagai hamba selagi masih berlaku perhambaan antara dirinya dengan Allah. Namun, apabila telah “sampai” kepada Tuhan, maka ia telah merdeka. Ketika itu gugurlah perhambaan. Maka tiada lagi sebarang pertanggungjawaban ke atasnya seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain.

Soal kenabian dan kewalian.

Berdasarkan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir, mereka beriktikad kewalian lebih baik daripada kenabian. Oleh itu, guru mereka yang dianggap wali akan lebih ditaati berbanding ajaran nabi sendiri. Lalu timbul ketaksuban terhadap guru yang diikuti walaupun arahan dan perlakuannya menyalahi akidah dan hukum syarak.

Soal hulul.

Mereka beriktikad bahawa Tuhan menempatkan jasad dengan pengertian ketuhanan. Dengan itu, unsur kemanusiaan pada jasad akan lebur (fana’) dan diganti dengan sifat ketuhanan. Ketika ini dirinya telah mencapai tahap yang disebut Insan Kamil, iaitu suatu konsep yang disalah ertikan sebagai ‘kembali menjadi Tuhan’. Maka doktrin ini membawa kepada fahaman Wahdatul Wujud yang merosakkan akidah.

Fatwa JAKIM

SOALAN: Bolehkah ustaz nyatakan tarekat-tarekat yang dihukum sesat?

JAWAPAN

Berdasarkan rekod JAKIM, terdapat beberapa tarekat dan aliran kerohanian yang telah difatwakan haram di Malaysia.

1.Tarekat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya.

Pengasas: Prof. Dr. Hj. Sidi Syeikh Kadirun Yahaya.

Ajaran: Didakwa diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad sebelum Baginda menjadi Nabi. Melaluinya, Allah menurunkan Nur Muhammad kepada salasilah Prof. Kadirun Yahya. Roh mereka yang tidak memperoleh Nur Muhammad akan berada di awang-awangan dan tiada jaminan syurga bagi mereka.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-3 pada 15 dan 16 November 1981 telah memutuskan bahawa tarekat ini menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar dan mengamalkannya adalah sesat.

2. Tarekat Mufarridiyah (Syeikh Makmun)

Pengasas: Syeikh Makmun bin Yahya.

Ajaran: Mempercayai bahawa segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui malaikat bernama Karanaz. Orang yang bersahabat dengan malaikat ini ialah orang yang telah mencapai martabat jisim kelima dalam tarekatnya. Orang ini jisimnya adalah Allah dan rohnya adalah roh Allah. Dia juga boleh membela roh si mati daripada seksaan kubur. Oleh itu, orang yang ingin mendapat pembelaan terhadap ahli keluarganya yang telah mati boleh membayar kepada Syeikh Makmun.

Majlis Raja-raja dalam mesyuarat ke-117 pada 21 Februari 1980 telah mempersetujui pendapat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa ajaran ini bertentangan dengan ajaran Islam. Orang-orang yang terlibat dengan ajaran ini hendaklah bertaubat.

3. Tarekat Zikrullah Hassan Anak Rimau

Pengasas: Hassan bin Yaakob.

Ajaran: Guru ialah pemegang anak kunci syurga, manusia adalah Tuhan dan Tuhan adalah manusia. Tidak perlu percaya kepada Nabi Muhammad. Guru mendakwa dirinya Tuhan dan berkuasa melantik muridnya sebagai wali Allah. Ia juga mendakwa dirinya diresapi roh Nabi Muhammad dan suatu masa nanti akan bertukar menjadi Imam Mahdi.

Berdasarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan dan Terengganu, ajaran ini diharamkan pada tahun 1981 kerana mengandungi perkara-perkara yang jelas menyalahi akidah Islam sebenar.

Kesimpulannya, tasawuf pada asalnya merupakan suatu disiplin ilmu yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka ia merupakan salah satu ilmu yang amat dituntut untuk dipelajari. Namun begitu, segala ilmu hendaklah sentiasa berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan sunnah.

Memetik kata-kata tokoh sufi terkenal Imam al-Qusyairi: “Sesiapa yang tidak menghafaz al-Quran dan tidak menulis hadis, maka ia tidak boleh diikuti dalam urusan (tasawuf) ini, kerana sesungguhnya ilmu kita ini terikat dengan al-Kitab dan al- Sunnah.”

Wallahu a‘lam.

kenali-tarekat-sesat-2

USTAZ MOHD AIZAM BIN MAS’OD

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


 

AIR JAMPI KOMERSIAL

Soalan: Akhir-akhir ini ramai orang yang mencari kaedah perubatan alternatif secara tradisional dan lain-lain. Antara kaedah yang cukup popular dalam masyarakat ialah penggunaan air jampi untuk mengubati pelbagai penyakit. Persoalannya, apakah hukum membuat air jampi dalam Islam?

KORBAN NAZAR DI PULAU BESAR

  • Kategori Hukum

Saya ingin memohon penjelasan ustaz berkenaan amalan sesetengah pihak yang membayar nazar kepada makam wali Sultan al-Arifin di Pulau Besar, Melaka. Mereka beranggapan sebarang doa dan hajat yang “dimakbulkan” di pulau itu perlu dibayar dengan nazar korban sekurang-kurangnya seekor kambing. Pembayaran nazar itu didakwa tanda terima kasih atau kesyukuran kepada wali keramat tersebut. Mohon penjelasan ustaz berkenaan hal ini.

KEADILAN ALLAH BAGI ORANG KAFIR

Jenayah tidak mengenal siapa sama ada Muslim atau sebaliknya. Akhir-akhir ini saya memikirkan tentang nasib non Muslim yang menjadi mangsa jenayah di dunia. Kalau ikutkan sifir mudah, orang kafir akan ke nerakalah di akhirat nanti. Cuma saya berasa macam tidak adil kepadanya. Sudahlah di dunia teraniaya, di akhirat pun diseksa.

PLURALISME AGAMA MEROSAKKAN AQIDAH

Mohon ustaz jelaskan tentang pluralisme agama. Hari ini ramai orang memperkatakan tentangnya.

Jawapan

Pluralisme agama itu satu istilah yang merujuk kepada fahaman yang menyamakan semua agama dengan dakwaan asasnya: kebenaran ada dalam semua agama. Maka kejayaan untuk kehidupan akhirat boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Menurut Peter Byrne, profesor di King’s College London, UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis:

KENAPA ALLAH CIPTAKAN IBLIS

Saya asyik terfikir, Iblis itu jahat dan menghasut manusia agar membuat kejahatan sedangkan Allah inginkan kita menjadi baik. Jadi kenapa Allah ciptakan juga Iblis?

Iblis ialah sejahat-jahat kejadian yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Ramai orang secara tidak sedar beranggapan bahawa Allah tidak sepatutnya mencipta Iblis. Bukankah lebih baik jika Iblis tidak wujud? Maka semua manusia akan lebih cenderung untuk beriman dan taat kepada Allah.

HANTU OH HANTU

Hantu Boleh Memudaratkan Manusia?

PADA asalnya saya memang tidak percaya bahawa hantu boleh mengapa-apakan manusia sehingga membunuh sebagaimana yang disogokkan dalam drama hantu. Namun apabila berlaku tragedi adik saya yang tersesat di dalam hutan, saya berfikir semula. Mungkinkah hantu boleh memudaratkan manusia?

TITIAN SIRAT ITU WUJUD

Titian Sirat Tidak Disebut dalam al-Quran?

SAYA terkejut membaca satu artikel di Internet yang mengatakan bahawa titian sirat sebenarnya tidak wujud. Buktinya ia tidak disebut dalam al-Quran. Benarkah begitu?

FENOMENA TAKUT HANTU

Masyarakat kita sangat gemar dengan cerita-cerita hantu. Apa sebenarnya yang digambarkan oleh orang Melayu mengenai hantu?

Jawapan : Mungkin kita perlu bertanya dahulu adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa apabila roh seseorang tidak tenteram, maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup? Hantu dalam masyarakat Melayu sering kali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan.