Menu

 

A+ A A-

NASIB ANAK PEREMPUAN

Cucu-cucu nenek yang dikasihi,

Semenjak dua menjak ini, keselamatan dan maruah anak-anak remaja perempuan sering tergugat. Ada yang diculik, dirogol atau tidak pulang-pulang ke rumah. Di manakah silapnya dan apakah puncanya mereka mendapat nasib yang sebegitu menyedihkan? Nenek masih ingat lagi masa zaman nenek dulu. Sekolah jauh, kenderaan pula tiada. Hendak beli basikal tak mampu. Jadi nenek dan kawan-kawan terpaksa berjalan kaki lebih kurang 30 minit ke sekolah.

Alhamdulillah, walaupun kiri kanan semak-samun dan terpaksa meredah ladang getah, kami masih boleh pulang dengan selamat. Petangnya pula mengaji ke rumah ustaz terpaksa berjalan lagi hampir 40 minit, tetapi tidak pernah diganggu orang. Mak ayah pula tak menghantar, percaya sepenuhnya kepada kami.

Berbeza sungguh dengan suasana sekarang. Pantang emak ayah terlepa, anak-anak dah dibawa lari orang. Bermain di taman permainan berhampiran rumah pun sudah tidak lagi selamat. Namun nenek akui zaman sekarang banyak dugaannya. Marilah kita renungkan cu, apa yang Allah telah bekalkan untuk kita semua demi keselamatan di dunia dan di akhirat. Iaitu nikmat iman dan Islam.

nasib-anak-perempuan-1

Islam telah menggariskan atau mensyariatkan perkara-perkara yang baik untuk kita taati. Nenek suka hendak mengingatkan terutama remaja perempuan, jagalah keselamatan diri dan maruah keluarga. Bagaimana?

Hiasi Diri dengan Sifat Malu

Kita mestilah malu membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. Misalnya melepak di tepi jalan raya, ketawa terkekeh-kekeh dan sebagainya. Lihatlah akhlak Rasulullah s.a.w., baginda terkenal memiliki sifat pemalu. Baginda malu jika berbuat sesuatu yang menjatuhkan maruah Islam.

Lebih Suka Menetap di Rumah

Ini bermakna cucu menghabiskan banyak masa di rumah selepas masa di sekolah. Bukannya berkeliaran dengan kawan-kawan di taman, di cyber cafe, di pusat membeli-belah dan sebagainya.

Menutup Aurat

Sekiranya keluar rumah ketika ada urusan atau hendak bermain, pakailah pakaian yang menutup aurat. Tidak menampakkan anggota kecuali muka dan tapak tangan.

Bersahabat dengan Kawan-Kawan Perempuan yang Baik

Maksudnya kawan-kawan yang suka mengajak cucu berbuat kebaikan, dan takut untuk melakukan dosa. Mereka juga orang yang boleh dipercayai dan tiada kepentingan diri.

Menjaga Pergaulan

Perkara ini paling hendak dijaga. Tidak bergaul bebas dengan mana-mana lelaki. Kita dibenarkan berhubung dengan mereka jika ada urusan penting sahaja. Itupun mesti ditemani kawan-kawan perempuan yang baik tadi.

Ditemani Muhrim

Jika pulang dari kelas malam adalah lebih baik ditemani ayah atau saudara lelaki. Langkah berjaga-jaga ini demi keselamatan kita daripada kejahatan malam. Kejahatan sering berlaku pada waktu malam. Amalkan sifat lebih suka berjalan dengan ibu bapa atau abang. Apabila keluar bersama ibu bapa, keselamatan akan lebih terjamin.

Jauhi Sikap Menunjuk-nunjuk

Jauhi sikap menonjol diri atau menunjuk-nunjuk di hadapan orang. Sama ada melalui pakaian, perbuatan dan sebagainya. Sikap ini menimbulkan rasa jelik pada mata-mata yang memandang. Anak siapa ni, eh?

Jangan Berlama-lama di Rumah Kawan

Banyak kejadian yang tidak diingini berpunca dari sikap kurang berwaspada. Maklumlah, malang tidak berbau. Silap haribulan, cucu terkorban menjadi mangsa rogol kawan-kawan lelaki, abang atau ayah kepada kawan cucu.

Jauhi Tempat Mencurigakan

Jauhi tempat-tempat yang mencurigakan atau tempat yang sunyi dan jauh dari penglihatan orang lain. Mana tahu, ada bahaya yang menunggu. Nenek percaya senjata yang paling ampuh ialah berdoa sebelum berurusan di luar. “Dengan nama Allah, saya bertawakal kepada Allah. Tiada daya atau kekuatan kecuali Tuhan Yang Maha Azim.” Ibu ayah belum tentu dapat melindungi kita setiap waktu. Begitu juga nenek yang dah tua ni. Siapa lagi jika tidak Allah Yang Maha Perkasa. Dia sahaja tempat untuk kita memohon perlindungan.

 

 

nasib-anak-perempuan-2

 

 

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.1


Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas