Ego Si Katak
- Ditulis oleh Solusi
- Kategori Angguk Geleng
- Read 94879 times
SEEKOR anak katak pulang ke pangkuan ayahnya dengan tercungap-cungap.
“Ayah, saya baru pulang daripada bermain di sawah padi. Saya jumpa seekor binatang namanya kerbau...”
“Ah, apa nak dihairankan?” kata bapa katak walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pernah melihat kerbau.
“Kerbau sangat besar ayah...”
“Ah, ada sebesar ini?” tanya bapa katak sambil mengembungkan perutnya.
“Tak ayah, lebih besar lagi.”
“Ada sebesar ini?” kata bapa katak membesarkan lagi perutnya.
Anak katak menggeleng-gelengkan kepalanya. Bapa katak bertambah geram dan marah.
“Ada sebesar ini?” Perutnya menjadi sangat besar hingga nafasnya tercungap-cungap.
Anak katak terus menidakkannya. Perut bapa katak dikembungkan lagi. Begitulah berlaku berulang-ulang kali hingga...
Pop! Perut bapa katak meletup. Bapa katak pun mati. Anaknya kebingungan, mengapa ayahnya sanggup mati hanya kerana hendak menandingi “kebesaran” seekor kerbau.
Pengajaran: Berlagak kaya menjadikan kita papa. Ada pihak yang begitu beriaia ingin mempromosi atau menunjuk-nunjuk kekayaannya, padahal ahli hikmah mengungkapkan, jika seseorang perlu memberitahu orang lain yang dia kaya, dia sebenarnya tidak kaya. Perlukah Bill Gates misalnya, memberitahu dunia yang dia kaya? Ironinya, ramai si kaya “jadi-jadian” yang menanggung hutang secara diam-diam atau hidup menjadi penipu (con man) sepanjang zaman atau terpaksa mati sebagai seorang miskin pada akhir hayatnya.
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!