MARI BELAJAR DAN AJARKAN AL-QURAN
Teringat nenek ketika masih kanak-kanak dahulu. Setiap hari kami sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan berjalan beriringan ke Kampung Hulu. Kami belajar mengaji di rumah Tuk Hassan.
Kalau tak silap, nenek masa itu baru berumur enam tahun. Kami berjalan melewati ladang getah, kemudian meniti jambatan rel kereta api dan berjalan lagi melalui kampong sebelah untuk ke rumah Tok Hassan. Kami terpaksa berjalan selama 15 minit untuk pergi sahaja.
Tok Hassan merupakan askar pencen, pernah menjadi ustaz di sebuah kem tentera. Suaranya kalau menggertak macam halilintar.
Kami memang takut dan hormat pada Tok Hassan. Sampai saja di rumahnya, masing-masing mengambil rehal (alas al-Quran daripada kayu) dan Muqaddam masing-masing. Kami membentuk bulatan besar dan baca berulang kali. Jika tidak, Tok Hassan akan bersuara kuat sambil melibas rotannya yang panjang ke atas lantai papan.
Nenek dapat mengkhatamkan al-Quran ketika darjah tiga. Kalau ada yang khatam al-Quran, kami seronok kerana mesti ada hidangan. Setelah selesai semuanya mengaji, kami semua makan hidangan bersama-sama. Inilah antara aktiviti yang seronok waktu kami kecil. Ketika itu kebanyakan rumah belum ada televisyen, malah radio pun segelintir sahaja.
Cucu-cucuku yang dikasihi,
Mengapa nenek ceritakan kisah lalu ini? Zaman dulu susah, tiada kereta, motosikal mahupun basikal. Hendak pergi mengaji memang jauh, namun kami istiqamah bersama-sama berjalan kaki pergi mengaji.
Keadaan sekarang sudah jauh berbeza. Zaman kini kebanyakan rumah ada kenderaan sendiri. Sepatutnya urusan mengaji lebih senang. Namun apa yang berlaku ialah sebaliknya. Anak-anak remaja sudah tidak minat mengaji. Mengaji sekerat jalan. Kalau ada yang tamat al-Quran pun, setelah khatam, al-Quran ditutup terus.
Jadi, masa santai diisi untuk apa? Ya, ramai yang lebih berminat mengisi masa dengan bermain games, mendengar radio dan menonton TV, berbanding dengan membaca al-Quran. Tambahan pula sekarang ini sudah ada Astro yang boleh diikuti siarannya 24 jam. Ini berbeza dengan para sahabat Nabi yang menjadikan malam sebagai masa “berbicara” dengan al-Quran. Apabila seseorang rapat dan menghayati al-Quran, bermakna dia merapatkan dirinya kepada Allah s.w.t.
Melepas Batuk di Tangga
Alhamdulillah, nenek lihat ramai juga yang menghantar anak-anak ke kelas mengaji seawal usia lima tahun, lantaran masingmasing sibuk, tidak sempat mengajar sendiri. Namun adakah ibu bapa itu sendiri mahir dalam mengaji al-Quran?
Hakikatnya ramai ibu bapa yang masih tidak tahu membaca al-Quran dengan baik dan tepat. Tahukah cucu-cucu semua, melakukan kesalahan bacaan al-Quran itu sendiri adalah suatu yang haram. Oleh sebab itu, hokum membaca al-Quran dengan bertajwid adalah fardu ain bagi setiap orang.
Langkah yang baik adalah dengan mempelajari al-Quran dengan berguru. Belajar al-Quran merupakan amalan kebaikan dan mendapat ganjaran pahala. Rasulullah s.a.w. memberi penekanan tentangnya. “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Siapakah orang yang boleh kita sampaikan ilmu membaca al-Quran ini? Kita boleh mengajar pada suami atau isteri, anak-anak atau kawan-kawan yang masih belum membaca dengan tepat.
Khatam Sekali Seumur Hidup
Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita. Terutama pada remaja, sibuk dengan alam persekolahan dan pekerjaan. Pernah nenek bertanya kepada seorang remaja sekolah menengah. Bilakah masa dia mengaji al-Quran? “Adalah ngaji sekali-sekali… tapi saya masa darjah enam dah khatam nek.” Maknanya, dia kurang mengaji pun tidak mengapa kerana telah khatam. Ada pula yang beralasan, “Mana masa hendak mengaji, petang bersukan, malam ada kelas tuisyen.” Boleh diterima pakai ke alasan ini?
Cucu-cucuku yang dikasihi,
Hari ini semakin ramai remaja sudah tidak berminat membaca al-Quran. Perkara ini patut membimbangkan kita. Mereka lebih berminat membaca novel, komik, menonton CD, lepak di café siber dan sebagainya. Jika tanda-tanda ini ada pada anak-anak kita, cepatlah kita bimbing supaya minat mereka kembali kepada al-Quran. Bagaimana?
- Kita dan anak-anak bersama-sama mentahsinkan (memperelokkan) bacaan. Katakanlah dua kali seminggu ada seorang ustaz akan mengajar atau mendengar bacaan setiap ahli keluarga kita.
- Menghadiri kelas-kelas tajwid atau kelas kemahiran membaca al-Quran.
- Ajak anak-anak sama-sama menghafaz al-Quran, mulai dengan surah-surah ringkas.
- Bertadarus sambil menjadikan ia sebagai aktiviti tetap. Satu muka surat sehari pun jadilah. Tidak perlu tunggu bulan puasa untuk bertadarus.
- Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang dalam perutnya tidak ada sedikitpun bacaan al-Quran, seperti rumah yang tidak berpenghuni.”
Oleh itu cucu-cucuku, jangan tinggalkan Al-Quran. Jangan biarkan al-Quran hanya tersusun kemas dalam almari. Bacalah ia supaya hati kita sentiasa lembut dan bersih.
Pesan Nenek
Sumber artikel daripada majalah Solusi 6
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!