Menu

 

A+ A A-

HILANGNYA SENSOR PEDULI

“USTAZAH, saya tak mahu masuk ke kelas agama.” Dengan mimik muka jemu, seorang pelajar kacukan Melayu-Cina membentak.

“Kenapa?” Si guru cuba menyelidik.

“Bosan! Bukan penting sangat pun subjek itu.”

Sebaris jawapan itu membuatkan si guru terkedu. Dua hari kemudian, ayah pelajar itu telah menghubungi sekolah. Beliau meminta supaya pihak sekolah mengecualikan anaknya daripada mengikuti kelas Agama Islam.

“Anak saya tak minat subjek itu. Dia tak mahu ambil,” terang si ayah bersungguh.

“Maaf, encik. Semua pelajar Islam diwajibkan mengambil subjek itu. Tidak ada yang terkecuali,” jelas seorang ustaz yang ketika itu menjawab panggilan si ayah.

“Anak saya tidak perlu ambil subjek itu kerana dia kena mengikuti kelas tambahan. Ada subjek lain yang lebih penting dan perlukan lebih perhatian.” Si ayah tetap berkeras membantah.

hilangnya-sensor-peduli-1

Dialog ini adalah realiti yang biasa didengari. Segelintir ibu bapa hanya mengutamakan pengajian akademik yang bersifat fardu kifayah, tetapi dalam masa yang sama mengkesampingkan ilmu fardu ain. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang membimbing anak-anak untuk mencapai kecemerlangan bersepadu. Kesepaduan yang dimaksudkan adalah keseimbangan di antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah yang menjadi bekalan untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar memberikan makanan fizikal kepada anak-anak, bahkan lebih penting adalah memberikan makanan rohani kepada mereka. Perkara ini telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah), tetapi orang tuanyalah yang menjadikan dia seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya?”

Menyemai anak-anak dengan benih keduniaan akhirnya melahirkan generasi muda yang tumpul rasa keagamaan dalam diri. Kedangkalan terhadap agama telah membentuk peribadi mereka sebagai anggota masyarakat yang tiada sensor peduli. Hal ini boleh ditinjau di sekolah-sekolah sewaktu guru-guru mengajar subjek agama seperti Pendidikan Islam. Deria sensitiviti pelajar bagai ‘beku’ apabila mereka boleh ketawa ketika diceritakan berkenaan seksaan azab neraka. Tiada rasa gentar sedikit pun. Sesetengahnya pula berani bergurau senda dan memperolok-olok hukum agama.

hilangnya-sensor-peduli-2

Apa yang didengar umpama hiburan yang menggelikan hati. Memasuki kelas agama tidak lebih daripada sekadar memenuhi waktu lapang. Berikutan tiada minat terhadap agama, kebanyakan pelajar juga tidak mampu mendapat skor yang baik bagi subjek keagamaan ini, tidak seperti mana mereka mampu mendapat gred cemerlang bagi subjek-subjek yang lebih rumit seperti Sains dan Matematik.

Keadaan ini telah menjadi suatu barah yang kian memamah segenap saraf ummah. Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok. Kita pastinya mengharapkan pemimpin yang faham Islam dan menghayati praktikalnya untuk memacu negara, bukan mereka yang sewenang-wenang bertindak mengikut tuntunan nafsu semata-mata.

Justeru, guru selaku orang yang menyampaikan ilmu seharusnya berperanan sebagai seorang pendakwah, bukan semata-mata untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Guru juga perlu mempunyai jiwa penyayang, bukan membenci mereka yang jahil. Guru perlu mahir cara dan halus berseni mendekati golongan remaja ini. Yakinlah mereka boleh dibentuk dan masih ada harapan untuk dibimbing. Jangan cepat berputus asa, kerana biasanya anak kunci terakhirlah yang dapat membuka kunci.

Nilai-nilai murni, pengajaran dan nasihat harus diselitkan secara tidak langsung. Dengan ini, pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik juga akan menjadi modal insan kelas pertama. ‘Kelas pertama’ bukan semata-mata diukur mereka yang memperoleh gred A dalam sijil-sijil akademik. Lebih penting ialah apabila mereka dapat mengaplikasikan sahsiah cemerlang dalam kehidupan dengan menjadi seorang warganegara yang berperibadi luhur dan berakhlak mulia.

Seterusnya ialah anjakan daripada ibu bapa. Jika mereka mahu melihat anak-anak mereka berjaya, mereka perlulah terlebih dahulu berubah dan berusaha mengajak anak-anak mengikut langkah itu. Sayangkan anak bukan dengan membiarkan mereka berbuat lepas bebas tanpa boleh ditegur.

hilangnya-sensor-peduli-3

Luqman al-Hakim pernah menyebutkan: “Marahnya orang tua dalam mendidik anaknya, tak ubahnya seperti baja bagi tanam-tanaman.” Oleh itu, remaja seharusnya tidak alpa dengan nikmat sementara di atas dunia ini. Yang dirasakan manis itu tidak semestinya membawa kebahagiaan, dan yang pahit itu bukanlah kemestian petanda celaka. Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya dengan kata-kata ini: “Hai anakku! Janganlah engkau terus-menerus menelan kerana manisnya sesuatu, dan jangan pula lekas engkau muntahkan kerana pahitnya.”

Hal ini kerana yang pahit biasanya menjadi ubat, sedangkan yang manis sering mendatangkan penyakit.


Juwairiah Md Jamil
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Juwairiah Md Jamil

Lulusan Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas