Menu

 

A+ A A-

KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI

Sebagai seorang pelajar anda hidup dalam lingkungan ilmu dan pembelajaran meliputi ruang litup dari rumah ke sekolah hingga ke destinasi lain seperti perpustakaan awam, tempat ekspo, cyber café, kedai buku dan rumah kawan.

 Dalam ruang litup tersebut anda sentiasa bertemu dan berhubung dengan ramai orang setiap masa. Antaranya:

  • Ibu bapa.
  • Adik beradik dan saudara mara.
  • Guru.
  • Kawan.
  • Anggota masyarakat.

Untuk mudah difahami anda hendaklah berkomunikasi dengan mereka semua secara betul. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Tuhan yang Maha Pemurah yang telah mengajar al-Quran. Dia menciptakan manusia, dan mengajarnya pandai berbicara.” (Surah al-Rahman: 1-4).

Berkomunikasi bermakna membiarkan orang lain mengenali diri anda dan menjalin persefahaman dengan anda. Jika mereka dapat berbuat demikian, mereka akan menghormati anda. Proses komunikasi melibatkan perkongsian idea dan perasaan anda dengan orang lain secara jujur. Isyarat yang anda keluarkan ketika berkomunikasi dapat dibaca oleh orang lain dengan jelas bagi mengharapkan respons yang positif.

Untuk berkomunikasi anda menggunakan keseluruhan diri anda, zahir dan batin. Yang zahir ialah menggunakan pancaindera yang ada seperti lidah, mata, telinga, hidung, tangan, dan kaki.

Jika menggunakan lidah, anda berkomunikasi secara verbal iaitu berkata-kata sebenar, memberi arahan, berbual atau berdialog. Jika menggunakan anggota tubuh badan yang lain pula, anda memberi isyarat bahasa tubuh (body language). Kadang-kadang berkomunikasi secara isyarat lebih berkesan kerana ia melibatkan pergerakan dan tindakan.

Berkomunikasi secara batin pula ialah seperti menggunakan suara hati, ilham, fikiran, minda dan emosi. Ia juga dipanggil kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman boleh menghasilkan komunikasi yang bertenaga.

Di samping itu banyak alat-alat atau medium yang telah dicipta yang boleh anda gunakan untuk membantu anda berkomunikasi. Antaranya:

  • Telefon.
  • Interkom.
  • Telefon bimbit, SMS atau MMS.
  • Internet, e-mel, laman web, blog, chatroom dan sebagainya.
  • Berbentuk pos seperti surat atau poskad.

Jangan terperanjat kalau saya katakan tubuh badan, pakaian dan aksesori yang ada di badan kita juga memainkan peranan penting dalam berkomunikasi. Apa persepsi anda terhadap orang yang selekeh, rambut tidak terurus, gigi kuning, kuku kotor, badan berbau dan pakaian tidak senonoh?

Teknik Berkomunikasi Cemerlang

Manusia sebenarnya telah berkomunikasi sejak mula dijadikan oleh Allah s.w.t. menggunakan kemahiran berkomunikasi asas melalui diri sendiri. Oleh sebab itu anda hendaklah melatih diri anda supaya boleh berkomunikasi dengan cemerlang. Antaranya:

  • Senyum sambil mengangguk dan membongkokkan kepala sedikit. Inilah mesej positif komunikasi yang pertama. Senyum akan membantu anda untuk berkomunikasi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Senyuman yang kamu berikan apabila berhadapan dengan sahabatmu adalah satu sedekah.” (Riwayat al-Tirmizi)
  • Memberi salam dengan lafaz yang jelas.
  • Memilih kata-kata yang bagus dan tepat.
  • Berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.
  • Bercakaplah dengan tenang. Nada dan kelembutan suara anda boleh memikat pendengar.
  • Butir maklumat atau mesej hendaklah jelas supaya mudah difahami.
  • Bercakaplah sesuai dengan kadar kefahaman dan tahap pendidikan orang yang mendengar.

Berkomunikasi boleh merapatkan ukhwah Islamiah. Carilah selaan masa yang singkat untuk berkomunikasi seperti:

  • Berkenalan dengan penumpang di sebelah anda dalam komuter atau bas ekspres.
  •  Keluar makan dengan seseorang daripada keluar bersendirian.
  •  Buat panggilan “say hello” kepada rakan yang sudah lama tidak anda hubungi.
  •  Apabila berada dalam kereta, wujudkan tajuk perbualan yang menarik.
  •  Curi masa rehat untuk berkenalan dengan peserta yang berlainan dalam kursus, kem atau mesyuarat anda.

 

Larangan dalam Etika Berkomunikasi

  • Berkata perkara yang samar-samar.
  • Bercakap dalam bidang atau bahasa yang tidak kita kuasai.
  • Terlalu perlahan hingga tidak kedengaran
  • Membaca teks.
  • Berbual kosong.
  • Cakap banyak yang tidak bermanfaat.
  • Kurangkan bercakap kecuali ketika memberi nasihat, ceramah dan jawapan.
  • Jangan menengking, berteriak atau bercakap secara emosional.
  • Jangan mengucapkan kata-kata keji dan tidak senonoh.

 

Berkomunikasi dengan Orang yang Dihormati

Orang yang dihormati ialah seperti ibu bapa, guru, orang alim, orang yang dimuliakan kerana keturunan dan pangkatnya dan orang yang lebih tua. Berilah perhatian yang lebih dalam menghormati mereka antaranya:

  • Hendaklah diam apabila mereka berkatakata.
  • Pandang mukanya.
  • Rendahkan suara. Jangan meninggikannya lebih daripada keperluan.

komunikasi2

Sentuhan Ketika Berkomunikasi

Sentuhan sangat bermakna dalam berkomunikasi. Misalnya:

  •  Berjabat tangan. Genggamlah dengan erat dan jangan anda yang mula melepaskannya.
  • Tangan kiri memegang bahu kiri kawan dan menepuknya dengan perlahan ketika bersalaman.
  •  Suami isteri atau ibu bapa dan anak berpegangan tangan ketika berjalan.
  •  Anak mencium tangan ibu bapa kemudian memeluk ibu bapa dengan erat lalu mencium pula pipi dan dahi mereka.
  •  Anak kecil sering merasakan diri mereka lebih selesa dan selamat apabila disentuh oleh ibu bapa.
  • Mengusap kepada kanak-kanak sambil memberi kata-kata motivasi.

 komunikasi1Perlu diingat bahawa sentuhan sama ada berlapik atau tidak hanya dibenarkan sesame muhrim sahaja.

  • Larangan Bersumpah dalam Berkomunikasi
  •  
  • Jangan bersumpah berkali-kali ketika berucap.
  • Bersumpah apabila benar-benar perlu sahaja.
  • Jangan bersumpah dengan nama makhluk.
  • Ucaplah istighfar setiap kali lidah tersalah atau tersasul.

 

Jagalah lidah dari perkara yang diharamkan

  • Berbohong, sama ada secara serius atau bergurau.
  • Mengumpat.
  • Menghasut.
  • Mengutuk.
  • Mencaci.
  • Merendah-rendahkan kemampuan orang lain.
  • Mendoakan orang lain mendapat musibah.
  • Mentertawakan orang lain dalam erti kata menghina.

 

Di samping untuk memperhalusi diri supaya lebih cemerlang cuba elakkan diri daripada berbuat perkara yang makruh seperti:

  • Berbual tanpa berfaedah.
  • Berbantah-bantah tanpa manfaat.
  • Memuji kelebihan dan kemuliaan diri sendiri.
  • Gurauan yang berlebihan.
  • Pujian dan penghormatan yang berlebihan sehingga nampak kemunafikan dan kepurapuraan.



 

 

Hj Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas