BERKOMUNIKASI DENGAN DIRI SENDIRI
SAYA pernah mendapat maklumat bahawa manusia lebih banyak bercakap dengan dirinya sendiri berbanding dengan bercakap dengan orang lain. Jika benar, bagaimana bentuk dan kesannya?
Salah satu faktor kejayaan seseorang ditentukan oleh kemampuannya berkomunikasi. Sama ada komunikasi terhadap dirinya sendiri atau dengan orang lain. Dengan adanya komunikasi, lahirlah pengaruh yang kuat pada tindakan, sama ada yang berbentuk dalaman atau luaran. Inilah yang akan menentukan keberkesanan seseorang. Jika seseorang mempunyai dan menguasai kepakaran dalam seni-seni komunikasi, dia akan dapat mempengaruhi dirinya sendiri dan juga mempengaruhi orang lain terhadap cita-cita dan matlamat hidupnya.
Komunikasi terbahagi dua. Pertama, komunikasi luaran – ia adalah komunikasi yang berlaku melalui perantaraan perkataan, percakapan, ekspresi (mimik) muka, bahasa badan (body language) dan kedudukan badan (posture).
Kedua, komunikasi dalaman – ia adalah komunikasi yang melibatkan gambaran (picture) di dalam kepala, imej, tafsiran, fikiran dan perasaan kita terhadap sesuatu perkara, peristiwa atau orang lain.
Komunikasi yang berjaya ialah komunikasi yang menepati syarat-syaratnya. Antara syarat utama dalam proses komunikasi ialah kepercayaan. Yang dimaksudkan dengan kepercayaan ialah rasa percaya seseorang terhadap orang lain, ataupun kepercayaan seseorang terhadap dirinya sendiri.
Kepercayaan adalah kunci kepada kelancaran komunikasi sama ada antara seseorang dengan dirinya sendiri atau dengan orang yang lain. Kalau kepercayaan seseorang itu tinggi sama ada terhadap dirinya sendiri atau terhadap orang lain, maka mudahlah komunikasi berlaku. Sebaliknya, jika kepercayaan seseorang sudah terjejas, apalagi jika sudah pupus, maka sukarlah komunikasi berlaku sama ada secara dalaman atau luaran.
Percaya pada diri sendiri
Komunikasi dalaman, sangat berkait dengan kepercayaan terhadap diri sendiri. Sedangkan komunikasi luaran berkait dengan kepercayaan terhadap orang lain. Kita akan gagal berkomunikasi dengan diri sendiri jika kepercayaan terhadap diri sendiri menjadi lemah. Dan begitu juga, kita akan gagal berkomunikasi dengan orang lain jika kita tidak ada sifat saling percaya-mempercayai.
Namun, sikap tidak mempercayai diri sendiri adalah lebih merosakkan kita daripada sikap tidak mempercayai orang lain. Orang yang tidak percaya akan kemampuan, kebolehan dan kelebihan dirinya tidak akan berjaya dalam hidupnya. Oleh itu, kita mestilah selalu mempertingkatkan kepercayaan terhadap diri sendiri, untuk membolehkan kita melakukan ‘self-motivation’. Dan salah satu cara untuk self-motivated ialah dengan melakukan komunikasi dalaman.
Dalam kehidupan sehari-hari, kita selalu memperkatakan tentang bagaimana seseorang dapat membantu seseorang yang lain melalui perantaraan komunikasi. Tetapi jarang kita mendengar seseorang membantu dirinya sendiri melalui perantaraan komunikasi. Apakah kita perlu bercakap-cakap dengan diri sendiri? Apakah ini gila namanya? Kalau boleh, bagaimana? Bagaimanakah yang dikatakan kita sedang berkomunikasi dengan diri sendiri?
Semua soalan ini menunjukkan betapa persoalan berkomunikasi dengan diri sendiri ini masih asing dan belum diteroka secara terperinci walaupun kadangkala tanpa disedari kita sebenarnya telah dan sedang berkomunikasi dengan diri sendiri, hampir setiap masa dan ketika.
Jika seseorang dapat berkomunikasi secara luaran dengan baik, ia akan berjaya dari segi sosial, kewangan, personaliti, emosi dan lain-lain. Tetapi sebaliknya, jika seseorang berjaya berkomunikasi secara dalaman dengan baik, maka dia akan mendapat kebahagiaan, keriangan, cinta, kepuasan diri dan kasih sayang. Kedua-duanya adalah penting, namun komunikasi dalaman adalah lebih penting daripada komunikasi luaran.
Selalu diabaikan
Antara dua bahagian komunikasi ini, komunikasi dalaman mempunyai kesan yang besar pada manusia. Sayangnya, ia selalu diabaikan dan dipinggirkan berbanding komunikasi luaran. Tidak seperti komunikasi luaran yang kerap dititik beratkan, dijaga dan dipelajari, komunikasi dalaman kekadang tidak dipedulikan langsung, apalagi hendak dipertingkatkan. Manusia kerap kali mementingkan hubungannya dengan manusia lain, tanpa menyedari bahawa dia juga amat perlu untuk berkomunikasi dengan dirinya sendiri. Inilah yang dikatakan komunikasi ke dalam diri.
Sebenarnya, imej atau gambaran dalam diri kita apabila melihat sesuatu perkara atau peristiwa yang berlaku di luar sangat mempengaruhi tafsiran kita terhadapnya. Tafsiran, perasaan dan imej yang terbentuk di dalam diri kita akibat peristiwa atau perkara itu, lebih memainkan peranan yang penting daripada perisiwa itu sendiri. Misalnya, apabila kita berdepan dengan traffic jam. Dua orang yang melihat atau terlibat dengan traffic jam tidak semestinya mempunyai gambaran, imej, fikiran dan perasaan yang sama. Walaupun rangsangan luaran (dalam konteks ini ‘traffic jam’) itu sama, tetapi kesan kepada individu-individu yang terlibat adalah tidak sama.
Ini menunjukkan di antara rangsangan luaran dan respon dalaman tidaklah lazim-melazimi. Sesuatu yang hitam di luar, tidak semestinya hitam juga di dalam. Tegasnya, manusia mempunyai kuasa untuk memilih respon mereka sendiri bergantung kepada komunikasi dalaman mereka. Seorang manusia yang mempunyai kemahiran berkomunikasi ke dalam diri di tahap yang tinggi, mempunyai kekuatan dan mampu memilih respon dalaman mereka sendiri tanpa dikongkong oleh rangsangan luaran. Tegasnya, antara rangsangan dan respon, manusia bebas memilih. Di sinilah peranan komunikasi dalaman menjadi sangat penting.
Bekembang dan bebas
Perbezaan tafsiran, perasaan, fikiran yang berlaku di dalam diri seseorang itulah yang menentukan perkembangan kendiri seseorang. Jika positif, menunjukkan seseorang telah berkembang. Tetapi jika sebaliknya, seseorang itu dianggap tidak berkembang. Seorang dikatakan berkembang dan bebas, jika dia tidak tertakluk kepada rangsangan untuk memilih respon dalamannya dan mampu memilih tindakan luarannya sendiri berkait dengan rangsangan itu.
Kemahiran berkomunikasi dalaman inilah yang boleh menentukan kemampuan seseorang memilih responnya. Jika kemampuannya tinggi, maka semakin berkuasalah seseorang dalam memilih tindakannya dan semakin berjayalah ia dalam hidupnya. ¤
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!