Menu

 

A+ A A-

PEMBINAAN JATI DIRI WANITA MELALUI MEDIA SWASTA: PERANAN IKIM.FM

Ditulis oleh 

Pendahuluan

Saya diminta menulis mengenai peranan IKIM.fm dalam pembinaan jati diri wanita. Tajuk yang diberikan merujuk IKIM. fm sebagai salah satu media swasta.

Takrifan media swasta itu sendiri boleh diperdebatkan, kerana meskipun IKIM.fm dimiliki oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), iaitu sebuah syarikat berhad dengan jaminan kerajaan, tetapi sebaliknya radio IKIM.fm sendiri bernaung di bawah Commercial Radio Malaysia (pertubuhan pengendali radio komersial/swasta). Namun oleh kerana IKIM sendiri adalah salah sebuah institusi milik kerajaan, maka dari segi falsafah, dasar dan matlamat IKIM dan IKIM.fm adalah selari atau tidak bercanggah dengan dasar dan matlamat kerajaan.

IKIM.fm memulakan operasinya pada tahun 2001, dan menjadi stesen radio digital Islam pertama dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. Ianya dirasmikan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamed.

Dasar dan Matlamat

Dasar dan matlamat IKIM.fm adalah untuk menjadi wadah penyampaian kefahaman Islam kepada masyarakat menerusi strategi 3M iaitu:

  • - Mendidik.
  • - Memberi maklumat.
  • - Menghibur.

Justeru, segala program dan rancangan yang disiarkan adalah menjurus kepada 3M tersebut. Boleh dikatakan 60% rancangan di IKIM.fm adalah bersifat mendidik, manakala baki 30% adalah hiburan dan 10% untuk memberikan maklumat.

Ini dapat dilihat pada Jadual Siaran Harian IKIM.fm seperti di Lampiran.

IKIM.fm tidak menghadapi masalah untuk menyediakan program pendidikan kerana IKIM sendiri mempunyai ramai tenaga penyelidik dan felo yang bertugas di empat buah pusat akademik di IKIM iaitu:

  • - Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik.
  • - Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial.
  • - Pusat Sains dan Teknologi.
  • - Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI).

Selain itu, IKIM.fm juga mengundang ramai tetamu dan tokoh dalam bidang masing-masing untuk mengisi slot di IKIM.fm.

Tambahan pula, IKIM.fm sentiasa ke udara dengan menggunakan cara dan teknologi penyiaran terkini. Wasilah dakwah menerusi penyiaran umum ini adalah satu kaedah dakwah yang amat penting dan berkesan, kerana kawasan liputan siaran yang luas, mudah diikuti menerusi radio dan internet, dan keupayaan ke udara 24 jam sehari.

Cabaran besar bagi IKIM.fm adalah untuk menghasilkan pelbagai rancangan dan program radio yang bermutu, menarik dan mempunyai pesanan dakwah kepada para pendengarnya. Kepelbagaian latar belakang pendengar, julat usia yang berbeza, minat dan kegemaran yang berbagai ragam, kadangkala menyukarkan IKIM.fm untuk menghidangkan jadual rancangan yang memuaskan semua lapisan pendengar.

Pembinaan Jati Diri Wanita:

Peranan IKIM.fm

Selaras dengan peranan IKIM.fm dalam mendidik dan memberi maklumat kepada semua  asaran pendengarnya, maka golongan  wanita adalah tidak terkecuali daripada mendapat manfaat daripada kewujudan IKIM.fm. Peranan dalam pembinaan jati diri wanita dapat dilihat dalam perkara berikut: 

  • - Penglibatan wanita sebagai warga kerja radio IKIM.fm.
  • - Rancangan radio IKIM.fm yang memberi fokus kepada isu-isu wanita.        
  • - Penglibatan pihak luar dalam pembinaan jati diri wanita.
  • - Nisbah pendengar wanita radio IKIM.fm.

A) Penglibatan Wanita sebagai Warga Kerja IKIM.fm 

Secara kasarnya, warga kerja wanita memberikan sumbangan yang besar dalam menjayakan radio IKIM.fm. Daripada sebelas penerbit/juruhebah di IKIM.fm, tujuh orang adalah wanita. Begitu juga kakitangan sokongan seramai tiga daripada empat orang adalah wanita. Hanya Unit Kejuruteraan Radio sahaja yang mempunyai keseluruhan warga kerja dari kalangan lelaki.

Justeru, IKIM.fm telah berjaya menonjolkan  imej dan citra Muslimah melalui gaya dan penampilan penerbit/juruhebah wanitanya. Gaya persembahan penerbit/juruhebah wanita di IKIM.fm perlu dilihat mengekalkan adab budaya Islami dan ketimuran, disamping menonjolkan kelembutan dan sopan-santun dalam tutur kata dan penyampaian.

Penampilan gaya berpakaian yang menutup aurat dan penuh kesantunan, juga memberi kesan kepada para peminat dan pendengar IKIM.fm bahawa, penampilan jati diri wanita Muslimah bukanlah halangan untuk menceburi bidang penyiaran dan komunikasi massa.

Kehadiran IKIM.fm di tengah-tengah pelbagai stesen radio dan tv kerajaan dan tumpuan kepada hiburan dan gaya hidup moden dan pergaulan bebas, telah menjadi satu alternatif yang amat berkesan kepada faham masyarakat terhadap media dan penyiaran serta hubung kaitnya dengan Islam.

B) Rancangan Radio IKIM.fm untuk Golongan Wanita

Radio IKIM.fm sentiasa meletakkan keutamaan kepada golongan wanita atau kaum ibu sebagai golongan sasaran pendengar yang perlu dibangunkan. Pembinaan tamadun dan negara amat bergantung kepada keutuhan struktur keluarga dan masyarakat. Pastinya, peranan wanita sebagai isteri dan ibu dalam sesebuah institusi keluarga amat penting dan perlu diberi perhatian. Selain itu, cabaran - cabaran wanita bekerjaya dan tekanan kehidupan hari ini amat memerlukan para wanita dilengkapi dengan kemahiran dan kemampuan yang pelbagai, seperti kemahiran komunikasi, keibubapaan, kesihatan diri dan keluarga, penampilan diri, pembangunan sahsiah dan kerjaya. Semua ini perlu dijelaskan di dalam program terbitan IKIM.fm.

Di antara rancangan terbitan IKIM.fm yang khusus untuk isu-isu wanita adalah Wanita Hari Ini, yang disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 9.15 pagi. Rancangan bercorak temubual ini menampilkan tetamu undangan yang membicarakan topik-topik berkepentingan wanita seperti Perancangan Kewangan  Keluarga, Tips Mendidik Anak, Gangguan Seksual di Pejabat dan sebagainya. Tetamu yang diundang adalah terdiri daripada felo penyelidik di IKIM sendiri, dan juga tetamu luar seperti doktor pakar sakit puan dan tokoh korporat wanita.

Selain itu, rancangan D’ Dapur adalah satu lagi program khas untuk wanita, khususnya surirumah, yang menampilkan Chef Sabri Hasan sebagai tetamu. Rancangan ini memberikan panduan memasak, tips di dapur dan resepi pilihan setiap minggu. Ini adalah rancangan yang amat diminati oleh semua golongan wanita, sama ada suri rumah mahupun yang bekerja.

Rancangan lain yang memberi fokus kepada isu-isu wanita adalah Ku Temui Jalan Pulang, Secangkir Kasih, Isu Semasa dan Ilhamku.

C) Penglibatan pihak luar dalam pembinaan jati diri wanita

Selain daripada rancangan-rancangan terbitan sendiri, IKIM.fm juga membuka ruang kepada pihak luar untuk muncul di radio, sebagai tetamu. Rancangan kendalian Munawarah Design contohnya banyak memberi tips penampilan dan busana muslimah, manakala rancangan seperti Family Matters menampilkan Sister Azra Banu daripada Khalifah Institute yang membicarakan tips keibubapaan, di dalam bahasa Inggeris. Penglibatan NGO wanita seperti Yayasan Wanita Islam (YATI) dengan projek anak angkat mereka, Raudhatus Sakinah dengan

kisah-kisah pemulihan akhlak remaja wanita di pusat mereka, serta pelbagai tetamu dan tokoh wanita yang muncul di radio IKIM.fm telah memberikan kesan besar kepada para pendengar wanita. Rancangan-rancangan ini telah membantu pembinaan jati diri wanita secara amnya.

D) Nisbah pendengar wanita IKIM.fm

Kajian oleh agensi penarafan media terulung, Nielsen, pada tahun 2008 memberikan nisbah 58:42 (perempuan:lelaki) bagi pendengar IKIM.fm. Ini menunjukkan, 58% daripada jumlah pendengar IKIM.fm adalah wanita. Angka ini sudah cukup menunjukkan IKIM.fm mendapat kepercayaan dan kesetiaan pendengar wanita sebagai saluran ilmu dan pendidikan mereka.

Penutup

Daripada perbincangan di atas, media swasta seperti IKIM.fm boleh berperanan secara positif ke arah pemupukan jati diri wanita, melalui penerbitan dan penyiaran rancangan-rancangan

sumber ilmu dan pendidikan untuk wanita. Penampilan tenaga kerja dan tetamu wanita juga membantu peningkatan citra dan jati diri wanita. IKIM.fm berbangga dapat melaksanakan tugas ini, dan akan terus komited untuk kelestarian tamadun bangsa dan ketinggian agama Islam.

 

 

Ir. Ahmad Jais Alias, Pengarah IKIM.fm

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Read 3671 times
Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!