Menu

 

A+ A A-

KETERLIBATAN SEORANG MUSLIM DALAM POLITIK

USTAZ, sejujurnya saya tidak mahu terlibat langsung dalam politik. Saya tidak suka melihat konflik politik yang berlaku di negara kita sekarang. Umat Islam bergaduh sesama sendiri. Kalau boleh saya tidak mahu mengundi pun. Namun saya difahamkan bahawa mengundi hukumnya wajib. Mohon pandangan ustaz.

Politik dan keterlibatan dalam politik merupakan satu kewajipan dalam kehidupan seorang homo islamicus. Tidak ada istilah non-politik dalam kamus hidup seorang Homo islamicus. Sepertimana berbuat baik kepada ibu bapa itu wajib dan membantu orang fakir itu wajib, menjaga hak jiran tetangga itu wajib, menjauhi riba itu wajib, keterlibatan dalam politik juga merupakan satu kewajipan.

Beza Keterlibatan Politik dan Politik Kepartian

Namun perlu dibezakan antara keterlibatan dalam politik dengan sikap partisan ataupun politik kepartian. Istilah keterlibatan dalam politik membawa maksud yang lebih luas. Keterlibatan dalam politik tidak boleh disempitkan hanya pada aktiviti mengundi, berkempen dan menghadiri ceramah-ceramah politik sahaja. Keterlibatan dalam politik mempunyai kerangkanya yang lebih menyeluruh lagi komprehensif. Di bawah kerangka tauhid, segala keterlibatan politik untuk membangunkan masyarakat dan negara juga diiktiraf sebagai amal salih.

Ruang Lingkup Keterlibatan dalam Politik

Dahulu, soal keterlibatan dalam politik ataupun penyertaan politik (political participation) ini hanya berkisar mengenai ruang rakyat untuk bersuara, mempengaruhi polisi pihak berkuasa, keterlibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memerintah negara dan juga kemampuan rakyat untuk melakukan akauntabiliti ke atas wakil-wakil yang telah dipilih oleh mereka. Namun pada zaman pos-Governance (tata kelola kerajaan), iaitu selepas pemasyhuran terma Good Governance oleh Bank Dunia pada tahun 1989, isu keterlibatan dalam politik menjadi lebih intensif.

Keterlibatan rakyat bukan hanya pada ruang politik dan sivik semata-mata, malah mencakupi ruang ‘governance’ (tata kelola kerajaan). Ruang tata kelola kerajaan yang luas dan tidak bersempadan ini melebarkan lagi ruang keterlibatan rakyat untuk memerintah diri mereka sendiri, berbanding diperintah oleh golongan elit. Kini, rakyat bukan lagi sekadar pengguna, malah mereka juga penentu dasar bagi kehidupan mereka sendiri. Keterlibatan rakyat yang efektif dalam segenap ruang ini sama ada politik, ekonomi, kebajikan, penjagaan alam sekitar dan sebagainya lebih sinonim dengan nama “politik warga” (citizenpolitics). Dahulunya semua peranan itu digerakkan oleh kerajaan sahaja.

keterlibatan-muslim-dalam-politik-1

Beramal Soleh dengan Berpolitik

Melalui keterlibatan dalam ruang sivik seperti itu, Homoislamicus berpeluang untuk meningkatkan amalan soleh mereka melalui kerangka politik. Melalui ruang politik warga, semua pihak dalam kerangka masyarakat sivil mempunyai peranan yang perlu dimainkan demi membangunkan masyarakat, negara dan juga alam sekitar. Ruang media yang serba pesat terutamanya media baru dan jaringan sosial, di satu sudut pula, memudahkan lagi Homo islamicus untuk meningkatkan keimanan danketakwaan mereka melalui ruang keterlibatan dalam politik.

Kejumudan melihat amal salih hanya pada aktiviti ritual sahaja harus diperbetulkan. Aktiviti politik warga, seperti penglibatan rakyat dalam proses akauntabiliti juga merupakan amal salih, malah mungkin lebih utama ganjarannya. Ini kerana ia bukan untuk diri individu, malah untuk kesejahteraan manusia yang lebih ramai.

Pendek kata, keterlibatan politik warga juga merupakan amal salih, sepertimana aktiviti masyarakat sivil, malah usaha untuk memastikan “good governance” dalam negara juga merupakan amal salih kerana ia bertujuan memastikan amanah yang diberikan oleh rakyat dilaksanakan.

Berpolitik untuk Menjadi Umat Terpilih

Jelas sekali bagi kita bahawa sebagai umat Muhammad s.a.w., setiap individu Muslim mempunyai peranan mereka yang istimewa. Umat Islam ialah umat yang mempunyai visi dan misi untuk menjadi umat terpilih. Bukan kerana bangsa, bukan kerana warna kulit, malah juga bukan semata-mata kerana mereka Islam. Mereka hanya akan menjadi umat terpilih jika mereka memenuhi prasyaratnya, iaitu melakukan kerja dan tugas para nabi. Dengan erti kata lain, meneruskan penyebaran risalah Ilahi dan berjuang menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini. Tanpa melaksanakan amanah tersebut, sekadar identity keislaman seseorang itu belum lagi menjamin beliau untuk mendapatkan kemuliaan dan dijamin berada dalam hidayah Sang Pencipta.

Dr. Maszlee Malik
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas