Menu

 

A+ A A-

MENUNTUT HAK DI TRIBUNAL PENGGUNA

“Hm, hujung bulan ini dapat bonus. Bolehlah nanti aku beli handphone idaman aku selama ini,” bisik hati kecil Johari. Sampai sahaja hujung bulan, sebaik pulang daripada kerja, Johari tanpa berlengah-lengah singgah ke Plaza Sungai Wang untuk membeli telefon bimbit idamannya. Setelah menghabiskan masa lebih kurang sejam bergerak dari satu kedai ke kedai lain, akhirnya Johari telah membuat keputusan untuk membeli telefon Samsung Galaxy S3 di kedai telefon International Connection.

“Saya nak beli handphone ini. Kenapa handphone ini murah sikit di sini daripada kedai lain?” Johari bertanya kepada jurujual tersebut. Albert si jurujual menjawab: “Bos, handphone kita murah sikit pasal handphone kita under water. Barang seludup kastam. Bos jangan risau. Handphone kita original cuma yang beza, kita punya seludup. Kedai lain mahal sikit pasal dia orang bayar cukai kastam.”

“Boleh tahan juga, janji original. Aku jimat RM 500,” bisik hati Johari. Tanpa membuang masa, Johari pun membeli telefon bimbit tersebut. Sampai di rumah, dia terus mengecas telefonnya mengikut arahan jurujual. Tidak sabar sekali dia menanti.

Menang Membeli, Kalah Memakai

Setelah dicas penuh, Johari terus menghidupkan telefon tersebut. Dia teruja sekali meneroka fungsi-fungsi telefonnya. Namun apabila Johari membelek fungsi simpanan memori telefon tersebut, dia dapati terdapat nama-nama orang lain yang tidak dikenalinya.

“Alamak, dah kena tipu la aku ini. Rupa-rupanya ini handphone second hand!” Keluh Johari. Keesokkan harinya, Johari pun pergi semula ke gerai telefon tersebut dan cuba menuntut ganti rugi. Namun Johari telah dihalau secara kasar oleh jurujual dan rakan-rakannya yang lain walaupun Johari telah menunjukkan resit pembelian yang sah dan kepincangan yang ada di dalam telefon tersebut. Untuk tidak mengeruhkan keadaan, Johari pun meninggalkan kedai tersebut tanpa mendapatkan wangnya semula.

Apabila tiba di pejabat, Johari terbaca satu laporan akhbar yang melaporkan bahawa seorang pengguna yang ditipu oleh peniaga telah menang satu kes yang difailkan olehnya di Tribunal Pengguna. Tanpa membuang masa, apabila waktu rehat, Johari pun bergegas ke pejabat Tribunal Pengguna yang berhampiran.

tribunal-pengguna-1

Menuntut Hak di Tribunal Pengguna

“Kes encik ini, memang boleh difailkan di Tribunal Pengguna. Mengikut Seksyen 98 Akta Perlindungan Pengguna, sebarang tuntutan boleh dibuat oleh pengguna selagi mana tuntutannya tidak melebihi RM25,000.

“Dan, mengikut Seksyen 99 akta yang sama, pengguna boleh membuat sebarang tuntutan selagi mana tidak melibatkan tuntutan berkaitan tanah, kes kecederaan diri, kes harta intelek, kes nama baik perniagaan dan kes-kes yang telah termaktub dalam mana-mana undang-undang yang mengendalikannya seperti kes kecuaian jurunilai.

“Sebarang tuntutan mesti dibuat dalam tempoh masa tiga tahun daripada tarikh pembelian. Kesemua pihak dilarang untuk diwakili oleh peguam. Tambahan lagi, kos untuk memfailkan tuntutan adalah sangat rendah jika dibandingkan tuntutan tuan difailkan di mahkamah sivil yang mana pihak tuan bertanggungan membayar khidmat peguam,” ujar Puan Aleeyah, Pegawai Perhubungan Tribunal.

Tanpa membuang masa, dengan panduan kakitangan Tribunal Pengguna, maka Johari pun memfailkan tuntutannya di Tribunal Pengguna.

Tiba hari yang dinantikan. Dalam perbicaraan tersebut, Johari pun mengemukakan resit belian sebagai bukti. Beliau turut membawa seorang kakitangan pengedar rasmi Samsung yang mengesahkan bahawa telefon yang dibelinya ialah telefon terpakai, bukannya yang baru.

tribunal-pengguna-2

“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi dan bukti yang dikemukakan oleh penuntut, maka tribunal ini mendapati bahawa penuntut telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap penentang.

“Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa International Connection perlu memulangkan semula wang RM2,500 yang telah dibayar oleh penuntut dan membayar ganti rugi bagi kos saksi penuntut, kos perjalanan penuntut dan kos pemfailan tindakan ini dalam tempoh masa 14 hari daripada tarikh keputusan.”

Lantang sekali pengerusi Tribunal Pengguna membacakan keputusan.

“Alhamdullilah. Akhirnya keadilan terserlah jua.” Johari bersyukur.

Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Mohamed Fadly Dato’ Zakaria

Peguam di Advocates & Solicitors. Messrs Zuraidah Naziha & Fadly.

Kembali ke atas