Menu

 

A+ A A-

Ego Si Katak

SEEKOR anak katak pulang ke pangkuan ayahnya dengan tercungap-cungap.

“Ayah, saya baru pulang daripada bermain di sawah padi. Saya jumpa seekor binatang namanya kerbau...”

“Ah, apa nak dihairankan?” kata bapa katak walaupun sebenarnya dia sendiri tidak pernah melihat kerbau.

“Kerbau sangat besar ayah...”

“Ah, ada sebesar ini?” tanya bapa katak sambil mengembungkan perutnya.

“Tak ayah, lebih besar lagi.”

“Ada sebesar ini?” kata bapa katak membesarkan lagi perutnya.

Anak katak menggeleng-gelengkan kepalanya. Bapa katak bertambah geram dan marah.

“Ada sebesar ini?” Perutnya menjadi sangat besar hingga nafasnya tercungap-cungap.

Anak katak terus menidakkannya. Perut bapa katak dikembungkan lagi. Begitulah berlaku berulang-ulang kali hingga...

Pop! Perut bapa katak meletup. Bapa katak pun mati. Anaknya kebingungan, mengapa ayahnya sanggup mati hanya kerana hendak menandingi “kebesaran” seekor kerbau.

Pengajaran: Berlagak kaya menjadikan kita papa. Ada pihak yang begitu beriaia ingin mempromosi atau menunjuk-nunjuk kekayaannya, padahal ahli hikmah mengungkapkan, jika seseorang perlu memberitahu orang lain yang dia kaya, dia sebenarnya tidak kaya. Perlukah Bill Gates misalnya, memberitahu dunia yang dia kaya? Ironinya, ramai si kaya “jadi-jadian” yang menanggung hutang secara diam-diam atau hidup menjadi penipu (con man) sepanjang zaman atau terpaksa mati sebagai seorang miskin pada akhir hayatnya.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3


 

Selanjutnya...

Jamuan Makan Tok Guru

SEORANG Tok Guru telah dijemput ke suatu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, Tok Guru itu pun pergi ke majlis tersebut. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dirai atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang kenamaan, orang kaya, orang berpangkat dan ternama mendapat keutamaan. Tok Guru dipinggirkan. Menyedari sikap “pilih bulu” tuan rumah, Tok Guru pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaiannya. Kali ini beliau memakai pakaian yang mahal dan gemerlapan. Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis tersebut.

Kali ini dia disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah. Tiba-tiba Tok Guru menuangkan lauk-pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas bajunya, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal-mahal itu. “Mengapa?” tanya orang ramai. Tok Guru menjawab, “Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!”

PENGAJARAN: Pandangan kita terhadap diri kita sendiri adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang dikatakan harga diri. Dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai, tetapi risaulah kalau benar-benar diri kita sudah tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang-barang bernilai yang kita pakai atau miliki, tetapi pada ilmu, akhlak dan takwa yang ada dalam diri.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 4


 

Selanjutnya...

Hanya Setempayan Air...

“ESOK, setiap satu keluarga di kampung ini mesti menyumbangkan semangkuk susu untuk membantu askar-askar kita yang sedang dalam perjalanan menuju ke medan perang untuk mempertahankan negara,” kata seorang penghulu dengan begitu bersemangat sekali dalam satu perhimpunan seluruh penduduk kampungnya. “Tidak banyak, hanya semangkuk susu,” tambah penghulu itu lagi. “Saya akan letakkan sebuah tempayan besar di halaman rumah saya pada petang ini. Kamu semua boleh menuang semangkuk susu yang dimaksudkan mulai petang ini sehingga awal pagi esok. Tentera kita akan sampai sebelum tengah hari dan dapatlah mereka minum sebelum meneruskan perjalanan pada waktu petangnya,” jelasnya panjang lebar.

“Ah, aku akan membawa hanya semangkuk air dan tidak akan ada siapa yang tahu bila aku campurkan dengan susu yang banyak dalam tempayan besar itu,” bisik hati seorang penduduk kampung. “Kalau aku tuangkan semangkuk air ke dalam tempayan, tidak menjejaskan apa-apa. Hari pun gelap,” detik rasa seorang penduduk yang lain. Esoknya, alangkah terkejutnya si penghulu dan seluruh penduduk kampung bila yang terkumpul di dalam tempayan itu bukanlah susu tetapi setempayan air!

PENGAJARAN: Sikap “tidak apa”, lepas tangan dan curi tulang akan merosakkan semangat setia kawan dan keberkesanan satu regu kerja yang baik. Sikap pentingkan diri mudah berjangkit. “Feeling of God in you” ialah jawapan kepada setiap diri untuk menolak anasir-anasir yang boleh merosakkan keikhlasan semasa kita bekerja dalam kumpulan.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 4


 

Selanjutnya...

Bukan Senang Nak Senang

SEORANG pemuda ditemui sedang berlegar-legar di tepi sebuah tiang lampu di tepi sebatang jalan. Habis dikais-kaisnya rumput dan kertas di bawah naungan lampu itu. Walaupun hari sudah larut senja, tapi pemuda itu tetap tercari-cari akan sesuatu di bawah sinaran lampu itu.

Sikap pemuda itu menarik perhatian seorang mak cik yang kebetulan sedang bersiap-siap untuk menutup kedainya. Lalu mak cik itu datang dan bertanya, “Kenapa sejak tadi mak cik tengok anak berlegarl-egar di bawah tiang lampu ini?”

“Cincin saya mak cik, cincin saya hilang.”

Mak cik tadi kasihan dan turut sama-sama membantu mencari cincin itu. Namun, cincin berkenaan tidak juga ditemui. Lalu mak cik itu bertanya, “Betulkah cincin itu hilang di sini?”

“Siapa pula kata cincin itu terjatuh di sini… Tak lah.”

“Habis, cincin itu jatuh di mana?”

“Di sana, di tempat gelap tu,” ujar budak itu menunjukkan satu kawasan gelap agak jauh dari situ.

“Laa... Tapi mengapa kamu mencarinya di sini?” Mak cik itu kehairanan.

“Yalah mak cik… saya carilah di tempat yang terang, di bawah tiang lampu ni. Sini mudah. Kalau cari kat sana tu susah. Gelap pulak,” jawabnya selamba.

Mak cik itu menggeleng-gelengkan kepala.

 

TELADAN: Manusia kerap memilih jalan pintas untuk senang dan berjaya. Mereka cenderung memilih jalan senang untuk senang, walaupun tahu kesenangan itu tidak akan ditemui melalui cara itu. Apa yang dipentingkan, jalan itu mudah. Padahal secara sunnatullah memang telah Allah tetapkan – no pain, no gain.

Bukankah syurga itu dipagar dengan segala kesusahan? Justeru, untuk melakukan kebaikan dan kebajikan (yakni jalan menuju ke syurga) begitu sukar dan mencabar. Tapi tempuhilah.

Bukan senang nak senang.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Selanjutnya...

Hanya Suka-suka, Bukan Benar-benar Suka

DICERITAKAN di Negara China zaman dahulu kala, ada seorang pemuda yang begitu mengagumi naga. Lukisan, perbualan dan tindakannya dibayangi oleh rasa kagumnya terhadap naga. Dia benar-benar ingin bertemu dengan naga – melihat rupanya yang gagah, kulitnya yang keras dan nafas naga yang kononnya berapi.

Entah macam mana, satu hari ketika dia berdiri di tingkap tiba-tiba naga yang dipuja-pujanya selama ini muncul. Rupa dan pergerakan naga itu sungguh dahsyat. Melihat semua itu pemuda itu terkejut dan jatuh pengsan. Setelah sedar dia mengeluh ketakutan dan penuh kekecewaan, rupa-rupanya bertemu dengan naga sungguh menggerunkan. Tidak seperti memujanya dari jauh.

 

TELADAN: Jangan terlalu memuji atau mengeji seseorang. Jangan tertipu hanya dengan kecantikan dan kemasyhuran. Selebiti Barat yang punya berjuta peminat, kekadang, anak sendiri pun tidak suka mendekat. Manusia hanya suka-suka bukan benar-benar sukakan mereka.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana


 

Selanjutnya...

Tambah Senang, Kurang Tenang

SEORANG budak ditemui sedang menangis oleh seorang lelaki tua.

Lelaki tua itu bertanya, “Mengapa engkau menangis?”

Anak itu menjawab, “Duit saya hilang.”

“Berapa jumlah duit kamu yang hilang?” orang tua bertanya lagi.

“Lima puluh sen,” anak itu menjawab sambil teresak-esak.

Kasihan melihat budak itu menangis, orang tua itu menyeluk poketnya dan memberikan lima puluh sen kepada anak itu. “Nah, ini ganti duit kau yang hilang. Dah, jangan menangis lagi.”

Ia pun terus berlalu dari situ. Namun belum jauh berjalan, orang tua itu mendengar budak itu menangis dengan lebih kuat.

“Apa pula kali ini? Bukankah duit kamu telah pak cik ganti?”

“Kerana itulah saya menangis. Sekiranya duit saya tadi tidak hilang, tentu saya sekarang ada seringgit. Tapi sekarang cuma ada lima puluh sen sahaja,” jawabnya dan terus menangis.

 

TELADAN: Ramai manusia yang tidak syukur dengan yang ada dan tidak sabar dengan apa yang tiada. Jika miskin, ramai yang merintih inginkan kekayaan. Tetapi bila kaya, hati terus gelisah kerana hendakkan lebih kekayaan. Kekadang tambah senang, menjadikan kita kurang tenang.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Selanjutnya...

Keldai Yang Memakai Serban

SEORANG ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin beristirehat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya. Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu pun segera menyambutnya. “Assalamuaikum orang alim,” sapa seorang lelaki. “Selamat datang tuan,” sapa seorang yang lain. Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut. “Tolong ajarkan kami...” pinta mereka. “Jadilah guru kepada kami semua.” “Syukur tuan datang. Jika tidak jahillah kami.” Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, “Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?” Orang-orang kampung itu pun menjawab, hampir serentak, “Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami.”

Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya. “Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar! Sila kamu semua belajar daripadanya.” Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat “pelajaran pertama” daripada ahli hikmah itu dengan cara yang begitu bersahaja, tetapi sangat sinis sekali. Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.

 

PENGAJARAN: Ramai antara kita yang masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau material, adalah tidak tepat. Pakaian, hanyalah umpama “topeng” yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 4


 

Selanjutnya...

Obsesi Diri

SEORANG tuan guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “Aku ingin melihat sejauh mana masyarakat percayakan aku.” “Bagaimana caranya tuan guru?” tanya anak-anak muridnya itu. “Kau sebarkan berita bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!” Tanpa banyak soal, anak-anak muridnya pun keluar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang apa yang tok guru mereka ramalkan.

“Sebesar mana?” tanya orang kampung. “10 kali ganda seekor gajah,” jawab seorang anak murid itu. “Setinggi mana?” “Setinggi bukit agaknya. Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api!” Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita kemunculan binatang besar itu menjadi tambah sensasi. Bila tiba hujung minggu, seluruh penduduk kampung keluar untuk menanti kemunculan binatang besar itu. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Begitu meriah sekali. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.

Ironinya, si tuan guru itu turut serta dalam perarakan. Seorang muridnya bertanya, “Tuan guru pun ikut serta dalam perarakan ini?” “Kenapa, apakah tak boleh?” “Bukankah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?” “Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mempercayainya dan bersedia terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?” Murid-muridnya kehairanan. Mereka takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut juga menipu tok guru sendiri? Pelik!

PENGAJARAN: Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.2

 


 

Selanjutnya...

Ritual Tanpa Spiritual

SEORANG ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, si kucing akan ikut bersama. Namun, keadaan ini menimbulkan sedikit masalah, terutamanya apabila si ketua sami sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasinya sering terganggu apabila kucing kesangannnya itu menggesel dan mengelus-ngelus di sisinya.

Setelah berfikir panjang mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapat satu idea. Setiap kali dia melakukan penyembahan, dia mengikat si kucing di sebatang tiang di tepi kuil. Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama semasa upacara penyembahan. Perlakuan ketua sami itu sangat diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya.

Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baru pula dilantik. Begitu pun, setiap kali ketua sami yang baru hendak mengepalai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga. Tidak berapa lama, kucing itu pula mati. Ironisnya, ketua sami yang baru ini mencari kucing lain sebagai pengganti, dan diikat juga pada tiang yang sama setiap kali penyembahan berhala.

Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi, silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut; setiap kali ketua sami akan mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambati pada tiang kuil!

PENGAJARAN: Sering berlaku dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut di belakang hari kerap menjadi pak turut tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2


 

Selanjutnya...