REMEH-TEMEH MUAMALAT BERSAMA PROF DR ASHRAF MD HASHIM (#2)
- Ditulis oleh Prof Dr Ashraf Md Hashim
- Kategori Jual Beli
- Read 39672 times
SAYA bekerja di syarikat minyak dan gas di Terengganu dengan gaji yang tinggi. Saya bekerja dua minggu dan bercuti dua minggu. Kemungkinan besar saya hendak berhenti dari kerja itu untuk mencari kerja di darat yang tak setaraf dengan gaji saya sekarang ni. Sebab utama saya ingin berhenti kerana nak menimba ilmu di surau, masjid dan juga maahad. Kalau saya berkerja, dah terlepas kuliah-kuliah yang lalu.
Di samping itu, untuk mendekatkan diri dengan keluarga dan untuk membesarkan anak-anak saya pada zaman yang penuh godaan ini. Banyak contoh yang berlaku kepada ahli keluarga saya yang mana apabila ayah tidak berada di rumah, anak-anak sukar dikawal. Perkara ini saya jadikan pengajaran untuk diri dan keluarga saya. Apa pandangan ustaz? Adakah saya dikira menolak rezeki?
Jawapan: Pada pandangan saya secara umum, apa yang saudara niatkan itu adalah suatu perkara yang wajar dilakukan. Jika saudara mencari kerja lain yang lebih sesuai adalah lebih baik untuk kebaikan saudara dan keluarga di dunia dan akhirat. Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyatakan yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka…”(surah al-Tahrim 66-6)
Ini kerana tanggungjawab mendidik anak dengan didikan Islam adalah tanggungjawab ibu bapanya dan mereka akan dipersoalkan oleh Allah kalau mengabaikannya. Jadi, keputusan saudara itu tidaklah dianggap menolak rezeki yang ada, bahkan dikira melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik.
Secara khusus, sebelum saudara melaksanakan niat baik di atas, pertimbangan antara kebaikan dan keburukan terhadap keputusan yang akan diambil hendaklah dibuat dengan teliti. Saudara juga dinasihatkan untuk menunaikan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah s.w.t. agar keputusan yang akan dibuat nanti adalah yang terbaik kepada semua pihak, di dunia dan akhirat.
Ustaz, saya ada kemusykilan berkaitan jersi yang ada tanda salib yang tidak boleh dipakai, macam mana pula dengan jenama Nike yang asal nama tersebut diambil daripada nama tuhan golongan Greek dahulu kala. Bolehkah kita guna jenama tersebut.
Jawapan: Kalau betul dan benar apa yang diperkatakan, maka pada pandangan saya, sebaik-baiknya dielak daripada memakai jenama tersebut. Bagi yang tidak mengetahui, tidaklah dikira berdosa memakai jenama tersebut.
Apakah hukum menyimpan duit di bank konvensional? Sekiranya haram, bagaimana hendak selesaikan masalah gaji para pekerja yang diletakkan dalam bank tersebut. Kalau nak cari bank lain yang tiada riba akan menyebabkan kesulitan dan sebagainya.
Jawapan: Hendaklah disimpan duit di bank Islam yang sememangnya banyak di negara ini. Adapun tentang gaji yang diletakkan dalam bank konvensional, maka hendaklah dikeluarkan sebaik sahaja menerima gaji tersebut dan menyimpannya di dalam bank Islam.
Wallahua’lam.
Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4
Prof Dr Ashraf Md Hashim
Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.