Perkara-perkara tersebut mengikut susunan berikut:
1 Pengurusan jenazah si mati dengan kos semasa, tanpa pembaziran atau sebaliknya. Ini mencakupi proses memandikan, mengafankan, pengebumian dan sebagainya.
2 Pembayaran segala hutang si mati, sama ada yang menjadi hak Allah Taala seperti zakat, nazar dan kaffarah, ataupun hak manusia seperti hutang, pinjaman dan lain-lain. Antara dua jenis hutang ini, hutang kepada Allah Taala hendaklah didahulukan sebelum hutang manusia.
3 Pelaksanaan wasiat si mati dengan syarat-syarat tertentu.
4 Pembahagian harta yang masih berbaki kepada waris-waris yang berhak.
Boleh ustaz jelaskan, siapakah para pewaris pusaka pihak perempuan yang berhak?
Bagi pewaris pusaka pihak perempuan pula, terdapat 10 kategori pewaris, iaitu:
1 Anak perempuan.
2 Ibu.
3 Cucu perempuan daripada anak lelaki, termasuk anak perempuan kepada cucu lelaki sehingga ke bawah melalui lelaki sahaja.
4 Nenek sebelah ibu sehingga ke atas melalui perempuan sahaja.
5 Nenek sebelah ayah sehingga ke atas melalui lelaki sahaja. Maksudnya jika hubungan nenek sampai kepada si mati melalui nenek atau datuk yang bukan waris, maka nenek itu juga bukan waris, seperti ibu kepada ibu kepada bapa kepada ibu, di mana datuk (iaitu bapa kepada ibu) bukan waris. Berlainan dengan ibu kepada ibu kepada bapa kepada bapa, nenek ini seorang waris, kerana dia sampai kepada si mati melalui waris semuanya. (Sharh al-Rahabiyyah, hlm. 44)
6 Saudara perempuan kandung (seibu sebapa).
7 Saudara perempuan sebapa.
8 Saudara perempuan seibu.
9 Isteri, seorang atau lebih.
10 Perempuan yang membebaskan hamba.
Boleh ustaz jelaskan siapakah para pewaris pusaka pihak lelaki yang berhak?
Berdasarkan al-Quran, hadis Nabi s.a.w., ijmak dan ijtihad para sahabat r.hum., para ulama telah menentukan para pewaris daripada kalangan lelaki dan perempuan yang berhak mendapat harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Daripada kalangan lelaki, terdapat 15 kategori pewaris, iaitu:
1 Anak lelaki.
2 Cucu lelaki daripada anak lelaki, termasuk cicit lelaki hingga ke bawah melalui lelaki sahaja.
3 Ayah.
4 Datuk sebelah ayah hingga ke atas melalui lelaki sahaja.
5 Saudara lelaki kandung (seibu sebapa).
6 Saudara lelaki sebapa.
7 Saudara lelaki seibu.
8 Anak lelaki kepada saudara lelaki kandung, sehingga ke bawah melalui lelaki sahaja.
9 Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa, sehingga ke bawah melalui lelaki sahaja.
10 Bapa saudara kandung sebelah bapa.
11 Bapa saudara sebapa sebelah bapa.
12 Anak lelaki kepada bapa saudara kandung sebelah bapa.
13 Anak lelaki kepada bapa saudara sebapa sebelah bapa.
14 Suami.
15 Lelaki yang membebaskan hamba.
SUMBER RUJUKAN:
(Al-Mawarith fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 34 dan 36; Al-Fiqh al-Manhaji, jil.5 hlm. 72-74)
(Sharhu al-Rahabiyyah, hlm. 40–44; Al-Mawarith fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 45 dan 46)
Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2