PEMEGANG AMANAH YANG MENCABUL AMANAH
- Ditulis oleh Ustaz Md Ghazali Ibrahim
- Kategori Harta Pusaka
- Read 17394 times
PEMEGANG Amanah dan Pentadbir Pusaka bukan pemilik sebenar pusaka
Siapakah yang akan menjadi pemegang amanah bagi harta pusaka bahagian anak-anak? Sebagai contoh, seorang suami meninggal dunia, dia meninggalkan:
- Seorang isteri.
- Empat orang anak perempuan.
- Seorang ibu.
- Tiga orang adik-beradik lelaki seibu sebapa.
Pemegang Amanah Tidak Berhak Sepenuhnya ke atas Pusaka
Dalam kes ini, orang yang layak menjadi pemegang amanah ialah isteri si mati atau ibu si mati ataupun adik-beradik lelaki si mati. Yang penting pemegang amanah adalah seorang yang proaktif, tahu menguruskan pusaka, bertanggungjawab dan amanah. Sebenarnya contoh di atas adalah antara kes pusaka yang pernah diajukan kepada saya. Selain waris-waris di atas, arwah juga meninggalkan beberapa jenis harta lain.
Harta yang agak tinggi nilaiannya ialah wang simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan juga sebuah rumah yang diduduki oleh si isteri dengan empat orang anak perempuan dan juga ibunya. Adik beradik lelaki si mati yang telah berkeluarga tinggal di rumah masing-masing.
Penama di KWSP ialah ibu si mati. Pada suatu hari ketiga-tiga beradik lelaki ini membawa si ibu ke pejabat KWSP berdekatan untuk membuat proses pengeluaran wang KWSP.
Selang beberapa minggu, pihak KWSP menyerahkan sekeping cek atas nama si ibu. Setelah urusan dibuat, cek tersebut ditunaikan. Lalu si ibu menyerahkan wang kepada ketiga-tiga beradik lelaki untuk dibahagi-bahagikan kepada semua waris mengikut pembahagian yang sepatutnya. Malangnya mereka hanya membahagikan wang tadi sesama mereka bertiga.
Si ibu sebagai pemegang amanah pertama cuba untuk berlaku amanah dengan menyerahkan amanah (wang tersebut) kepada tiga orang anak lelakinya. Tetapi rupanya pemegang amanah kedua tidak berlaku jujur dan amanah. Mereka mengkhianati amanah si mati, mereka menzalimi waris-waris yang lain. Dan mereka secara zalim membolot semua wang KWSP si mati. Sedangkan padanya ada hak waris-waris yang lain.
Pentadbir Pusaka
Untuk menyelesaikan kes rumah pusaka si mati, para waris hendaklah membuat urusan bicara kuasa di Pejabat Pusaka berdekatan. Setelah membuat pengurusan bicara kuasa, keputusan pertama mereka bersetuju membahagikan nilai rumah pusaka arwah mengikut pembahagian faraid. Iaitu:
- Ibu dapat 1/6.
- Isteri dapat 1/8.
- 4 orang anak perempuan dapat 2/3.
- 3 orang adik beradik lelaki dapat asabah (baki).
Apabila dibuat pengiraan sebenar:
- Ibu dapat 4/24.
- Isteri dapat 3/24.
- 4 orang anak perempuan dapat 16/24
- 3 adik beradik lelaki dapat 1/24.
Keputusan kedua, mereka bersetuju melantik tiga orang adik beradik lelaki menjadi pentadbir pusaka atas rumah pusaka si mati. Kerana ibu sudah terlalu tua, si isteri pula tidak tahu menahu tentang ilmu pengurusan, anak-anak perempuan masih kecil (di bawah umur).
Maka yang memang layak menjadi pentadbir sudah pasti ketiga-tiga beradik tadi. Selang beberapa bulan Pejabat Pusaka mengeluarkan surat perintah pembahagian pusaka arwah untuk rumah tersebut. Yang mana pada surat perintah pembahagian pusaka tercatat nama ketiga-tiga beradik lelaki tadi sebagai pentadbir pusaka.
Fitnah Pusaka
Rupa-rupanya surat tersebut memberi ruang kepada ketiga-tiga beradik untuk terus berbuat khianat dan zalim kepada ibu, ipar dan juga anak-anak saudara mereka. Dengan surat tersebut mereka membuat konspirasi baru untuk membolot rumah pusaka si mati. Mereka terus ke rumah pusaka arwah. Tanpa belas ihsan, mereka menghalau si ibu, ipar dan anak-anak saudara keluar dari rumah tersebut. Dengan suara yang tinggi mereka menyatakan bahawa rumah tersebut telah menjadi hak milik mereka bertiga. Buktinya adalah hanya nama mereka bertiga sahaja yang tercatat atas surat perintah tersebut.
Sebenarnya mereka bertiga hanya pentadbir dan bukannya pemilik sebenar. Memang sungguh malang nasib si ibu, si isteri dan juga empat orang si anak perempuan. Mereka terpaksa menanggung kesusahan dan keperitan hidup kerana fitnah harta pusaka yang telah merasuk diri tiga orang beradik tadi.
Pentingnya Merancang Pusaka
Bagaimana pentingnya mengurus pusaka, begitu juga pentingnya merancang pusaka. Sekiranya arwah suami beringat-ingat dengan merancang pusaka semasa hidup, sudah pasti si ibu, si isteri dan empat orang anak perempuannya tidak akan dianiaya oleh adik-beradiknya.
Sepatutnya semasa hidup dia menukar Penama KWSP daripada nama ibu kepada nama isterinya. Ini bermakna si isteri akan menjadi pemegang amanah atas wang KWSP selepas kematiannya. Sepatutnya semasa hidup dia boleh membuat hibah ataupun Surat Pengisytiharan hibah. Iaitu dia boleh menghibahkan rumahnya kepada empat orang anak perempuan dengan melantik isterinya menjadi pemegang amanah hibah tersebut. Ini bermakna rumah tersebut akan menjadi hak milik empat orang anak perempuannya dan setelah mereka cukup umur dewasa kelak nama mereka akan dimasukkan sebagai pemilik sebenar.
Sepanjang hidup, kita banyak merancang walaupun kebanyakannya tidak menjadi. Kerana kita merancang untuk perkara yang belum pasti. Tetapi mati itu pasti.
Bukankah Allah s.w.t. berfirman; “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” Oleh itu marilah kita merancang pusaka demi kebaikan waris-waris kita. ¤
Ustaz Md Ghazali Ibrahim
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
Ustaz Md Ghazali Ibrahim
Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Zakat Selangor (MAIS) sejak tahun 1999 hingga 2004. Sekarang ini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau ialah Eksekutif Penyelidikan & Pembangunan Syarie dan Eksekutif Dakwah & Latihan. Beliau mendalami ilmu motivasi dengan beberapa buah syarikat antaranya ialah Fitrah Perkasa Sdn Bhd sekitar tahun 2005 . Sekitar tahun 2006, beliau mendalami ilmu faraidh & runding-pusaka dengan beberapa syarikat. Antaranya ialah Tetuan Jamilah Radzi & Co.
Beliau biasa muncul di kaca TV dalam rancangan Inspirasi Pagi (RTM1), Simfoni Alam (RTM1). Dan pernah beberapa kali muncul dalam rancangan Al Kulliyyah (TV3), Al Hidayah (TV3), Wanita Hari Ini (TV3), Tanyalah Ustaz (TV9) dan Astro Oasis dalam rancangan Khabar Haji & Liga Ilmu.
Sehingga kini beliau aktif memenuhi jemputan ceramah dan motivasi di dewan orang ramai, pejabat, universiti, sekolah, masjid dan surau.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.