Menu

 

A+ A A-

MERANCANG PUSAKA

PUSAKA bukan sekadar mesti diurus, bahkan pusaka juga mesti dirancang. Kenapa kita mesti merancang pusaka? Hal ini penting kerana ia adalah perkara yang pasti. Pasti apa? Pasti mati! Bukankah Allah s.w.t. menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, Setiap yang bernyawa pasti akan mati”, (Surah Ali ‘Imran 3: 185)

Kita semua pasti mati dan bila kita mati, kita meninggalkan harta sama ada sedikit ataupun banyak. Semua harta yang kita tinggalkan akan menjadi pusaka yang mesti diuruskan oleh waris kita. Andainya waris kita orang yang bertanggung jawab, amanah, proaktif dan tahu selok-belok mengurus pusaka, maka pusaka kita dapat diselesaikan dalam tempoh yang pendek. Pusaka kita akan dapat diwarisi dengan cara yang sebaiknya. Andainya waris kita sebaliknya, maka malanglah nasib waris kita yang masih hidup dan malanglah juga nasib kita yang mati.

merancang pusaka1

Perancangan Pusaka

Islam agama yang syumul. Sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara ada panduannya dalam Islam. Tentang harta, Islam menyarankan perkara-perkara berikut:

1. Mencari harta dengan cara berusaha dan bekerja.

2. Menggunakan atau membelanjakan harta untuk menampung ke perluan asasi hidup diri dan tanggungan kita.

3. Menyimpan sebahagian daripada harta untuk masa depan kita dan keluarga.

4. Mewariskan harta kepada ahli keluarga.

Untuk memastikan perkara 1, 2 dan 3 berjalan lancar, sudah pasti sebelum melakukannya kita akan membuat perancangan yang tersusun dan rapi. Begitu juga setelah kita memperolehnya (harta), maka sudah pasti kita juga akan membuat perancangan yang tersusun rapi untuk menggunakan atau menyimpannya. Tetapi bagaimana pula dengan perkara yang ke-4? Adakah kita akan membiarkannya begitu sahaja?

merancng pusaka2

Andainya kita membiarkan begitu sahaja, maka inilah yang berlaku hari ini. Banyak kes pembahagian harta pusaka yang tidak selesai. Ramai para waris yang teraniaya dan tidak mendapat bahagian mereka. Banyak berlaku pertelingkahan hutang sesama adik beradik dan saudara-mara. Ini semua kerana orang tua kita yang lebih awal sebelum meninggal dunia tidak mahu merancang pembahagian harta pusaka. Pusaka memang semestinya dirancang. Bagaimana kita merancang untuk mencari harta, menggunakan harta serta menyimpan harta, maka begitu jugalah dengan pusaka. Ia mesti dirancang untuk kebaikan kita dan para waris kita.¤

 

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

_____________________________________________________________

Ustaz Md Ghazali Ibrahim

Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Zakat Selangor (MAIS) sejak tahun 1999 hingga 2004. Sekarang ini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS). Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau ialah Eksekutif Penyelidikan & Pembangunan Syarie dan Eksekutif Dakwah & Latihan. Beliau mendalami ilmu motivasi dengan beberapa buah syarikat antaranya ialah Fitrah Perkasa Sdn Bhd sekitar tahun 2005 . Sekitar tahun 2006, beliau mendalami ilmu faraidh & runding-pusaka dengan beberapa syarikat. Antaranya ialah Tetuan Jamilah Radzi & Co.

Beliau biasa muncul di kaca TV dalam rancangan Inspirasi Pagi (RTM1), Simfoni Alam (RTM1). Dan pernah beberapa kali muncul dalam rancangan Al Kulliyyah (TV3), Al Hidayah (TV3), Wanita Hari Ini (TV3), Tanyalah Ustaz (TV9) dan Astro Oasis dalam rancangan Khabar Haji & Liga Ilmu.

Sehingga kini beliau aktif memenuhi jemputan ceramah dan motivasi di dewan orang ramai, pejabat, universiti, sekolah, masjid dan surau.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas