Menu

 

A+ A A-

KELOMPOK DALAM SISTEM FARAID

Ditulis oleh 

SAYA ingin penjelasan, adakah pembahagian kepada pewaris-pewaris ini sama antara ahli keluarga yang layak mewarisi atau berlainan?

Para pewaris yang telah disebutkan tidaklah sama dari segi cara dan kadar pewarisan mereka. Susunan mereka yang adalah seperti berikut:-

a Kelompok Pemilik Fardhu

b Kelompok ‘Ashobah

c Kelompok Ar-Raddu

d Kelompok Zawul arham

Siapakah kelompok fardhu dan bagaimana pembahagiannya?

1. Pemilik fardhu (فرض), iaitu waris yang mendapat bahagian yang telah ditetapkan, iaitu 1/2, 1/3, 1/4, 1/6, 1/8 atau 2/3.

Contohnya:

a Suami mendapat 1/2 jika si mati tiada anak dan cucu. Jika ada anak atau cucu, suami mendapat 1/4.

b Isteri mendapat 1/4 jika si mati tiada anak dan cucu. Jika ada anak atau cucu, isteri mendapat 1/8.

c Anak perempuan mendapat 1/2 jika seorang dan tiada anak lelaki. Jika dua orang ke atas, mereka mendapat 2/3.

d Ibu mendapat 1/3 semasa ketiadaan anak, cucu dan dua orang saudara ke atas. Jika tidak, dia mendapat 1/6.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Asobah dan siapakah kelompok yang mendapat ‘Asobah? Harap dapat penjelasan.

‘Ashobah (عصبة ), iaitu waris yang mendapat apa yang berbaki selepas bahagian pemilik fardhu, dan mendapat semua harta apabila tidak ada waris yang lain. Contohnya, anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa dan sebagainya.

Antara pemilik-pemilik fardhu juga, ada yang menjadi ‘ashobah dalam keadaan tertentu, seperti anak perempuan, cucu perempuan dan saudara perempuan. Mereka merupakan pemilik fardhu semasa tiada peng‘ashobah mereka. Jika ada peng‘ashobah mereka, seperti anak perempuan bersama anak lelaki, maka mereka menjadi ‘ashobah bersama pasangan masing-masing.

Contoh: seorang lelaki mati dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang saudara lelaki. Jumlah pusaka pula sebanyak RM80,000. Maka pembahagiannya seperti berikut:

Jadual 1 isteri

Apakah dia ar-Raddu dan siapakah yang termasuk dalam kelompok ini? Harap dapat penjelasan.

Ar-Raddu (الرد), iaitu pembahagian harta pusaka yang berbaki selepas fardhu kepada pemilik-pemilik fardhu yang mewarisi melalui hubungan keturunan dengan si mati. Ini dilakukan semasa ketiadaan ‘ashobah dan mengikut kadar fardhu masing-masing. Semua pemilik fardhu terlibat dalam ar-raddu ini melainkan suami dan isteri sahaja, kerana mereka berdua mewarisi melalui hubungan perkahwinan bukannya keturunan. Melalui ar-raddu ini, setiap pewaris tersebut mendapat dua bahagian. Satu bahagian melalui fardhu. Satu lagi melalui ar-raddu.

Contoh: Seorang perempuan mati dan meninggalkan seorang suami dan dua orang anak perempuan. Harta pusaka pula sebanyak RM240,000. Maka pembahagiannya adalah seperti berikut:

Jadual 2 suami

Apakah Zawul arham dan siapakah yang termasuk dalam kelompok ini? Diharap dapat memberi penjelasan.

Zawul arhamذوو الاحام  iaitu ahli keluarga si mati, yang tidak mendapat fardhu atau ‘ashobah, seperti bapa saudara sebelah ibu, emak saudara sebelah ibu, emak saudara sebelah ayah, anak lelaki kepada anak perempuan, anak perempuan kepada anak perempuan dan sebagainya. Mereka mewarisi dengan syarat:-

a. Tidak ada waris yang mendapat fardhu atau ‘ashobah selain suami dan isteri. Kewujudan suami isteri tidak menghalang pewarisan zawul arham.

b. Tidak ada baitulmal yang tersusun mengikut kehendak syarak. Jika ada, segala harta tersebut menjadi milik baitulmal dan tidak diwariskan kepada mereka. Namun para ulama terkemudian dalam mazhab Syafi’i sejak kurun ke-4 Hijrah, telah memberi fatwa bahawa zawul arham lebih berhak daripada baitulmal, kerana baitulmal tidak lagi tersusun mengikut syarak. Malah hak-hak yang wajib tidak lagi sampai kepada pihak pihak yang berhak. Oleh sebab itu, harta pusaka lebih wajar diberikan kepada ahli keluarga si mati tersebut daripada diberikan kepada pihak luar yang tidak berhak mendapatnya. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, jil. 5 hal. 190-191)

Contoh: Seorang lelaki mati dan meninggalkan seorang isteri dan seorang cucu perempuan daripada anak perempuan. Hartanya pula sebanyak RM40,000. Maka pewarisannya adalah seperti berikut:-

Jadual 3 cucu perempuan

Ar-Raddu kepada suami atau isteri, iaitu jika tiada langsung ahli keluarga si mati. Oleh itu, jika seseorang mati meninggalkan isterinya sahaja atau suaminya sahaja, maka isteri atau suami itu mendapat semua harta. Sebahagiannya secara fardhu. Sebahagian lagi pula secara ar-raddu.

Pembebas hamba. Jika si mati adalah bekas hamba dan tidak ada waris lain selain bekas tuannya, lelaki atau perempuan, maka bekas tuannya itu mendapat semua harta secara ‘ashobah. Baitulmal untuk kebajikan orang Islam. (Rujuk: al-Mawarits fiasy-Syari’ah al-Islamiyyah, m/s. 37 & 38.)

Bagaimana pandangan ustaz mengenai pembahagian harta mengikut sistem pewarisan Islam atau faraid?

Secara ringkasnya, sistem pewarisan Islam adalah satu sistem pembahagian harta yang lengkap, adil dan disusun oleh para ulama Islam berdasarkan empat sumber, iaitu al-Quran, sunnah Nabi s.a.w., ijmak para ulama dan ijtihad para sahabat Nabi s.a.w. Sistem ini mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang wajar kita pelajari, ketahui dan ajarkannya kepada orang lain, bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w.: Pelajarilah ilmu faraid, dan ajarkanlah ia (kepada orang lain), kerana sesungguhnya ia separuh daripada ilmu. Ia akan dilupakan. Ia juga perkara pertama yang akan dicabut daripada umatku. (Riwayat Ibn Majah dalam bab: faraidh (hadis no. 2710) daripada Abu Hurairah r.a.)

Demikianlah, wallahu ta’ala a’lam.

Wan Mohd Nasir Wan Abd Wahab
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Read 12545 times
Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari

Pengajian beliau di Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Azhar, Mesir. Kini, beliau bertugas sebagai Ketua Unit Terjemahan di Telaga Biru Sdn. Bhd. dan aktif dalam menyampaikan kuliah agama di beberapa buah masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Selangor. Antara guru-gurunya ialah Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar asy-Syanqithi, Syeikh ‘Athiyyah Muhammad Salim al-Madani dan Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Ahmad al-Fathani rhm.

Terkini daripada Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abd Wahab al-Madani al-Azhari