MAJLIS SULH
- Ditulis oleh Ustaz Badli Shah Alauddin
- Kategori Penceraian
- Read 10208 times
Soalan :
Saya bercerai dengan suami pada awal tahun 2009 dan diperintahkan oleh mahkamah untuk menghadiri majlis Sulh bagi menyelesaikan soal harta sepencarian dan hadanah. Namun, bekas suami saya tidak hadir pada majlis Sulh yang pertama iaitu pada bulan Mei kerana berpendapat bahawa majlis Sulh itu hanya membuang masa.
Kami dikehendaki menghadirinya untuk kali kedua pada Ogos ini. Bolehkah diterangkan kepada saya akan kebaikan majlis Sulh ini? Bagaimanakah majlis ini dijalankan? Bolehkah saya atau bekas suami menghantar wakil sahaja? Dapatkah ia membantu dalam mendapatkan hak saya selepas diceraikan? Saya benar-benar keliru.
Perdamaian adalah salah satu cara yang dianjurkan bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Satu satunya cara bagaimana perdamaian boleh dilakukan adalah melalui proses Sulh.
Menurut bahasa, Sulh diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” (Ibrahim al-Bajuri, Hashiyah Bajuri al-Haramian, Vol. 1, hlm. 271) atau “berbuat baik”. Manakala menurut istilah syarak pula adalah “suatu akad atau perjanjian yang dengannya tamat sesuatu pertikaian.” (Al-Khateeb al-Sharbini,Mughni al-Muhtaj, Jld. 2, hlm. 177).
Ada yang merujuk Sulh dalam terma yang lain, iaitu mediasi. Mediasi boleh didefinisikan sebagai “proses yang satu pihak (pihak ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain untuk berunding dan mencapai penyelesaian secara damai.” Ini bermakna mediasi merupakan “perundingan secara terpimpin (assisted negotiation) secara langsung kepada pihak- pihak yang bertikai oleh mediator.”
Berdasarkan definisi di atas, disimpulkan bahawa Sulh merupakan keputusan atau hasil dari suatu perdamaian atau persetujuan oleh pihak-pihak yang bertikai atau bersengketa hasil daripada proses mediasi.
Sulh merupakan suatu anjuran yang telah diperundangkan melalui al-Quran, Sunnah dan Ijma’. Dalam al-Quran Surah an-Nisa’ ayat 128 menerangkan: “…Sulh adalah satu perkara yang baik.” Ayat ini berasal daripada satu ayat panjang yang berkaitan dengan perundangan Sulh atau perdamaian antara suami isteri. Terjemahan ayat tersebut adalah seperti berikut:
“…dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan perdamaian yang sebenarnya dan perdamaian itu adalah baik.” (Surah an-Nisa’: 128)
Rasulullah s.a.w. menunjukkan kecenderungan Baginda kepada penyelesaian secara Sulh melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, bermaksud:
“Saya hanya seorang manusia biasa dan kamu membawa kepada saya pertikaian antara kamu. Andainya satu pihak antara kamu mengemukakan tuntutannya dengan cara yang lebih menarik dari pihak lain, sehingga saya memberi keputusan yang tidak benar kepada pihak itu, iaitu memberi hak seseorang kepada seseorang yang lain, dia harus tidak menerimanya sebab itu adalah oleh seorang Pendaftar. Puan dan bekas suami tidak boleh diwakili oleh Peguam Syarie atau mana-mana orang tanpa kebenaran Pendaftar.
Perkara ini telah dijelaskan dalam Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001. Ini adalah supaya setiap pihak dapat cuba mencari perdamaian tanpa dipengaruhi orang lain terutamanya pihak peguam. Proses Sulh juga lebih mudah daripada perjalanan proses Mahkamah yang mempunyai pelbagai protokol.
Bagi bekas suami puan yang gagal hadir pada tarikh yang telah ditetapkan, maka perlulah memaklumkan hal tersebut kepada pihak Mahkamah dengan berlandaskan alasan yang wajar. Sekiranya gagal hadir tanpa sebarang alasan, perbuatan ini adalah salah kerana menghina Mahkamah. Perkara ini telah dinyatakan dalam Kaedah 4. Tindakan bekas suami puan yang tidak hadir pasa Majlis Sulh yang pertama adalah sesuatu tindakan serius dan boleh dikenakan hukuman denda ataupun penjara.
Jika puan dan bekas suami dapat mencapai persetujuan dalam perkara yang di tuntut, maka Pendaftar akan menyediakan satu draf perjanjian. Draf ini akan dikemukakankepada puan dan bekas suami untuk ditandatangani. Ia kemudiannya akan disahkan oleh Mahkamah Syariah dan berfungsi sebagai satu perintah.
Jika tiada langsung persetujuan atau hanya ada beberapa perkara yang tiada persetujuan dalam proses Sulh maka perkara-perkara tersebut akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah untuk perbicaraan.
Sesungguhnya Islam menganjurkan perdamaian terhadap apa jua pertikaian berdasarkan konsep redha meredhai dan tolak ansur. Sulh merupakan salah satu kaedah perdamaian yang efektif kepada masyarakat selain kaedah perbicaraan di mahkamah yang sering berlanjutan dan mengambil masa yang lama selain kos yang tinggi.
Keberkesanan perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah membuktikan bahawa kaedah ini mampu untuk mengurangkan masalah kes tertangguh yang membelenggu Mahkamah Syariah selama ini. Dengan perlaksanaan Sulh, dibuktikan bahawa imej Mahkamah Syariah dapat dinaikkan melalui peningkatan kes-kes yang berjaya di selesaikan. ¤.
Oleh Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10
Ustaz Badli Shah Alauddin
Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.