Menu

 

A+ A A-

HIDUP BERDUA MATI BERSAMA

CINTA mesti selalu diperbaharui. Begitulah yang kita selalu dengar pesanan daripada orang yang arif. Cinta itu umpama pokok, sekali tumbuh, bukan jaminan untuk subur selama-lamanya. Sebaliknya ia mesti terus disirami, dibajai, dan dijaga.

Dalam rumah tangga, kegagalan memperbaharui cinta akan menyebabkan hilangnya keceriaan dan kemanisannya. Alhasil, nanti pasangan suami isteri hanya melaksanakan tugas masing-masing umpama pekerja yang terikat dengan “kontrak” pekerjaan. Tidak ada “feeling” lagi. Semuanya sudah menjadi rutin biasa...

Inilah penyebab utama krisis pertengahan umur yang sering menimpa oleh pasangan yang telah berkahwin lebih daripada 10 atau 15 tahun dan ke atas. Bercerai tidak, tetapi keserasian dan “ump” yang dulu-dulu sudah pudar. Kering, gersang. Yang ada hanyalah melaksanakan tanggungjawab. Itu pun hanya separuh hati. Atau sekadar ambil hati. Bukan hanya tidur sebantal, mimpi lain-lain... malah ke kadang tidur pun sudah tidak sebantal lagi!

Sekali lagi, bagaimanakah hendak memperbaharui cinta? Jawabnya, perbaharuilah perkenalan.

Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, jika cinta berkurang, itu petanda perkenalan juga terkurang. Soalnya, apakah isteri masih tidak kenal dengan suami yang telah bersamanya selama 15 tahun? Dan apakah suami belum mengetahui isi hati, perasaan dan gelombang rasa orang rumahnya sekian lama?

Jangan terlalu yakin. Manusia berubah,begitulah pasangan kita. Bukan sahaja bentuk tubuh, selera makan, tahap kesihatan, raut wajah, tetapi juga cara berfikir, perasaan dan jiwa pasangan turut berubah. Maka kita dituntut untuk mengenal perubahan pasangan itu. Jangan gunakan “fail lama” untuk mengenal sikap dan tabiat baru pasangan kita. Jadi, berusahalah untuk terus berkenalan... jika ingin mengekalkan malah meningkatkan rasa cinta.

Bagaimana memperbaharui perkenalan?

Perbanyakanlah interaksi dan komunikasi.

Sama ada yang verbal atau tidak verbal – sama ada dalam bentuk percakapan, sentuhan mahupun pandangan.

Luangkan masa untuk berbual.

Jadilah pendengar yang baik. Renung wajah pasangan dengan penuh kasih sayang apabila berkata-kata. Jangan berbual hanya apabila perlu, tetapi kita perlu berbual untuk mengeratkan hati.

Simpati dan empati pada apa yang dialami dan dibimbangkannya. Banyakkan sentuhan yang tidak hanya dibauri oleh keinginan seksual.

Program solat berjemaah, makan berjemaah dan lain-lain adalah wadah untuk mewujudkan komunikasi yang harmoni. Inilah landasan “mencari cinta” dalam rumah tangga.

Bertanya, menjawab, merenung, membelai, mendoakan, menyentuh adalah pendekatan yang harus disuburkan. Bila ada interaksi, barulah ada input-input baru pada data perkenalan kita. Bila ada komunikasi, “virus-virus” dalam penghubungan boleh dihapuskan.

Insya-Allah, akan ada cinta baru yang mekar! Sering berlaku kesilapan apabila isteri merasakan wajah dan potongan badan itu yang paling penting untuk mengambil hati suami. Atau difikirkan kemahiran memasak menu yang sedap-sedap untuk menambat jiwa. Atau bagi suami pula, layanan yang romantic dan hadiah-hadiah yang cantik dirasakan akan menyebabkan isteri tertarik. Benar, itu juga penting. Tapi itu bukan yang utama dan segala-galanya.

Yang lebih penting

Apa yang lebih penting difahami ialah perubahan jiwa, gelombang fikiran dan alunan emosi pasangan kita. Amatilah kebimbangan, cita-cita, gembira dan dukacitanya. Pendek kata, fahami hati pasangan kita. Inilah yang dimaksudkan dengan “perkongsian hidup”. Kita tidak boleh lagi memanipulasi tarikan seksual untuk menjaga keintiman hati. Seks, walaupun satu keperluan, tetapi ia bukan tujuan dalam berumah tangga. Apakah yang mengekalkan perkahwinan hingga ke akhir hayat? Seks? Jauh sekali.

Tidak salah menghias diri menarik pandangan suami – kerana lelaki lebih terkesan dengan penglihatan. Tidak salah terus memberi sentuhan romantik – kerana wanita lebih terasa dengan sentuhan. Tetapi ingat, usia pastinya meragut apa yang indah pada pandangan dan apa yang ghairah pada sentuhan

Terimalah realiti bahawa awet muda, gagah perkasa, dan segala yang berfokus pada urat, daging dan tulang hanya ilusi. Tua akan meragut segala-galanya. Cepat atau lambat. Jadi cinta jangan berpaut pada “dahan” yang rapuh itu. Cinta mesti tumbuh pada akar yang sejati dan hakiki. Ketika kehendak seksual lelaki lewat 40-an (yang kononnya menuntut kepelbagaian variasi), begitu yang diuar-uarkan oleh pakar seksologi. Sebaliknya, ketika itulah juga bunga-bunga menopaus sudah menjengah para isteri.

Tidak jarang, berlakunya krisis akibat jangkaan dan harapan yang tidak kesampaian. Kata pakar seksologi, lelaki terus inginkan hubungan fizikal yang aktif, manakala wanita sudah beralih ke hubungan emosi yang lebih seni.

Maka sibuklah lelaki mencari ubat itu dan ini. Seperti sibuknya pula wanita untuk mencari formula mengurus, mengempis, membesarkan dan pelbagai lagi “kegilaan” baru. Lihat sahaja produk yang muncul bagaikan cendawan tumbuh, bermacam-macam herba, bunga, akar, daun dengan pelbagai jenama. Inilah reaksi dan respons baik kaum lelaki dan mahupun wanita, akibat percaya bahawa cinta itu terletak pada sesuatu yang dilihat dan disentuh.

Terbius dengan kajian-kajian dan iklan yang pelbagai itu, kita lupa sepatutnya pecutan diri mesti ditingkatkan kerana detik untuk bertemu Allah kian hampir. Pasangan kita hakikatnya adalah sebelah sayap yang perlu digandingkan untuk terbang mencari keredaan Ilahi.

Tongkat Ali vs Sayidina Ali

Ketika lelaki lewat 40-an sibuk mencari “Tongkat Ali” mereka terlupa bagaimana pada usia begitu Sayidina Ali mencari sesuatu yang berbeza. Beliau pernah menangis beberapa hari sebelum mati dibunuh sambil berkata, “Wahai dunia, kalau engkau hendak menipu, tipulah orang lain. Aku telah ceraikan kau dengan talak tiga!”

Itulah roh perjuangan Sayidina Ali. Dia melihat pada usia yang semakin meningkat, pecutan menuju Allah harus dipercepat. Begitu juga Imam Syafii, yang pada usia 40 tahun mula memakai tongkat. Ketika ditanya mengapa, beliau menjawab, ”Aku mengingatkan diriku agar memecut lebih laju di jalan Allah.”

Ketika usia mencecah 40 dan ke atas, selalunya dunia lelaki sudah meluas. Kerjayanya sudah menampakkan hasil dan takaht akah  perjalanan di hadapannya semakin jelas. Lelaki semakin ditarik “keluar”. Langkah lelaki di usia itu semakin panjang. Rangkaian hubungannya semakin banyak. Banyak agendanya berada di luar lingkungan rumah tangga.

Dalam hal ini berhibur (dengan sahabat-sahabat) sambil bekerja adalah rutin yang menjadi keperluannya. Tidak hairan, kalau ketika ini mereka lebih suka minum teh tarik atau kopi di restoran atau tempat-tempat eksklusif berbanding di rumah sendiri.

Manakala pada wanita, hal yang sebaliknya pula berlaku. Anak-anak sudah mula membesar. Dia sudah punya teman untuk berbincang dan meluahkan rasa. Anak-anak semakin dekat untuk berkongsi cerita dan rasa. Kalau dulu, “telinga” dan “bahu” untuk mendengar dan diletakkan kepala (bila suka atau duka) hanyalah suami tetapi kini sudah ada anak-anak. Wanita ditarik “ke dalam”.

Jiwa keibuan sangat akrab dengan kasih sayang. Dan kasih sayang sangat dekatdengan kerohanian. Justeru, sering kali pada usia pertengahan, kaum ibu lebih mendekati agama. Sudah suka menghadiri majlis pengajian di surau atau masjid. Apa lagi bila anak-anak sudah besar, kerja rumah pun tidak sebanyak dahulu. Jadi masa lapang yang terluang digunakan untuk mendalami ilmu-ilmu agama.

Kembali kepada asas

Perbezaan inilah jika tidak ditangani dengan berhati-hati, akan menjauhkan kedua pasangan yang telah berusia. Sikap wanita yang lebih ingin “ke dalam” dan lelaki hendak “ke luar” ini akan meningkatkan lagi krisis di pertengahan umur. Mula-mula, ditahan-tahan. Lama-kelamaan tidak dapat dibendung lagi.

Maka terjadilah perceraian pada usia senja.

Jalan keluar kepada permasalahan ini ialah kembalilah kepada asas – maksudnya, untuk apa perkahwinan disyariatkan dalam Islam?

Bukankah untuk sama-sama melaksanakan misi ibadah dan menjadi khalifah di muka bumi? Lihat kembali bagaimana tahap ibadah asas, sunat dan umum di rumah kita. Jagalah ibadah-ibadah itu, nescaya cinta akan terbina semula.

Jika suami “ke luar”, keluarlah untuk menegakkan ibadah dan melaksanakan peranan khalifah. Begitu juga jika isteri “ke dalam”, tidak ada misi yang lain kecuali yang dua itu juga. Jika ini berlaku nescaya terbentuklah hubungan kesalingan yang harmoni dan sepadu – seimbanglah suasana dan kestabilan rumah tangga.

Perbezaan tidak lagi menjadi satu pertentangan, bahkan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Alhasil, krisis pertengahan umur menjadi satu ujian kematangan dalam melayari kehidupan berumah tangga. Selepas “krisis” ini hubungan akan bertambah erat lagi. Cinta bertambah kuat. Hingga apabila salah seorang pergi buat selama-lamanya, yang seorang pasti
menyusul tidak lama kemudian. Itulah yang dikatakan hidup berdua, mati pun bersama¤.

Oleh Pahrol Mohamad Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas