Menu

 

A+ A A-

TENGGELAM DALAM BUDAYA

Cikgu, saya ada saya satu kemusykilan. Saya ada bertanya dengan beberapa orang cikgu, ustaz dan juga ustazah, tetapi jawapan yang diberi menyebabkan saya bertambah keliru. Soalan saya, adakah salah saya meminati dan memakai baju berkonsep K-Pop?

Apa bezanya dengan orang lain yang meminati thrash, rock, hip hop, skin, dan sebagainya? Mereka juga ada pakaian dan cara tersendiri juga kan? Minta pendapat Cikgu.

Jawapan:

Terima kasih Saiful atas soalan. Minda, jiwa dan jasad mempunyai fungsi yang berbeza tetapi ada satu yang sama, iaitu ketigatiganya perlukan makanan. Makanan untuk jasad ialah apa-apa yang kita makan dan minum setiap hari. Tetapi tahu tak, apa yang kita makan, ada kesannya bukan hanya pada kulit dan perut, malah kepada hati dan perasaan juga. Contohnya, orang yang suka makan organ dalaman binatang (paru, hati, perut dan sebagainya) berkemungkinan menjadi pelupa berbanding yang jarang makan. Orang yang makan banyak sayur, ingatannya lebih bagus di samping kulit lebih cantik. Orang yang kurang karbohidrat pula lebih senang berasa sedih. Pelikkan? Maksudnya, apa yang kita makan mempengaruhi diri kita.

Begitu juga dengan minda dan jiwa kita, sangat memerlukan makanan. Apa makanan jiwa dan minda? Salah satunya ialah apa-apa kita baca dan hafal akan mengisi dan menjadi makanan kepada jiwa dan minda kita. Baik ‘makanan’ itu, maka baiklah jiwa dan minda kita. Itu sebabnya, timbul masalah ‘jiwa kacau’kerana kita tidak sedar, apa yang kita baca, dengar, serta amalkan bagi mengisi jiwa, membentuk jiwa kita menjadi kacau!

K-pop, trash, rock, hip hop, skin, dan sebagainya merupakan pembawaan imej tertentu berdasarkan tema muzik. Kalau K-pop rambut mereka ala-ala menutup telinga dengan berpakaian glamor. Trashpula mestilah berpakaian baju hitam, memakai jean dan berambut panjang tidak terurus. Sementara hip hopberseluar dan berbaju besar sambil berjalan terenjut-enjut seperti terkena kejutan elektrik dan skinpula sinonim dengan rambut yang sentiasa dicukur. Sama juga dengan punk, sanggup makan makanan yang dibuang di dalam tong sampah KFC dan McDonald kerana terikut dengan budaya punkdi negara Barat. Yang sedihnya, pengikut punk negara Barat memang tidak berduit dan terpaksa makan sisa makanan, jadi mengapa kita terikut dengan mereka?

Semua yang Cikgu sebut ini berkaitan dengan budaya pemakaian dan muzik, seterusnya terikut-ikut dengan peradaban atau tatasusila seseorang. Agak janggal kalau kita memakai pakaian berimej trash tetapi perwatakan kita lemah lembut, mesti geng trash lain akan kutuk! Agak janggal jika kita berimej hip hop tetapi bercakap penuh kesopanan. Tidak sesuai dengan imej yang dibawa. Maksudnya, dalaman (jiwa) adalah apa yang kita pamerkan di luar (imej).

Bagi Cikgu, pegangan ‘don’t judge the book by it’s cover’ kurang sesuai dalam konteks ini. Sebab itulah Rasulullah s.a.w tidak pernah mengikut perbuatan atau amalan kaum kafir dari segi amalan harian, adat, bahkan pakaian. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru satu kaum yang lain, maka dia dalam kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Cikgu tidak katakan peminat-peminat muzik seperti yang disebutkan di atas jahat, salah, berdosa dan sebagainya. Bagi Cikgu, jika mendengar lagu hanya sebagai satu hiburan yang tidak melalaikan, ia tidak menjadi kesalahan. Tetapi jika pemakaian dan gaya hidup kita terikut-ikut dengan imej tersebut, itu yang salahnya. Takuttakut banyak pula masalah dan bencana yang menimpa diri, terutamanya soal akidah dan keimanan.

Pada zaman remajalah jiwa kita merontaronta untuk diisi dan diubat. Sekarang, kita meminati kumpulan K-Pop, kita ikut gaya K-Pop. Tiga bulan lagi, mungkin J-Poppula dari Jepun yang muncul. Selepas itu, mungkin berpatah balik ke zaman rock, trash dan sebagainya. Tiada kesudahannya dan kita seperti lalang yang tidak berpendirian! Tetapi, jika Saiful dan juga pembaca lain boleh renung dan pertimbangkan, cuba fikirkan soalan-soalan Cikgu ini:

  1. Kita minat kuda, adakah kita hendak bertukar menjadi kuda?
  2. Adakah kita pasti gaya hidup berasaskan muzik yang diminati itu boleh membawa kejayaan untuk kita pada masa hadapan terutamanya dalam bentuk keimanan?
  3. Adakah rendah martabat orang yang meminati lagu berbentuk keagamaan, berakhlak dan penuh motivasi diri berbanding kita yang meminati muzik dan gaya hidup yang penuh lalai? Siapa yang rugi?

Saranan Cikgu, cuba layari Youtube dan cari lagu Ahmed Bukhatir berjudul ‘Forgive Me’, insya-Allah Saiful dan juga pembaca akan faham kekuatan muzik dan lagu dalam mengubat jiwa.

 

   Cikgu Yaser Mohd Akhir

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Yaser Mohd Akhir

Motivator Telaga Biru Training & Consultancy

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas