MENINGKATKAN INGATAN ANDA
- Ditulis oleh Ahmad Fadzli Yusof
- Kategori Motivasi
- Read 6190 times
KEMAHIRAN mengingat adalah satu kemahiran yang sangat penting bagi seseorang pelajar. Bukan sahaja untuk mengingat fakta-fakta dalam matapelajaran, bahkan kita juga perlu mengingati tugasan-tugasan yang perlu dilakukan setiap hari.
Bagaimanakah cara untuk meningkatkan ingatan kita? Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh anda lakukan, namun dalam ruangan ringkas ini, ada beberapa tip asas yang mudah untuk anda semua:
Yakinkan Diri Bahawa Anda Mempunyai Ingatan yang Kuat
Ingat semula perkara-perkara yang anda lakukan semalam. Cuba fikir tentang pakaian yang anda pakai, makanan yang anda makan, tempat yang anda pergi, dan beberapa tugasan yang anda telah selesaikan semalam. Banyak perkara yang anda ingat bukan? Tetapi sebenarnya ia tidak perlu disimpan dalam otak anda. Buang sahaja maklumat yang tidak penting. Berikan ruang kepada maklumat-maklumat penting. Memori anda kuat, cuma anda telah menyimpan maklumat yang tidak perlu. Akhirnya ia menjadi padat dan penuh.
Kenal Pasti Perkara yang Anda Benar-benar Perlu Ingat
Biasakan otak anda dengan perkara itu. Contohnya, setiap kali pulang dari kelas, anda perlu ingat apakah tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah. Setiap kali hendak ke kelas, anda perlu ingat apakah buku-buku rujukan yang mesti dibawa bersama. Selepas mengulangkaji, anda perlu tahu apakah fakta-fakta yang mesti dihafal (walaupun anda belum benar-benar mengingati fakta tersebut!). Biarlah otak anda merasa ‘mesra’ dan ‘selesa’ dengan perkara-perkara penting untuk anda ingati. Dengan ini, anda boleh mengurangkan masalah kelupaan.
Kenal Pasti Perkara-perkara yang Anda Tidak Perlu Ingat
Ramai orang menghabiskan banyak masa untuk mengingat perkara yang tidak perlu. Ingat, otak anda mempunyai ingatan yang kuat, cuma ia sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang anda tidak perlu ingat. Sentiasa tanya pada diri sendiri; Adakah saya perlu ingat perkara ini? Jika tidak, tinggalkan sahaja maklumat itu di atas kertas.
Tukar Perkara-perkara yang Anda Selalu Lupa kepada Bentuk Soalan Pengingat
Jika anda selalu lupa untuk membuat kerja kursus, anda boleh buat soalan seperti ini; Apakah kerja kursus yang perlu saya buat bulan ini? Bilakah tarikh akhir untuk menghantarnya? Kalau anda selalu lupa fakta-fakta sains, anda boleh membuat soalan seperti; Bagaimanakah proses mitosis berlaku? Apakah hormon yang mengawal fungsi seks manusia? Ada berapa organ perkumuhan dalam badan manusia? Selain daripada anda yang menanyakan diri sendiri, mintalah bantuan rakan-rakan anda untuk sentiasa bertanyakan kepada anda soalan-soalan pengingat. Mungkin ini juga boleh membantu.
Buat Kad Pengingat
Tuliskan perkara-perkara yang anda selalu lupa di atas kad kecil, dan bawa ke mana-mana. Setiap kali anda terasa seperti lupa sesuatu, tengoklah kad pengingat dan fikirkan tugasan-tugasan yang mungkin termasuk dalam perkara-perkara itu. Jika anda terlupa lagi, jangan bimbang. Kerana semakin kerap anda terlupa perkara itu, semakin kurang kemungkinan anda melupainya lagi.
Permudahkan Perkara-Perkara yang Sukar untuk Diingati
Ingat, semakin ‘mesra’ maklumat tersebut, semakin senang otak mengingatinya. Katakan anda hendak mengingati tujuh warna spektrum, iaitu; Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Indigo, Ungu. Anda boleh ambil huruf pertama setiap warna dan buat ayat seperti; Mamat Jual Kacang Hijau, Beli Itik Ungu. Kemudian anda boleh membayangkan seorang lelaki menjual kacang hijau untuk membeli seekor itik berwarna ungu.
Berilah Penghargaan kepada Otak Anda
Setiap kali anda berjaya mengingati sesuatu, pujilah otak anda sendiri. Iktiraf kemampuan otak anda mengingati perkara tersebut. Berilah keyakinan kepada otak anda untuk mengingat. Sememangnya otak anda hebat, hanya anda yang tidak meyakininya. ¤
Ahmad Fadzli Yusuf
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana
Ahmad Fadzli Yusof
Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.