Menu

 

A+ A A-

AMBIL INSPIRASI DARIPADA KISAH TOKOH

MENYEDARI remaja memerlukan contoh dalam hidupnya, saya ingin memanfaatkan ruangan ini untuk menyelitkan tokoh-tokoh masyarakat di Malaysia yang boleh dijadikan inspirasi kejayaan remaja.

Tokoh yang saya pilih untuk isu Solusi kali ini ialah Dr. Azizan Ahmad. Berkelulusan Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana dari Universiti Putra malaysia (UPM) dan Doktor Falsafah (UKM), beliau kini sebagai pensyarah di UKM.

Bergalaskan cita-cita ingin menjadi seorang guru dan pendakwah, putera sulung ini turun dari rumah nenek tirinya dan tabah melangkah ke sekolah dengan sepasang kasut plastik. Berzikir rerumput dan kelikir yang dipijak dalam 2km perjalanannya. Tiada basikal apatah lagi motor atau kereta.

Sesekali hari hujan, daun pisang menjadi peneman. Baju sekolah yang hanya sepasang perlu cermat dilindungi agar tidak basah. Selepas tamat sesi persekolahan, anak kecil itu sudah belajar berdikari mencari ikan atau menjual aiskrim untuk menjana pendapatan sekupang dua.

Lahir dalam sebuah keluarga miskin mematangkannya mengenai hakikat kehidupan seterusnya menyemarakkan api keazaman. Ayahnya seorang pemandu bas. Ibunya pula seorang ustazah dengan gaji RM28 sebulan. Tiga beranak ini tinggal di rumah sewa yang selayaknya dipanggil pondok atau gubuk buruk di Anak Bukit, Alor Star, Kedah. Jiran-jiran berhati mulia banyak membantu menghulurkan makanan.

Setahun dibelai dan dimanja, kehadiran seorang adik perempuan menambah gusar di hati ibu bapanya. Kesempitan hidup memaksa mereka menyerahkan putera sulungnya itu kepada nenek tiri. Dari usia 12 bulan hingga 12 tahun, mereka terpisah. Nenek tirilah yang memberi pendidikan awal dengan menyekolahkannya di Sekolah Kebangsaan Tualang, Pokok Sena, Kedah.

Nenek suka bercerita tentang ibunya merupakan seorang ustazah yang baik. Ia memberi inspirasi dalam hidupnya. Memendam rindu yang terbuku, Azizan rajin melangkah ke surau. Tiada langsung sekelumit dendam yang disimpan pada ayah dan ibunya memandangkan dia sedar tindakan mereka hanya kerana desakan hidup. Walau berjauhan, dia dapat merasakan aura kasih sayang ayah dan ibunya. Saban waktu, doanya dihantar buat mereka.

Kejayaan demi kejayaan dicipta sebagai pelajar contoh sejak di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Sekolah Men. Dato’ Syed Umar, Sekolah Men. Sultan Abdul Halim dan Kolej Islam Sultan Alam Shah pernah menjadi saksi kecemerlangannya dalam bidang akademik dan juga sahsiah. Dia pernah memegang amanah sebagai ketua usrah dan dikenali di kalangan guru-guru sebagai aktivis aktiviti kerohanian.

Anak Kedah ini terus mencipta kejayaan di peringkat institusi pengajian tinggi. Usai pengajian di Pusat Matrikulasi, gerbang UKM menantinya. Di situ, dia tampil menjadi mahasiswa contoh dengan merangkul pelbagai anugerah seperti Anugerah Dekan empat tahun berturutturut, Anugerah Biasiswa Kanan UKM empat tahun berturutturut, Tokoh Muslim UKM 1996, Anugerah Mahasiswa Kimia Terbaik Malaysia, 1996, Anugerah Sains Muslim Terbaik Malaysia dan sebagainya.

Ditanya tentang prinsip hidupnya, Dr. Azizan berkata, ”Yang baik itu apa yang Allah kata baik dan yang tak baik itu apa yang Allah kata tak baik.” Beliau pernah menjadi pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kecemerlangan terus menyusuri langkahnya.

Dia dianugerahkan Tokoh Pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2003 dan Tokoh Pekerja Kebangsaan 2004. Kini sebagai Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. ”Binalah personaliti diri dengan pandangan hidup yang jelas bermatlamatkan Allah s.w.t. dan berasaskan ilmu, kemahiran dan sikap,” ujarnya bersemangat bila diminta menasihatkan remaja.

Dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab, dia melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Himpunan Lepasan InstitusiInstitusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN). Keperluan masyarakat pada motivasi dan bimbingan mengilhamkannya untuk mengasaskan ProCAST Consultancy Sdn. Bhd. yang kini kian gagah melangkah hari demi hari, mendidik dan berbakti.

Dia menghapuskan air mata anak yatim, membela golongan ibu tunggal, mendekati ibu bapa dan memotivasikan pelajar dengan didikan demi didikan. Sinarnya dapat dirasai menyimbah ke segenap lapisan masyarakat. Tidak hairanlah dia terpilih sebagai tokoh dalam ”Kerdipan Bintang” yang disiarkan oleh RTM pada 22 Oktober 2007.

Jatuh cinta dengan perjuangan Rasulullah s.a.w., bapa kepada tiga puteri ini ingin mengikuti jejak Baginda mengeluarkan masya rakat daripada pemikiran yang menye leweng dan penyakit penyakit moral yang merosakkan generasi hari ini dan akan datang. ”Di mana kita berada, di situ ada tanggungjawab dan di situ kita mesti berperanan tak kira sebagai seorang ahli keluarga, pekerja, pelajar, pemimpin persatuan atau sebagainya.” Nasihatnya lagi buat remaja, membekas di jiwa dan menuntut amal yang bukan sedikit.

REMAJA - AMBIL INSPIRASI DARI KISAH TOKOH Fatimah Syarha


Oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Fiqh dan Psikologi) dan Ijazah Bacaan Quran Bersanad dan Daurah Bahasa Arab dari Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Syria. Kini menyambung pengajian Sarjana di UIAM. Berpengalaman menjadi Peer Tutor, Naqibah Study Circle, fasilitator dan Ketua Pengarah Kumpulan Panel Editor UIAM dan ustazah di Sek. Ren. Ibn Kathir, Gombak. Pernah dinobatkan sebagai novelis Sayembara Mengarang Novel Remaja DBP 2006. Mula berkarya dengan Telaga Biru Sdn. Bhd. pada Disember 2005.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

 

Kembali ke atas