ORANG LAIN TAK MENGERTI
- Ditulis oleh Prof Dr Sidek Baba
- Kategori Motivasi
- Read 5176 times
Melalui tingkatan dua merupakan tahun yang perit dan pedih. Aku terus berbasikal ke sekolah untuk menyambung hayat pelajaranku. Ayahku tidak mengetahuinya. Ayah menyiapkan duit lapan belas ringgit untuk menaiki bas. Tapi wang itu aku guna untuk membayar yuran sekolah dan juga membeli buku-buku tambahan yang diperlukan.
Di kelas namaku tidak lagi dipanggil kerana tidak membayar yuran. Di kelas aku tidak lagi dihina kerana tidak ada buku tambahan. Walaupun keputusan tidak menaiki bas adalah pedih, tetapi demi melunaskan keperluan sekolah menjadikan aku memiliki harga diri.
Kemiskinan memang boleh memberi kesan terhadap pelajaran. Keputusan peperiksaanku tidak begitu baik. Matematik dan Bahasa Inggeris merosot. Aku diletakkan di Tingkatan 2D, kelas yang tercorot sekali dalam kumpulan tingkatan dua. Hanya semangat saja yang kuat.
Pelajaran agak payah diikuti kerana subjek-subjek umumnya diajar dalam bahasa Inggeris. Aku kena bersaing dengan anakanak bandar yang sudah ada asas bahasa Inggeris. Guru-guru banyak menumpukan pengajaran terhadap murid-murid yang pandai. Aku terkial-kial cuba memahami apa yang disampaikan. Bagi subjek Matematik, aku gagal mengikutinya. Guru yang mengajar tidak bersifat pendidik. Pelajar sepertiku agak terbiar.
Di sekolah aku tidak ada kawan-kawan yang bersedia menolongku dalam membuat latihan dan kerja rumah yang dibekalkan oleh cikgu. Balik ke rumah dibebani pula dengan kerja-kerja rutin yang akhirnya meletihkan diriku. Aku hanya dapat mengulang kaji pelajaran selepas mengikuti kelas mengaji al-Quran.
Rumahku tidak ada meja untuk belajar. Aku menulis dalam keadaan meniarap. Dan kadang-kadang aku menggunakan kotak keras sebagai alas. Bekalan elektrik tiada. Waktu belajarku menggunakan pelita. Habis mengulang kaji, terasa jelaga daripada asap pelita menghinggapi hidung dan kening mataku.
Di kampung tidak ada tempat rujukan. Tiada sesiapa yang boleh ditanya atau berkongsi tentang soal-soal pelajaran. Selalunya latihan Matematik dan Bahasa Inggeris gagal aku sempurnakan.
Masih kuingat peristiwa yang amat memedihkan hati. Guru Matematik di Tingkatan 2D memulangkan buku-buku kerja rumah yang telah diperiksa. Aku masih ingat waktu itu aku duduk di belakang. Namaku dipanggil. Aku berdiri. Guru tersebut membaling buku latihanku tepat mengenai muka dan hidungku. Dengan bahasa yang menghina, dia berkata:
“Hey Sidek, you better go back to kampong tanam kacang.”
Pelajar-pelajar yang lain spontan mengalihkan pandangan mereka ke arahku. Sesetengahnya ketawa. Aku mengutip buku yang terjatuh di hadapanku lalu duduk dengan perasaan yang cukup terhina. Hampir aku mengalirkan air mata tetapi kutabahkan diri supaya tidak berasa sedih.
Peristiwa itu memberikan cetusan yang amat luar biasa pada diriku. Aku melihatnya secara positif. Ia melatari ingatanku sehingga kini. Bisik hatiku, “Aku akan buktikan dengan izin Allah bahawa aku boleh berjaya.”
Aku tahu latihan kerja rumahku banyak yang salah. Tetapi aku tidak boleh memahami pelajaran Matematik di kelas. Aku juga tidak pernah dipanggil oleh guru untuk membantu. Aku juga tidak ada kawan yang sudi membantu masalahku. Di kampung tidak ada orang yang boleh membantu.
Aku cuba mengatasinya dalam keadaan tidak tahu. Akhirnya latihanku banyak yang salah. Keputusan akhir tahun amat mengecewakan. Aku dapat nombor tercorot. Aku malu untuk menunjukkan keputusan peperiksaan yang diterima kepada ayah. Ayah akan kecewa melihat pencapaianku. Apakan daya, itulah kenyataan yang harus ditelan meskipun ia pahit.
Berselisih dengan Pakcik Jalil
Suatu hari dalam perjalanan balik dari sekolah, aku berselisih dengan Pakcik Jalil, jiran kampungku yang sedang berkereta ke bandar Melaka ke suatu tempat bernama Kampung Gelap. Entah bagaimana Pakcik Jalil terpandang aku sedang mengayuh basikal. Pakcik Jalil memperlahankan keretanya dan melambai-melambai. Aku membalas lambaiannya. Ini bermakna sudah ada orang kampung yang mengetahui aku mengayuh basikal ke sekolah. Apakah cerita ini akan sampai kepada ayah? Aku berdoa moga-moga ia jadi rahsia. Tapi tak mungkin ia akan dirahsiakan. Mengayuh basikal ulang alik ke bandar Melaka bukannya dekat.
Telahanku benar. Suatu malam, sedang makan malam selepas mengaji al-Quran, ayah bertanya: “Tadi ayah ke kedai Pakcik Jalil. Dia beritahu ayah dia nampak kau kayuh basikal balik dari sekolah. Betul ke nak?”
Wajah ayah tidak marah. Ia kelihatan tenang dalam rasa ingin tahu yang tinggi.
“Betul ayah. Sejak bas mogok tahun lalu saya naik basikal. Lepas mogok juga saya terus naik basikal.”
“Duit 18 ringgit yang ayah beri untuk beli tiket bas kau buat apa?” Ayah terus bertanya lagi.
“Saya bayar duit yuran dan beli buku tambahan ayah. Saya malu nama saya dipanggil cikgu tiap hari. Saya malu dengan kawan-kawan. Cikgu suruh beli buku tambahan. Menumpang kawan-kawan saya malu juga. Ada kawan yang sudi ada kawan yang tidak. Wang yang ayah beri saya bayarkan yuran dan belikan buku latihan,” aku menjawab dengan cekal.
Ayah terdiam dan tunduk dengan jawapan itu. Ayah terus berlalu ke biliknya. Aku kesal. Jawapanku mungkin mengguris hatinya.
Kesian ayah. Aku tahu dengan pendapatan menoreh getah sekitar dua ringgit lima puluh sen sehari tidak memadai. Ia cukup untuk membeli tepung, minyak, sedikit ikan dan pelbagai keperluan dapur yang lain. Duit 18 ringgit tidak datang dari situ. Duit tambang bas hasil untung jual petai, upah membuat tangga dan reban ayam, upah membersihkan teres ladang getah dan hasil keuntungan jual kuih dan anyaman tikar daripada ibu dan bantuan daripada abang.
Semangatku Menggunung Tinggi
Aku tidak sampai hati meminta lebih daripada itu. Berbekalkan cucur kodok yang digoreng oleh ayah setiap pagi sudah memadai untuk membolehkan aku ke sekolah. Aku tidak pernah merengek meminta daripada ayah lebih daripada itu.
Pada malam itu aku tidak boleh melelapkan mata. Ayah ada maruah. Orang kampong sudah tahu aku berbasikal ke sekolah. Tentu ada yang kesian dan ramai lagi yang mungkin mengeji. Tak mampu nak sekolahkan anak mengapa biarkan naik basikal dengan jarak yang jauh?
Namun prasangka itu aku buang jauh-jauh. Memang adat untuk berjaya mesti ada pengorbanan. Sejak awal memasuki sekolah menengah aku sedar bahawa jalan yang bakal kutempuh adalah payah. Mungkin sampai mungkin tidak. Semangatku menggunung tinggi, namun apakan daya kemiskinan kami terus-terusan menghantui. Hanya kecekalan yang tinggi mendorong diriku terus belajar demi mengejar kejayaan.
Dalam aku terlelap dan terlena, aku terjaga semula. Terdengar di sebalik dinding ayah sedang solat. Setahuku ayah sudah solat Isyak di masjid. Tamat solatnya, aku dengar ayah berdoa dengan suara yang pilu dan merayu kepada-Nya. Kemudian ayah teresak-esak menangis. Apakah ayah sedih dan kesian dengan apa yang berlaku pada diriku?
Tanpa kusedari air mataku mengalir sama. Ayah seorang yang amat kukasihi dalam hidup. Aku tahu semangatnya tinggi untuk melihat aku berjaya dalam pelajaran. Tapi apakan daya hidup kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Tapi hatiku tetap cekal. Aku akan terus mengayuh basikal walau apa pun kata orang. Basikal adalah penyambung hayat pelajaranku. Tanpanya cita-cita akan terbantut. Negara baru mencapai kemerdekaan waktu itu, maka ia menuntut suatu kesedaran baru. Sekiranya anak negeri Tanah Melayu pada waktu itu tidak bangkit daripada lena, nescaya bangsa kita akan terus ketinggalan. Perlu ada cetusan kesedaran yang tinggi untuk belajar dan menguasai ilmu supaya bangsa Melayu benar-benar merdeka dan mampu membangunkan negaranya sendiri.
Hikmah di Sebalik Kisah
Pada tahun-tahun awal kemerdekaan, kehidupan di kampung memang payah dan susah. Rata-rata penduduk sama ada bekerja sebagai penoreh getah, petani atau nelayan. Pendapatan yang diperoleh tidak seberapa dan cita-cita dalam pelajaran belum nampak jelas. Kalaupun ada yang mempunyai kesedaran, mungkin layak dipendamkan saja. Dan kalau ada yang mencuba juga, bakal menempuh seribu ke payahan dan kesusahan. Seringkali, kemiskinan hidup selalu berakhir dengan kemiskinan semangat dan cita-cita.
Bagiku, kisah hidupku memiliki hikmah yang tersendiri. Kemiskinan harta tidak semesti nya menyebabkan kemiskinan semangat dan ia harus diharungi dengan cekal untuk mengejar cita-cita. Banyak halangan yang perlu ditempuh dan banyak ranjau yang perlu dilalui.
Di sekolah tidak semua guru-guru memahami keadaan ini. Guru hanya mengajar. Yang cerdik dan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh mengikuti. Yang cerdik tetapi tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan cepat dan bersaing dengan mereka yang sudah menguasainya, sering tercicir dalam mengikuti pelajaran.
Di sini pentingnya guru memahami faktor sosioekonomi yang boleh menyebabkan jurang dan keciciran berlaku. Guru kena prihatin dengan pelajar-pelajar luar bandar yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar yang sederhana dan lemah harus didekati dengan rasa tanggungjawab. Guru harus memberi masa di luar kelas untuk memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka. Sekiranya mereka diberikan semangat bersama-sama bimbingan yang ikhlas, keadaan akan lain jadinya. Para pelajar ialah aset masa depan. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat nanti.
Tahun-tahun awal kemerdekaan amat payah untuk menerima hakikat bahawa orang miskin berdaya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah. Selalunya kalau si ayah penoreh getah, anak-anak akan berakhir sebagai penoreh getah juga. Kalau ayahnya petani atau nelayan, anak-anak bakal mewarisi pekerjaan yang sama. Lari daripada tradisi itu dianggap sebagai pelik dan tidak lazim. Ia selalunya jadi bahan umpatan dan cercaan yang tidak berkesudahan.
Apalagi ke sekolah yang jauh menaiki basikal pula amat menuntut perhatian dan bantuan masyarakat. Hikmah kisah ini memperlihatkan adanya kecekalan dan azam untuk meneroka satu jalan berfikir dan jalur usaha memperkasa diri dengan ilmu yang nanti bakal mengisi makna kemerdekaan.
Meski cabarannya banyak, dilalui dengan payah dan susah, tetapi kalau masyarakat mengerti, maka bantuan boleh dihulur dan doa boleh dipanjangkan. Takdirnya yang meneroka ini berjaya, ia bakal memberi dorongan kepada yang lain.
Sekiranya cita-cita anak-anak dibantu, negara kita akan menghasilkan masyarakat yang prihatin, bukannya masyarakat seperti yang di ungkap kan oleh pepatah, “Ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.”
Prof Dr. Sidek Baba
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6
Prof Dr Sidek Baba
Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Melayu) Universiti Malaya dan Sarjana Pendidikan Berbanding di Universiti Indiana, Bloomington, USA dan Ijazah Doktor Pendidikan di Universiti Northern Illinois, USA. Pernah menjadi pendidik, pegawai dan pensyarah, dan sekarang sebagai Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, UIAM.