KAWAN MEMBANTU ATAU MEMBANTUT?
TAHUKAH anda satu perangai pelik haiwan yang bernama ketam? Apabila anda meletakkan seekor ketam di dalam sebuah bakul, anda perlu menudung bakul berkenaan bagi mengelakkan ketam tersebut lari. Tetapi kalau anda tidak mahu menudung bakul berkenaan, ada satu alternatif mudah. Dengan meletakkan beberapa ekor ketam lagi ke dalam bakul tersebut, tiada seekor ketam pun akan lari. Mengapa terjadi sedemikian rupa?
Satu perkara lucu tentang ketam adalah apabila seekor ketam cuba untuk memanjat keluar daripada bakul berkenaan, ketam-ketam lain akan menarik ketam tersebut jatuh kembali ke bawah. Pada akhirnya, walaupun bakul berkenaan tidak bertutup, tiada seekor ketam pun yang berjaya keluar.
Pelajaran yang boleh diambil daripada kisah di atas adalah kawan –kawan yang negative ibarat ketam-ketam lain yang menarik anda apabila anda bergerak untuk mengubah diri. Mereka mungkin akan merendah-rendahkan, menghina, memfitnah atau berbuat apa sahaja apabila anda berusaha ke arah kejayaan.
Keperluan Emosi Anda
Kawan merupakan faktor yang sangat penting dalam menentukan arah tuju hidup anda. Sama ada anda derita atau bahagia, gagal atau berjaya, kalah atau menang, banyak dipengaruhi oleh golongan manusia yang anda bergaul. Salah satu keperluan emosi manusia adalah, mereka mahu berasa diterima oleh orang yang mereka bergaul. Jika ada seorang yang berkahwin tetapi tidak diterima oleh keluarga mertua, dia akan tertekan. Kalau seorang pekerja tidak diterima oleh pekerja lain di dalam organisasi tempat dia bekerja, dia juga akan tertekan. Pendek kata, apabila seseorang berasa tidak diterima, dia akan berasa tertekan! Mat motor berkawan dengan mat motor, ‘skaters’ (pemain papan seluncur) berkawan dengan ‘skaters’, ulat buku pula berkawan dengan ulat buku.
Untuk diterima, kita biasanya perlu berfikir dan berperangai seperti kawan-kawan dalam kumpulan yang sama. Jika kita berbeza, kita akan dipulaukan. Pernahkah anda berjumpa dengan sekumpulan ‘punk’ tetapi terdapat ahli yang berpakaian seperti orang alim? Fitrah manusia untuk suka dan bergaul dengan orang seperti mereka.
Apabila anda bergaul dengan sesuatu kumpulan, anda biasanya terpaksa menerima norma-norma pemikiran mereka. Di dalam sebuah kumpulan pelajar saya yang bermasalah, terdapat beberapa praktis tertentu seperti datang lewat ke kelas atau langsung tidak pernah menghantar tugasan, kuat mencarut, gurauan lucah dan sebagainya. Mereka menggelar pelajar-pelajar lain yang sentiasa akur dengan peraturan dan berdisiplin sebagai ‘mat dan minah skema’.
Sebaliknya, kumpulan pelajar-pelajar cemerlang yang sentiasa mendapat anugerah cemerlang setiap semester mempunyai sikap yang sama sekali berbeza. Mereka akan menghantar tugasan beberapa hari lebih awal, selalu membuat rujukan di perpustakaan, berjumpa dengan pensyarah dan sebagainya. Kalau memperoleh gred yang sederhana dalam peperiksaan, reaksi kekecewaan mereka seolah-olah mereka menghadapi kegagalan.
Sekarang anda boleh lihat sama ada anda mempunyai lebih ramai kawan yang membantu ataupun membantut. Salah satucara untuk mengubah hidup anda adalah dengan mengubah kawan-kawan rapat anda. Jika selama ini anda berkawan dengan orang yang tidak membantu, anda boleh mengubahnya sekarang. Mulakan!
HILMI ISA
Sumber artikel daripada GEN-Q 10
Hilmi Isa
Hilmi Isa seorang guru Bahasa Inggeris Komunikasi di Kolej Universiti Islam Melaka. Beliau juga berpengalaman mengajar Bahasa Arab. Hilmi memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (dan Kaunseling) dari UiTM. Selain memiliki Sijil Pengajian Usuluddin dari UM, beliau kini meyambung pelaran ke peringkat Diploma Lepasan Ijazah Pengajian Islam UIA. Hilmi menjadi pendebat Bahasa Arab di Kejohanan Debat Di Raja Kebangsaan dan Debat Bahasa Arab Universiti Universiti Asean. Istimewanya, Hilmi adalah pengamal hipnosis berdaftar dan NLP.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.