HOROSKOP DAN KAITANNYA DENGAN AKIDAH
- Ditulis oleh Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
- Kategori Dosa Pahala
- Read 13050 times
Amalan berjumpa tukang tilik, tukang ramal dan yang sewaktunya merupakan antara perkara yang boleh merosakkan akidah. Mungkin tanpa disedari oleh sebahagian masyarakat Muslim, rupanya wujud ancaman yang keras terhadap amalan sebegini.
Terdapat banyak riwayat yang menjelaskan sabda Nabi s.a.w. mengenainya. Antaranya satu riwayat yang bermaksud, “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau tukang ramal lalu bertanya kepadanya dan mempercayainya maka tidak diterima baginya solat selama empat puluh hari.” (Riwayat Muslim)
Ada dua unsur utama yang ditekankan dalam hadis ini iaitu mendatangi tukang tilik dan mempercayainya. Usaha untuk berjumpa tukang tilik adalah satu usaha yang tidak berfaedah dan sia-sia.
Adakah golongan ini mampu meramalkan sesuatu perkara dengan tepat? Selain tidak berfaedah di dunia, setelah bertanya dan mempercayai ramalannya, ibadah solatnya tidak diterima selama empat puluh hari. Aspek kedua adalah yang lebih kronik kerana dengan mempercayai apa yang dikhabarkanoleh tukang tilik, akan menjejaskan akidah.
Mempercayai ramalan itu sudah jelas berlawanan dengan akidah Islam kerana sebagai makhluk, tiada sesiapa pun yang mampu mengetahui perkara ghaib melainkan hanya Allah jua. Alhamdulillah kini, nampaknya amalan sebegini sudah di fahami sebagai salah dalam hukum Islam. Se bahagian nya faham bahawa perbuatan itu boleh merosakkan akidah.
“Tukang Tilik” Zaman Moden
Namun kini berkembang pula satu konsep yang cuba memberi tafsiran baru terhadap tilikan nasib. Ia diistilahkan sebagai horoskop.
Apakah itu horoskop?
Horoskop ialah ramalan tentang sesuatu perkara berdasarkan tarikh kelahiran. Ia mempunyai bintang seperti Taurus, Aries, Capricorn dan sebagainya. Maka apa yang berlaku akan ditafsirkan setiap hari berdasarkan “bintang” seseorang.
Namun dalam amalan membaca horoskop, tidak terdapat unsur mendatangi tukang tilik dan bertanya kepadanya. Horoskop ini diletakkan dalam akhbar tertentu. Juga tidak pasti lagi sama ada yang membaca horoskop akan mempercayainya atau tidak.
Di sinilah, kita perlu memahami akidah dengan jelas. Apa jua perkara yang boleh membawa kepada rosaknya akidah adalah salah.
Sekadar Suka-Suka Atau Hobi
Ada yang suka-suka sahaja membaca horoskop. Mungkin juga sebagai mengisi masa di samping menambah pengetahuan dan sekadar menjadi topik bualan sahaja. Namun sikap suka-suka ini tanpa diawasi oleh kemantapan ilmu akidah menyebabkan akidah mudah tergelincir. Malah ada pula yang sanggup melanggan SMS khusus untuk ramalan horoskop harian. Tidakkah dengan sekadar suka-suka itu akhirnya ia berubah menjadi suatu kesungguhan?
Mungkin ramai yang tidak sedar bagaimana boleh berlaku rosak akidah. Contoh yang paling dekat ialah, ditakdirkan apa yang diramalkan itu benar-benar berlaku. Anda kehilangan duit pada waktu pagi, dan pada waktu petang anda terbaca ramalan horoskop yang menyatakan anda akan kehilangan sesuatu. Ketika itu, tidak mungkinkah terdetik di hati bahawa ada juga kebenaran horoskop?
Ketika itu mungkin anda terfikir bahawa perkara kehilangan itu boleh dielakkan jika dia melakukan sesuatu. Maka anda mulai menyesal kerana tidak membaca horoskop lebih awal. Di sinilah kerosakan akidah telah mula berlaku.
Walaupun secara fizikal dia tidak pun datang berjumpa tukang tilik, namun dengan membaca ramalan horoskop itu telah termasuk dalam konsep hadis tersebut.
Zaman sudah berubah. Tilikan pun sudah makin canggih dan profesional. Ada yang menawarkan perkhidmatan tilikan melalui internet. Justeru, walaupun hadis secara zahir menyatakan “sesiapa yang datang berjumpa dengan tukang tilik”, boleh dikembangkan sesuai dengan zaman kini.
Kita bimbang dengan teknologi terkini dan kejahilan umat Islam, mereka sanggup melanggan secara tetap ramalan horoskop setiap hari. Sikap itu adalah suatu petanda kesungguhan mereka.
Sedarlah, mempercayai ramalan horoskop ini sama konsepnya sebagaimana mempercayai apa yang diramalkan oleh tukang tilik. Dibimbangi amalan membaca horoskop dan seterusnya mempercayainya termasuk dalam sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa yang datang berjumpa dengan tukang tilik dan bertanya kepadanya lalu mempercayainya maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Riwayat Abu Daud, no. 3906, Ahmad no. 9784)
Keharusan Membaca Horoskop
Persoalannya sekarang, adakah tidak boleh langsung kita membaca horoskop?
Dalam keadaan ini, hukumnya sedikit berbeza. Jika seseorang membacanya kerana ingin mengkaji, maka hukumnya harus. Jika dia membaca dengan tujuan untuk menolak ke fahaman terhadap horoskop, maka hukumnya juga harus. Namun jika dia membaca kerana mempercayainya, maka hukumnya haram dan mesti dijauhi. Ianya boleh merosakkan akidah. Begitu juga membaca secara suka-suka wajar ditinggalkan, kerana boleh membawa kepada mempercayai ramalan tersebut.
Secara umumnya, dikhuatiri ia boleh menggugat akidah. Jika seseorang itu sudah faham dan yakin tentang akidah yang benar, maka tiada masalah baginya untuk hanya sekadar membacanya.
Umat Islam hendaklah sedar bahawa perkara ghaib itu dalam ilmu Allah. Pernah suatu masa, Nabi Muhammad s.a.w. diuji oleh masyarakat sekitarnya. Mereka meminta Nabi s.a.w. meneka apakah yang ada dalam genggaman tangan mereka. Nabi s.a.w. tidak mampu menjawabnya. Dalam satu riwayat, seorang sahabat bernama Zaid ibn Khalid alJuhani menceritakan bahawa Nabi s.a.w. solat Subuh di Hudaibiyah selepas hujan pada waktu malam.
Selesai solat, Nabi s.a.w. bersabda yang mafhumnya: “Tahukah kamu apakah yang Tuhan kamu firmankan?”
Jawab para sahabat, “Bahawa Allah dan rasulNya lebih mengetahui.” Nabi s.a.w. bersabda, Allah berfirman yang mafhumnya: “Berpagi-pagi daripada hambaKu beriman kepadaKu dan kufur kepadaKu.
Adapun yang menyatakan bahawa kami diberi hujan dengan kurniaan dan rahmat Allah maka dia beriman kepadaKu dan kufur kepada bintang.
Dan adapun yang menyatakan bahawa kami diberi hujan dengan bintang demikian dan demikian maka itulah orang yang kufur kepadaKu dan beriman kepada bintang.” (Riwayat Muslim, no. 125)
Suasana masyarakat Arab ketika itu lebih terarah kepada unsur khurafat dan syirik. Kehadiran sesuatu bintang dikaitkan dengan kelahiran seseorang. Gerhana matahari atau bulan pula mungkin kerana kematian seseorang. Maka bagi membersihkan unsur khurafat dan karut ini, maka kepercayaan terhadap bintang ini ditolak dalam Islam.
Dari manakah sumber ambilan perkara-perkara ghaib tersebut? Ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan makhluk halus iaitu jin. Jin mendengarnya samar-samar di langit. Sabda Nabi s.a.w.:
“Itulah kalimah yang benar di mana jin mendapatnya (dan menghafaznya) lalu ia mencampakkannya ke dalam telinga walinya namun ia sudah mencampuradukkan dengan seratus pendustaan,” (Riwayat Muslim, Bab Tahrim al-Kahanah, no. 2228)
Kelogikan Tilikan Horoskop
Satu hal yang menarik untuk dikaji ialah ramalan horoskop. Pernahkah kita terfikir bahawa kebanyakan ramalan horoskop hanyalah secara umum sahaja. Keumuman ini menjadikan ia relevan dan dirasakan sesuai dengan mana-mana individu.
Contohnya diramalkan seseorang akan mendapat perkara baik hari ini. Atau diramalkan seseorang akan menerima perkara sedih pada hari tersebut. Tidakkah kita terfikir bahawa kebiasaannya ada sahaja perkara baik yang berlaku setiap hari, dan tidak kurang juga perkara sedih yang berlaku? Kemujuran inilah yang nampaknya dieksploitasi hingga menjadikan amalan horoskop kelihatan begitu “tepat” mengenai diri kita.
Solusi yang perlu difahami ialah tiada satu kebenaran pun yang diiktiraf dalam Islam bagi amalan tilikan. Ini termasuklah sistem horoskop. Maka menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menghindari daripada amalan khurafat yang jelas membawa kepada syirik ini. ¤
Oleh Ustaz Mohd. Nidzam Abd. Kadir
Sumber artikel daripada majalah Solusi
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.