APABILA ZINA BERLELUASA
- Ditulis oleh Ustaz Soleh bin Abd. Razak
- Kategori Dosa Pahala
- Read 11144 times
Rasulullah telah memberikan beberapa gambaran suasana umat manusia semasa menjelangnya hari kiamat, antaranya gejala zina. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya antara tanda kiamat itu adalah sedikitnya ilmu, merebaknya kebodohan dan perzinaan secara terang-terangan. Jumlah perempuan semakin banyak dan sedikitnya lelaki sehinggakan nisbahnya 50 perempuan:1 lelaki sahaja!” (Riwayat al-Bukhari)
SOALAN : Apakah yang dimaksudkan dengan perzinaan secara terang-terangan dalam hadis tersebut?
JAWAPAN :
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menerangkan maksudnya: “Perzinaan menjadi suatu kelaziman dan terkenal sehinggakan perkara ini tidak dapat disembunyikan lagi disebabkan banyaknya golongan yang terjerumus ke dalamnya.” Imam al-Munawi pula menyebut dalam al-Taisir bi Syarhal-Jami’ al-Shaghir: “Iaitu apabila berleluasanya perzinaan sehingga tidak dapat dicegah lagi.”
Tiada Lagi Orang Beriman
SOALAN : Bagaimana dengan keadaan orang beriman pada ketika itu?
JAWAPAN :
Sebenarnya golongan yang benar-benar beriman telah tiada ketika itu. Yang ada hanyalah manusia-manusia yang berperangai buruk. Betapa buruknya golongan ini sehingga mereka sanggup berzina dikhalayak ramai!
Rasulullah menceritakan dengan maksudnya: “Yang tersisa ialah seburuk-buruk manusia. Mereka berzina tidak ubah seperti keldai. Maka ke atas merekalah kiamat akan terjadi.” (RiwayatMuslim)
Rasulullah juga pernah bersabda, maksudnya: “Demi Yang diriku di tanganNya, tidak Akan hancur umat ini sehinggakan kaum lelaki mendatangi wanita, lalu mereka berzina dengannya dijalanan. Orang yang paling baik yang ada pada ketika itu pun hanya berkata: “Kalaulah engkau berselindung di belakang tembok ini.”
(Riwayat Abu Ya‘la)
Jika ada orang Islam pun, mungkin hanya pada nama semata-mata. Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Akan ada golongan daripada umatku yang menghalalkan zina, sutera, arak dan peralatan muzik.” (Riwayat al-Bukhari)
Jangan Hampiri Zina
SOALAN : Gerun sekali apabila membayangkan keadaan manusia pada ketika itu. Namun pada hari ini pun kita sudah merasakan bahawa gejala perzinaan itu semakin dianggap biasa. Apa yang kita boleh lakukan?
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina!” (Surah al-Isra’: 32)
Allah bukan setakat mengharamkan zina, malah melarang kita daripada menghampiri zina. Penegasan tersebut dilakukan kerana baik lelaki mahupun perempuan ada naluri untuk mengadakan hubungan seks. Apabila kedua-dua duduk berdekatan, gelora syahwat itu sukar dielakkan. Justeru, Rasulullah memperingatkan kita dengan maksudnya: “Janganlah ada antara kamu berkhalwat dengan mana-mana wanita bukan mahram, kerana orang yang ketiga ialah syaitan.” (Riwayat Ahmad)
Dr. Marion Hylard, ketua Bahagian Wanita dan Hospital Bersalin di Universiti Toronto ada membuat kajian. Dalam kajiannya beliau mendapati bahawa dengan duduk berdua-duaan di tempat yang sepi dan ada sentuhan kulit sekalipun dengan hujung jari sahaja pasti membangkitkan nafsu seks. Apatah lagi jika disertakan dengan rabaan dan ciuman. Semuanya itu merupakan pembangkit syahwat yang terpendam dalam diri seorang perempuan. Pada saat itu dia tidak dapat menguasai dirinya lagi walaupun dia seorang biarawati yang memakai pakaian agama sekalipun.
Dia akan menyerah diri bahkan meminta-minta agar gelojak nafsunya dipuaskan. Walaupun sesudah itu dia akan menangis dan meratap kerana kehilangan sesuatu yang berharga yang sekian lama dipertahankannya. Penjelasan berkaitan hal ini secara lanjut dinukilkan oleh Prof. Dr. Hamka dalam Tafsir al-Azhar.
Justeru, tidak hairanlah Allah mengharamkan zina ini dengan ungkapan “janganlah kamu menghampiri zina”. Begitu mendalam sekali maksud firman Allah yang sewajarnya kita memahaminya dengan hati yang suci.
Panduan Cegah Zina
SOALAN : Bagaimana caranya untuk mengelakkan mana-mana ahli keluarga kita daripada terjerumus dalam noda zina ini?
JAWAPAN :
Dalam rangkaian usaha agar tidak sampai menghampiri zina, Islam banyak memberikan peraturan sopan santun yang tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa pun. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur, ayat 27, 30-32, 60 dan surah al-Ahzab, ayat 32-33 serta surah-surah yang lain.
Rumusannya:
1.Peraturan memasuki rumah seseorang dengan memberi salam dan hanya masuk apabila diizinkan.
2.Menjaga pandangan mata.
3.Memakai pakaian yang menutup aurat, sopan dan tidak berhias.
4.Meminta izin untuk memasuki bilik tidur ibu bapa.
5.Wanita bercakap dengan nada yang tegas dan tidak melunakkan suara. Mencari jodoh pasangan yang beragama setelah anak berkemampuan untuk berkahwin.
6.Nasihat saya kepada para ibubapa, jika ada anak yang sudah menemui calon pasangan hidupnya yang disenangi oleh agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah mereka dan permudahkanlah segala urusan perkahwinan mereka. Jangan sesekali ibu bapa yang menjadi penghalang terhadap perkahwinan anak-anak ini. Jangan sesekali menyusahkan urusan perkahwinan anak-anak kita dengan pelbagai syarat dan peraturan yang membebankan dan menyusahkan. Sesungguhnya agama itu mudah.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Mohd Solleh Abd. Razak
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Ustaz Soleh bin Abd. Razak
Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.