Menu

 

A+ A A-

TIDAK RUGI BERSEDEKAH

Tidak dinafikan amalan bersedekah dianjurkan dalam Islam. Namun apakah hubungan antara iman dan sedekah?

Sedekah dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang diberikan. Jika dilihat pada kata dasarnya- صدق ia bermakna benar atau kata terbitannya الصدق ia bermaksud kebenaran. Maka jika dilihat pada hubungan perkataan tersebut, ia memberi suatu gambaran bahawa amalan sedekah merupakan bukti seseorang hamba itu benar-benar menjadikan kehidupannya sebagai ibadah kepada Allah. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa diberikan nama “sedekah” kerana ia merupakan bukti atas kebenaran iman seseorang. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Dan bersedekah itu bukti!” (Riwayat Muslim)

Maka bertitik tolak daripada asas inilah, maka menjadi suatu keperluan untuk kita menilai sejauh mana benar dan teguhnya keimanan yang kita miliki. Justeru antara tanda atau bukti keimanan itu, dapat dilihat daripada amalan sedekah kita.

Manfaat Buat Penderma

Sememangnya tabiat manusia ini sikapnya berkira-kira. Setiap perkara yang dilakukan, dia ingin tahu apa manfaat untuk dirinya. Jadi apa manfaat yang akan diraih oleh orang yang bersedekah?

Seseorang yang bersedekah sebenarnya adalah seorang hamba yang merasakan bahawa segala nikmat yang diperolehnya adalah anugerah daripada Allah. Lantas sebagai tanda syukur, hamba Allah itu menunaikan hak pada nikmat tersebut dengan membantu insan lain.

Hakikatnya terdapat banyak manfaat daripada amalan bersedekah antaranya:

1. Pembersih dan penyuci jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka daripada dosa dan menyucikan mereka (daripada akhlak keji) dan doakanlah mereka.” (Surah al-Tawbah 9: 103) Sama ada kita sedari atau tidak, dosa yang menghitamkan hati kitalah yang menjadi salah satu sebab utama kesempitan hati, resah gelisah, hidup berkeluh-kesah, buntu mencari solusi hidup dan sebagainya. Segala perasaan gundah-gulana itu adalah satu bentuk signal daripada Allah agar kita bersegera melakukan penyucian hati dengan pelbagai cara seperti taubat, istighfar, bersedekah dan sebagainya.

2. Setiap yang kita sedekahkan, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan melipat gandakan ganjaran dan kelapangan rezeki.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa yang kamu belanjakan daripada sesuatu, maka Allah akan menggantikannya.” (Surah Saba’ 34: 39) Ada satu hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai anak Adam, berinfaklah. Aku akan berinfak untukmu!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Sedekah memadamkan kemurkaan Allah dan menghindar su’ al-khatimah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah itu pasti memadamkan kemurkaan Allah dan menghindar daripada kematian yang buruk.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sesungguhnya kesudahan yang baik (husn al-khatimah) menjadi impian besar kita. Tambahan pula kesudahan hidup inilah yang memberi impak besar untuk menentukan suasana kehidupan kekal yang akan kita hadapi, sama ada dalam nikmat atau sebaliknya.

Justeru, kuncinya ada pada amalan bersedekah yang bukan sahaja dapat menolak kematian yang buruk, bahkan ia dapat memberi syafaatnya kepada kita pada hari kiamat kelak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap orang berada di bawah lindungan sedekahnya sehingga ditentukan kedudukannya oleh Allah dalam kalangan manusia.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Salah seorang perawi hadis bernama Abu Khair, setelah beliau mendengar hadis tersebut, tidak pernah sehari pun beliau tidak bersedekah walaupun hanya dengan sepotong kuih atau bawang.

tidak-rugi-bersedekah-1

Wanita Lebih Perlu Bersedekah

Saya ada dengar sebelum ini pada perempuan lebih digalakkan supaya menderma. Betulkah begitu?

Benar, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian wanita, hendaklah kamu bersedekah dan perbanyakkan istighfar. Sesungguhnya aku melihat ramainya kaum wanita di dalam neraka!”

Salah seorang wanita bertanya: “Kenapa kaum wanita ramai yang menghuni neraka?” “Kalian sering melaknat (berkata keji) dan derhaka terhadap suami.” Begitu juga dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang memberi gambaran bahawa Rasulullah sangat menitik berat amalan bersedekah kepada kaum wanita. Sebaik Rasulullah selesai menyampaikan khutbah hari raya Aidilfitri, lalu Rasulullah mendekati jemaah Muslimah dengan ditemani oleh sayidina Bilal bin Rabah. Bilal menghamparkan sehelai kain di hadapan jemaah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bersedekahlah.” Maka kaum wanita pun bersedekah dengan duit dan ada yang menanggalkan kalung dan cincin mereka.

tidak-rugi-bersedekah-2

Norhafizah Hj. Musa

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas