Menu

 

A+ A A-

SUDAH TERSUNGKUR BARU AKUR

Kalau aku dapat pencuri kereta aku, aku akan kerat empat!” Begitu luahan marah seorang kenalan sewaktu kami bertemu minggu lalu.

”Begitu geram, marah?”

”Yalah, dengan kereta itulah aku mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan balik kampung. Ia seolah-olah nyawa kepada keluarga kami.”

“Sampai nak kerat empat?”

“Confirm! Kalau dapat aku tak lepas,” akuinya terus terang.

Melihat dia marah-marah begitu saya “tersenyum” dalam hati. Betapa tidak, saya memang mengenalinya sejak di IPT lagi. Masih segar dalam ingatan saya perbualan kami lima tahun yang lalu. Ketika itu beliau begitu sinis dengan hukum hudud.

“Bagi aku ayat al-Quran tentang Hudud perlu tafsiran semula. Realiti dunia berubah.”

Saya terdiam, berfikir bagaimana siswa jurusan Sains dan Matematik itu begitu “arif” dalam ilmu tafsir.

“Mengapa begitu. Syariat itu sesuatu yang evergreen, sesuai untuk setiap zaman dan masa,” balas saya.

“Kejam sangat. Curi sahaja, potong tangan. Habis macam mana pencuri itu nak meneruskan kehidupan?”

Begitulah besarnya simpati beliau kepada pencuri.

 

sedarWalaupun saya telah cuba jelaskan bahawa sebagai hamba Allah kita perlu patuh dengan segala yang diperintahkan-Nya, namun dia tetap berkeras. Ketika saya bermati-matian menyedarkan bahawa ilmu manusia yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu Allah Yang Maha Luas, dia membalasnya dengan berkata:

“Tuhan juga memberi kita akal, kita gunakanlah akal untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukum-Nya mengikut peredaran keadaan dan masa.”

Saya masih ingat juga bagaimana reaksinya ketika saya menegaskan bahawa kitalah yang harus tunduk dengan menyesuaikan keadaan dan masa menurut hukum Allah, bukannya hukum Allah yang diubah mengikut keadaan dan masa.

Dia begitu marah. Ketika muzakarah itu hampir menjadi mujadalah dan ada riak-riak yang kami hendak berbalah, maka saya menukar tajuk perbualan. Dalam hati terdetik, mudah-mudahan saatnya tiba juga untuk dia memahami hakikat sebenarnya.

Ya, detik itulah yang tiba kini. Saya tidak akan melepaskan peluang untuk memberi penjelasan walaupun kekusutan itu telah berusia lima tahun.

“Kau berubah,” kata saya tiba-tiba.

“Berubah apanya?”

“Kau dah menyokong hudud sekarang,” tusuk saya tanpa berselindung lagi.

Dia terdiam. Mungkin fikiran dan ingatannya mula terusik oleh imbasan “muzakarah” kami tentang hudud lima tahun yang lalu. Saya tidak gusar kalau dia menerima hudud tetapi sekadar berbeza pandangan tentang kaedah penjelasan dan proses pelaksanaannya (yang tentunya menagih kebijaksanaan dan tempoh masa), tetapi dia menolak secara total. Itu yang bahaya.

Dia masih diam.

“Tak simpati dengan pencuri kereta kau?”

“Bukan tak simpati tapi...”

“Tapi geram? Marah? Kau terasa dizalimi, dikhianati bukan?”

Sebenarnya bukan sahaja saya simpati bahkan empati dengan kecurian keretanya. Saya sendiri pernah kecurian telefon bimbit - begitu banyak data, maklumat, gambar kenangan serta pesanan ringkas yang menjadi nostalgia hilang bersamanya. Saya dapat merasakan kegeramannya walaupun tidaklah sampai berazam untuk mengerat empat si pencurinya.

“Hudud tak sampailah kerat empat. Hanya setakat kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang begitu ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi sekadar mendidik pencuri dan menegakkan keadilan buat masyarakat.”

Apabila terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.

Melihat dia diam, saya menambah lagi:

“Jangan apabila hak Allah dicabar kita diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apabila kita atau keluarga kita jadi mangsa curi, rompak, ragut, zina dan rogol... barulah kita jadi menyokong hukum Allah!”

Songkok vs Kopiah

‘‘Tolong tukar kepada songkok. Kalau tidak, payah awak nak dapat projek ni,” cadang seorang kenamaan kepada saya beberapa tahun yang lalu.

“Kenapa dengan kopiah?”

“Awak faham-faham sendirilah,” balasnya pendek.

Saya mengangguk sahaja walaupun hakikatnya saya belum benar-benar faham apa yang dimaksudkannya.

Apa kena-mengenanya antara kopiah atau songkok yang saya pakai dengan projek yang ditawarkan. Yang penting ialah reputasi dan kompetensi seseorang dalam melaksanakannya yang harus menjadi penilaian dan pertimbangan.

Apabila saya cuba menjelaskan hakikat itu, tokoh itu berkata, “Ini soal sensitif. Ada orang dalam committee yang menilai tidak senang dengan kopiah putih. Awak tak kan tak faham.”

Sekali lagi saya terpinga-pinga apabila cuba memahami soal ketidakfahaman” mereka dalam hal ini. Di mana rasionalnya? Lebihlebih lagi, profesionalkah sikap ini?

* * * * *

sedar1Satu ketika yang lain, kawan saya yang bersongkok pernah disindir apabila singgah di sebuah masjid di utara tanah air untuk mengerjakan solat jamak.

“Dia dah datang dah...” kata seorang lelaki ahli kariah setempat.

“Musim-musim macam nilah selalunya baru nak jenguk muka,” sampuk seorang lagi.

Kawan saya yang bersongkok itu terpinga-pinga, tidak faham apa maksud sindiran mereka yang berkopiah itu. Dia kebetulan hanya singgah di situ untuk mengerjakan solat. Hanya apabila dia membaca risalah-risalah, iklan-iklan ceramah dan poster yang ditampal di persekitaran masjid barulah dia faham. Rupanya dengan bersongkok begitu dia dianggap ahli parti politik lawan yang hendak “turun padang” ke kawasan itu. Dan musim itu ialah musim pilihan raya!

* * * * *

Seorang kawan saya yang lain pula meluahkan rasa hatinya betapa terujinya dia dengan memakai kopiah di tempat kerja.

“Saya dilayan dengan begitu curiga oleh bos sendiri,” katanya.

“Mengapa? Hanya dengan ber berkopiah?” tanya saya kehairanan.

Dia mengangguk. Kawan saya disyaki membawa agenda politik ke tempat kerja. Padahal saya tahu beliau berkopiah sejak di sekolah rendah lagi. Dia anak seorang guru agama yang memang dibiasakan oleh bapanya berkopiah sejak kecil. Tidak ada kena-mengena dengan soal politik.

Saya masih ingat betapa praktikalnya memakai kopiah jika kita bermusafir dari satu tempat ke satu tempat. Kopiah senang dilipat dan dibersihkan ataupun dibasuh. Berbanding songkok yang perlu dijaga selalu. Jika terhenyak, apalagi kalau terduduk ia akan mudah terperosok. Namun kopiah juga ada “kekurangannya”. Apabila menghadiri majlis-majlis rasmi umpamanya, songkok kelihatan lebih segak dan manis apabila dipadankan dengan baju Melayu (malah dengan pakaian kasual sekalipun).

Soalnya sekarang, apakah kita hendak bersongkok atau berkopiah? Atau lebih tepat lagi mana lebih baik, songkok atau kopiah? Pada saya, mana-mana pun boleh. Yang penting semuanya harus dipakai berdasarkan hukum syariat, dan syariat juga mengiktiraf soal budaya serta adat setempat yang tidak bertentangan dengan agama.

* * * * *

Saya terbaca jawapan kiyai muda yang tersohor di Indonesia, Aa Gim (KH Abdullah Gymnastiar), apabila ditanya mengapa ada kalanya dia berserban, berkopiah atau kekadang tidak memakai apa-apa penutup kepala, dia menjawab:

“Saya memutuskan untuk lebih fleksibel. Kadang berkopiah, kadang berserban dan kekadang tidak berkopiah atau berserban sama sekali, kerana ternyata Rasul pun begitu. Oleh kerana itu, kita tidak boleh mengikat diri kepada aksesoris tertentu. Yang penting kita berusaha menjadi lebih baik daripada topeng yang kita pakai...”

Aa Gim, walaupun saya rasa (maaf kalau tersilap) tampil berserban pada kebanyakan waktu dan keadaan, (kerana itu pakaian sunah dan tradisi orang soleh), tetapi tetap praktikal dalam menghadapi kepelbagaian suasana dan menangani keragaman keadaan.

Dan yang paling penting, jawapannya itu tidak memisahkan antara golongan yang berkopiah, bersongkok, berserban atau “gondol” begitu sahaja. Dan jawapannya merupakan satu didikan (tarbiah) untuk setiap golongan memperbaiki hati masing-masing.

Suatu masa dulu, ketika saya ingin tampil berceramah di sebuah organisasi bertaraf korporat, saya “dinasihatkan” agar menanggalkan kopiah.

“Kalau nak tutup kepala juga tuan, pakai sahaja songkok,” kata pengerusi majlis yang begitu cemas. Saya faham dia terpaksa menjaga hati banyak pihak dan pada masa yang sama dia tidak mahu mengecilkan hati saya.

“No problem,” jawab saya,

“Kalau awak minta saya tak pakai apa-apa penutup kepala pun tidak mengapa asalkan saya boleh berdakwah!”

Ya, kalau apa yang saya pakai di kepala menjadi penghalang kepada apa yang saya ingin sampaikan dari hati nurani ini... maka biarlah kopiah atau songkok itu “terkorban”. Kita mesti bijak menilai keutamaan.

* * * * *

Demikianlah rentetan kisah “remeh-temeh” tentang kopiah vs songkok dalam masyarakat. Kelihatannya sahaja kecil dan terpinggir namun itu hanya umpama a tip of iceberg sahaja kepada persoalan dan permasalahan yang lebih besar dalam kalangan masyarakat– soal toleransi, kasih sayang, tahap kefahaman, pengurusan perbezaan, memilih keutamaan dan lain-lain yang sudah terhakis dalam hati dan diri umat Islam.

Kita seolah-olah mencari-cari sebab sahaja untuk bertelagah, curiga dan berprasangka. “Gila politik” tidak kira musim, tempat dan keadaan sehingga soal kita pakai di kepala pun mampu menimbulkan polemik. Padahal yang lebih penting ialah dahi itu yang sujud kepada Ilahi. Bukankah Allah, Tuhan kita itu satu?

Solusi 6

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6

 


 

 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas