SEBELUM PERANG ARMAGADON
- Ditulis oleh Solusi
- Kategori Fardhu Ain
- Read 8260 times
SEBUAH hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Umar, menukilkan bahawa pada suatu waktu mereka (Abdullah bin Umar bersama sahabat Nabi s.a.w. lain) sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. Ketika itu baginda berbicara tentang fitnah-fitnah (cubaan dan huru-hara) sehingga baginda menyebut fitnah al-Ahlas.
Lalu seseorang bertanya kepada baginda s.a.w.: “Wahai Rasulullah, apakah fitnah al-Ahlas itu?” Baginda menjelaskan: “Al-Ahlas ialah pelarian (dari medan peperangan) dan hilangnya harta dan keluarga. Kemudian (baginda s.a.w. menyebut) pula fitnah as-Sarrak (fitnah kesenangan) yang mana ia berasal dari dua tapak kaki seorang laki-laki yang berasal dari kaumku yang mana dia mengaku berasal dari keturunanku, sedangkan dia bukanlah dari keturunanku, akan tetapi para waliku adalah orang yang bertakwa.
“Kemudian manusia akan dipimpin seorang laki-laki seperti paha di atas rusuk (tidak stabil atau tempang) dan ia berlangsung tidak lama. Kemudian datang pula fitnah Duhaimak (bencana dan huru-hara), yang mana dia tidak akan membiarkan seorang dari umat ini kecuali akan diserangnya. Apabila dikatakan ia telah selesai, maka ia akan menjadi-jadi. Pada pagi harinya seorang lelaki itu akan beriman, sedangkan pada malam harinya dia pula menjadi kafir, sehingga manusia akan menjadi dua kelompok. Kelompok Iman yang tidak ada kefasikan dan Kelompok Fasik yang tidak ada iman.
“Apabila telah terjadi hal tersebut, maka tunggulah (ketibaan) Dajjal dari hari itu atau dari keesokannya.” (Hadis sahih riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Hakim).
Fitnah yang panjang masanya
Perkataan “al-Ahlas” secara bahasa bererti “kain yang diletakkan di atas belakang unta.” Imam at-Khattabi berkata: “Fitnah ini disebut dengan ahlas, kerana fitnah ini sangat panjang masanya kerana ahlas secara bahasa adalah bererti ‘kain yang digunakan sebagai alas duduk di atas suatu tempat selama ia tidak diangkat kembali.’ Dan dalam tafsiran yang lain menyebut bahawa maksud fitnah itu disebut ahlas, kerana warnanya yang hitam kelam.” (Ma’alimussunan oleh Al-Khattabi, halaman 131).
Fitnah Ahlas juga bermaksud fitnah yang sangat panjang yang sudah dimulai semenjak zaman para Sahabat, di mana Umar bin al-Khattab adalah dinding pembatas antara kaum Muslimin dengan fitnah ini, sebagaimana yang diterangkan Nabi s.a.w. ketika baginda berkata kepada Umar: “Sesungguhnya antara kamu dan fitnah itu (al-Ahlas) terdapat pintu yang akan hancur.”(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.) Sabda Rasulullah s.a.w. ini memang telah menjadi kenyataan, di mana ketika Umar baru saja meninggal dunia, hancurlah pintu tersebut dan terbukalah fitnah ini terhadap kaum Muslimin dan ia tidak pernah berhenti sampai sekarang, terjadi peristiwa demi peristiwa pelarian perang. Sungguh benar segala apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa ia adalah fitnah Ahlas.
Fitnah as- Sarrak
Fitnah Ahlas yang panjang masanya itu terus berlanjutan berlaku ke atas kaum Muslimin sehingga datang pula fitnah as-Sarrak (fitnah kesenangan harta benda), yang mana ia telah bermula pada zaman kita sekarang ini dan menjadi pintu gerbang menyambut kedatangan fitnah Duhaimak.
Fitnah Duhaimak
Fitnah Duhaimak bererti bencana huru-hara dan kesusahan, iaitu fitnah pertempuran-pertempuran terakhir yang akan bermula dengan perang Armagadon dan fitnah Duhaimak ini akan berakhir dengan terbunuhnya Dajjal yang terlaknat oleh Isa Ibn Maryam a.s. Sepanjang berlaku fitnah Duhaimak, Rasulullah s.a.w. menasihatkan umatnya agar mencari dan hidup dalam kelompok (sesama) Mukmin dan mengikuti kepimpinannya. Atau dalam perkataan lain, hidup dalam jemaah kaum Muslimin. Jika tidak ada, lebih baik hidup bersendirian dengan mempertahankan iman dan Islam.
Sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda sebagai menjawab soalan Abu Huzaifah: “Apakah setelah terjadinya kebaikan (kebenaran dan keadilan) ini akan terjadi pula keburukan (kemungkaran dan kezaliman)?” Baginda s.a.w. menjawab: “Benar.” Abu Huzaifah bertanya lagi: “Dan apakah setelah terjadinya keburukan itu akan terjadi pula kebaikan?” Baginda menjawab: “Benar, sedangkan padanya terdapat ad-Dakhan (kekeruhan).” Abu Huzaifah bertanya: “Apakah kerosakannya itu.” Baginda s.a.w. menjawab: “Adanya suatu kaum yang tidak mengambil petunjukku, engkau mengetahui hal itu dan engkau membencinya.” Abu Huzaifah bertanya: “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku menemui hal itu?” Baginda menjawab: “Selalulah engkau bersama kelompok kaum Muslimin dan pemimpin mereka.”
Abu Hizaifah bertanya: “Bagaimana jika mereka tidak mempunyai kelompok kaum Muslimin atau pemimpin?” Baginda menjawab: “Maka hendaklah engkau menjauhkan diri dari semua kelompok tersebut (bersendirian atau beruzlah).” Perkataan “dakhan” dalam hadis ini mempunyai banyak makna; antaranya kedengkian, kerosakan hati dan kekeruhan keadaan yang membawa kekacauan dan huru-hara dalam masyarakat. Apa yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas ada yang telah berlaku dan akan berlaku. ¤
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana
Solusi
Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.
Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!