KAMUS FIQAH : DAAR | DARAH | DAULAH | DAFNUL MAYYIT
- Ditulis oleh Al-Ustaz
- Kategori Fardhu Kifayah
- Read 4233 times
APA erti Daar?
Daar ertinya rumah, daerah atau wilayah. Darul Harbi bererti wilayah perang, atau wilayah yang dikuasai pihak musuh. Darul Islam bererti wilayah Islam, atau wilayah yang berada di dalam kekuasaan tentera Islam.
Apa erti Darah?
Cairan yang mengalir di dalam tubuh manusia atau binatang. Menjadi najis apabila sudah keluar dan terpisah dari tubuh. Haram apabila diminum atau dimakan. Menjualnya juga haram. Darah yang keluar dari rahim seorang perempuan ada tiga macam iaitu darah haid, darah Istihadah dan darah nifas. Darah haid iaitu darah yang keluar sewaktu sihat dan warnanya hitam. Darah Istihadah ialah darah yang keluar waktu sakit dan bukan darah haid. Manakala darah nifas ialah darah yang keluar bersama lahirnya bayi.
Apa erti Daulah?
Daulah ertinya negara, kerajaan, pemerintahan atau kekuasaan. Daulah Umawiyyah bererti pemerintahan yang dipimpin oleh khalifah-khalifah Bani Umayyah sekitar 661 hingga 750 Masihi. Daulah Abasiyyah bererti pemerintahan yang dipimpin oleh khalifah-khalifah Bani Abbas sekitar tahun 75 hingga 1258 Masihi.
Apa erti Dafnul Mayyit?
Dafnul Mayyit ertinya penguburan atau pengebumian mayat. Ini termasuk kewajiban yang keempat yang perlu dilakukan sebagai penghormatan terhadap mayat. Penguburan mayat dilakukan dilakukan setelah memandikannya, mengkafankannya dan mensolatinya.
Beberapa perkara yang perlu diambil berat tentang penguburan mayat iaitu:-
Pertama: Setelah mayat selesai disolatkan, sebaiknya segera di bawa ke kubur.
Kedua: Menguburkan mayat bertujuan menjaga kehormatannya. Oleh itu, kubur hendaklah digali cukup dalam agar bau busuknya tidak tercium sampai ke luar dan tidak boleh di bongkar oleh binatang buas.
Ketiga: Liang lahad boleh dibuat di pinggir arah kiblat. Boleh juga di tengah-tengah sekiranya di pinggir dibimbangi akan ditimpa longsor. Boleh juga menggunakan peti jenazah bergantung keadaan tanah.
Keempat: Ketika mayat dimasukkan ke dalam kubur, dianjurkan membaca doa “Bismillahi Wa’ala millati Rasulillahi” (Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah).
Kelima: Meletakkan mayat dengan posisi miring dan mengadap kiblat di dalam lahad.
Keenam: Setelah diletakkan ke dalam lahad, dianjurkan mengazani telinga kanannya dan mengqamat telinga kirinya.
Ketujuh: Tali pengikat dibuka dan kain kafan penutup muka dibuka pula, sehingga pipi kanan menyentuh tanah.
Kelapan: Setiap orang yang ikut hadir, sunat melemparkan tanah ke dalamnya tiga kali sambil membaca doa: Lemparan pertama membaca “Minhaa Khalaqnaa-Kum”, lemparan kedua membaca “Wafiiha Nu’ii-du-kum”, dan lemparan ketiga membaca “Waminhaa Nukhriju- Kum Taaratan Ukhraa”.
Kesembilan: Menimbunkan kuburan sampai selesai dan meancapkan batu atau kayu nisan sebagai tanda di atasnya.
Kesepuluh: Setelah selesai penguburan, dianjurkan mendoakan yang baik-baik bagi almarhum atau al-marhumah.
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4
Al-Ustaz
Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.
Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!