Menu

 

A+ A A-

ELEMEN IKHLAS

Ditulis oleh 

DARIPADA Amirul Mukminin, Umar bin al-Khatab r.a. berkata, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“SESUNGGUHNYA SETIAP AMALAN ITU DINILAI MELALUI NIAT. DAN BAGI SETIAP INDIVIDU AKAN MENDAPATKAN APA YANG DINIATKANNYA. BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA MAKA DIA MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASULNYA. DAN BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA MENUJU KEPADA DUNIA KERANA INGIN MEMPEROLEHINYA, ATAU WANITA KERANA INGIN DINIKAHINYA MAKA DIA MENUJU KEPADA APA YANG DIHIJRAHKAN.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Biodata Penyampai:

Sayidina Umar bin al-Khatab r.a. yang menceritakan hadis di atas daripada Nabi s.a.w. adalah merupakan salah seorang sahabat yang rapat dengan Baginda. Pada asalnya, beliau merupakan di antara individu dalam kalangan penduduk Makkah yang digeruni orang kerana keberaniannya. Beliau merupakan khalifah umat Islam yang kedua menggantikan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.

Selaku pengganti pertama Nabi s.a.w. dalam mentadbir urusan masyarakat pada waktu itu. Sikap adil dan sumbangan jasa yang dicurahkan sewaktu pemerintahannya telah menyebabkan Islam semakin berkembang di luar Tanah Arab. Antaranya sumbangan beliau ialah perluasan wilayah kerajaan Islam, penubuhan jabatan-jabatan kerajaan, pembinaan tempat-tempat pengajian dan sebagainya.

Beliau akhirnya wafat setelah pemerintahan selama 10 tahun, 6 bulan dan 4 hari kerana dibunuh oleh seorang Majusi bernama Abu Lu’luah ketika mengerjakan solat subuh bersama umat Islam yang lain. Sebagai salah seorang sahabat rapat Baginda s.a.w., beliau dikebumikan bersebelahan dengan Baginda dan Sayidina Abu Bakar di Madinah.

sshot-6

Maksud Hadis:

Aspek utama hadis di atas dipilih kerana ia menyentuh tentang elemen penting ke arah mencapai keikhlasan dalam beribadah iaitu niat. Ia mengkhabarkan kepada kita bahawa setiap amalan yang dilakukan merupakan ibadah jika disertai niat yang betul. Sudah tentu ia akan memudahkan si pembuatnya mencapai keikhlasan kepada Allah s.w.t.

Ikhlas merupakan suatu sikap yang sukar dicapai oleh umat Islam. Ia bukan dihitung melalui banyaknya seseorang mengerjakan amalan, atau lafaz keikhlasan yang diucapkan seperti, “Saya ikhlas menderma.” Ataupun, “Saya ikhlas membantu.” Itu hanya lafaz. Tetapi, ikhlas itu merupakan amalan hati yang dinilai melalui niat seseorang melakukan kebaikan.

Tambahan pula, hadis ini menerangkan bahawa mereka yang melaksanakan amalan semata- mata kerana Allah s.w.t. maka dia akan mendapat habuan selayaknya daripada-Nya. Begitu juga jika niat dipesongkan kepada tujuan keduniaan atau sebagainya maka dia akan memperolehi apa yang dihajatkan.

sshot-7

Kenapa dikira melalui niat?

Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.” Di dalam hadis di atas, Baginda menjelaskan kepada kita bahawa nilai pandangan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba itu ialah keikhlasan hati dan amalan. Itulah yang paling utama dan diterima. Ini dikuatkan lagi dengan potongan sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Dan sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat segumpal darah.

Apabila ia baik maka keseluruhan jasad akan menjadi baik. Dan apabila ia tidak baik maka keseluruhan jasad akan menjadi tidak baik. Ingatlah, ia adalah hati.” Hati merupakan tempat lintasan pelbagai perkara bagi seseorang manusia. Sama ada baik atau buruk, ia merupakan asas kepada segala perbuatan sebelum dilaksanakan oleh anggota badan yang lain.

Dalam Islam, dengan adanya niat di hati, maka sesuatu perbuatan yang dilaksanakan itu boleh bertukar menjadi ibadah dan mendapat pahala. Bahkan jika ia hanya diniatkan walaupun kita terlepas melaksanakannya, ia tetap mendatangkan pahala seolah-olah kita melaksanakannya. ¤

 

 Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Read 4985 times
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.