ANEKA HUKUM TAKBIRATULIHRAM
- Ditulis oleh Fuad Ismail
- Kategori Hukum
- Read 6139 times
Saya pernah mendengar ada orang yang memulakan solatnya dengan lafaz takbir selain daripada Allahuakbar. Adakah sah solatnya?
Jawapan: Takbiratulihram merupakan kata-kata orang yang bersolat untuk memulakan solat kerana makna solat ialah perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Takbir itu dinamakan dengan takbiratulihram kerana ia mengharamkan perkara-perkara harus yang menafikan solat. Para ulama fiqah bersepakat tentang sah solat dengan lafaz Allahuakbar. Namun mereka berbeza pendapat tentang lafaz takzim selainnya.
1. Tidak Sah Selain Lafaz Allahuakbar
Ulama Maliki dan Hambali berpendapat bahawa solat tidak sah melainkan dengan lafaz Allahuakbar dengan syarat-syaratnya. Antara hujah mereka:a Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Kunci solat ialah wuduk, pengharamannya (permulaannya) ialah takbir dan penghalalannya (pengakhirannya) ialah salam.” (Riwayat al-Tirmizi)b Hadis Ibn Umar: “Adalah Nabi memulakan solat dengan menyebut Allahuakbar.” (Riwayat al-Bukhari) Ibn Qudamah mengatakan bahawa tidak dinukilkan daripada Nabi selain lafaz Allahuakbar sehingga Baginda wafat. Ini menunjukkan tidak boleh menggunakan lafaz selainnya.
2. Sah Biarpun Ada Penambahan pada Lafaz Takbir Ulama mazhab Syafi‘i turut menetapkan bahawa wajib mengungkapkan lafaz Allahuakbar ketika takbiratulihram bagi orang yang mampu menyebutnya. Namun mereka ada kupasan hukum yang terperinci berkaitan penambahan dalam lafaz takbir itu.
Sekiranya seseorang itu tidak mampu mengucapkan lafaz Allahuakbar selepas mempelajarinya, maka dia boleh menterjemahkan lafaz tersebut ke dalam apa sahaja bahasa walaupun bukan bahasa percakapannya. Namun takbiratulihram tetap tidak boleh digantikannya dengan zikir yang lain.
Solat juga tidak sah jika berhenti antara dua perkataan tersebut sekadar bernafas.
3. Sah Biarpun Bukan Lafaz Takbir Ibrahim al-Nakha‘i, Abu Hanifah dan Muhammad mengatakan sah takbiratulihram dengan apa-apa zikir yang menunjukkan pujian yang ikhlas kepada Allah iaitu takzim, tidak selainnya seperti Allahul Kabir, Alhamdulillah, Subhanallah, Lailahaillallah dan seumpamanya. Begitu juga nama-nama Allah yang disebut bersama sifat seperti al-Rahman A‘zam, al-Rahim Ajall dan seumpamanya. Pendapat ini sebagaimana dicatatkan dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.
Antara hujah mereka:
Firman Allah mafhumnya: “Dan menyebut nama Tuhannya kemudian melakukan solat.” (Surah al-A‘la:15) Yang dimaksudkan menyebut nama Tuhan dalam ayat ini ialah bagi memulakan solat.b Takbir itu satu takzim dan setiap lafaz yang menunjukkan takzim, wajib disyariatkan. Dalam Sunan Abu Syaibah, Abu al-Aliyah ditanya: “Dengan apakah para nabi memulakan solat?” Beliau menjawab: “Dengan (lafaz) tauhid, tasbih dan tahlil.”
Rumusan
Satu-satunya lafaz takbiratulihram yang disepakati oleh ulama fiqah ialah lafaz Allahuakbar. Maka lebih baik kita mengikuti dan mengamalkannya. Mungkin ada sebahagian lafaz yang dinilai oleh ulama Syafi‘i sebagai tidak sah, tetapi dinilai sah oleh ulama lain. Maka kita hendaklah berlapang dada dengan pendapat ulama lain tentang keharusan menggunakan lafaz selainnya.
Takbir Orang Bisu
Manakala bagi orang yang bisu pula, wajib baginya menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya serta anak lidah yang berada di akhir langit-langit untuk bertakbir sekadar kemampuannya. Sekiranya tidak mampu melakukan demikian, maka dia hendaklah berniat mengungkapkan takbir dalam hatinya. Selain itu, dia wajib membezakan antara niat solat dan niat takbiratulihram dalam hatinya itu. Imam al-Nawawi berpendapat bahawa niat itu cukup sekadar perbezaan secara uruf untuk melakukan solat. Wallahu a‘lam.
Ustaz Fuad Ismail
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 10
Fuad Ismail
Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.