Jawapan: Makanan yang digigit kucing tidak najis. Sayidatina Aisyah pernah memakan makanan yang digigit oleh kucing. Pada satu ketika beliau sedang solat, seseorang datang membawa makanan. Lalu, beliau mengisyaratkan kepadanya supaya meletakkan makanan itu di suatu tempat. Tiba-tiba datang seekor kucing dan memakan sebahagiannya. Setelah selesai solat, beliau memakan makanan yang masih berbaki daripada gigitan kucing dan berkata: “Sesungguhnya Nabi bersabda: ‘Sesungguhnya ia (kucing) itu bukan najis. Sesungguhnya ia termasuk yang sering berlegar-legar dalam kalangan kamu.” (Riwayat Abu Dawud) Ini membawa maksud bahawa mulut kucing yang makan dan minum daripada sesuatu itu suci dan tidak menjadikannya bernajis. Namun, hadis ini tidaklah sampai kepada galakan berkongsi makan dengan kucing. Cuma ia menjelaskan bahawa bekas gigitan kucing tidak menyebabkan suatu makanan menjadi najis.
Bulu Kucing
Ada orang berkata bahawa walaupun kucing itu tidak najis, tetapi bulunya najis. Benarkah?
Jawapan: Benar, kucing bukanlah najis berdasarkan penerangan sebelum ini. Adapun bulunya yang terpisah daripada badan dikira najis.
HURAIAN:Hal ini berdasarkan sebuah hadis. Ketika Nabi datang ke Madinah, Baginda melihat penduduknya suka kepada bonggol unta dan bahagian punggung kambing. Lalu Nabi bersabda yang bermaksud: “Apa-apa jua bahagian yang terpisah daripada seekor binatang sedangkan ia masih hidup, maka bahagian itu ialah bangkai.” (Riwayat al-Tirmizi) Namun terdapat nas al-Quran yang membawa maksud umum bahawa bulu itu halal. Firman Allah mafhumnya: “Dan daripada berjenis-jenis bulu binatang ternakan itu pelbagai perkakas rumah dan perhiasan.” (Surah al-Nahl: 80) Sebenarnya tiada percanggahan antara kedua-dua nas ini. Ulama menggariskan bahawa segala bahagian yang terpisah daripada anggota badan seekor binatang yang masih hidup dikira sebagai bangkai kecuali bulunya yang memenuhi tiga syarat iaitu:
1.Ia terdapat pada binatang yang halal dimakan.
2. Bulunya tercabut ketika ia masih hidup atau selepas disembelih dengan betul menurut syarak.
3. Ia bukan berada pada anggota yang terputus daripada badan binatang tersebut. Jika tidak, ia dihukum sebagai bangkai mengikut kepada hukum bahagian anggota yang terpisah yang telah dikira sebagai bangkai. Jika salah satunya tidak dipenuhi, maka bulu binatang tersebut dikira bangkai seperti yang disebutkan di dalam hadis tadi.
Bulu Melekat
Bagaimana jika kita solat dengan kain yang melekat padanya bulu kucing? Hanya selepas solat sahaja baru kita perasan.
Jawapan: Berkenaan dengan kucing, sudah pasti ia bukanlah binatang yang boleh dimakan, lalu bulunya dikira sebagai bangkai yang bernajis. Tetapi, jika ia terlekat di pakaian dengan jumlah yang sedikit menurut uruf, ia dimaafkan. Jika uruf menetapkan kuantitinya banyak, maka pakaian itu tidak boleh digunakan dalam ibadah dan perlu dihilangkan terlebih dahulu.
Masalah Asas
Boleh ustaz ajarkan cara yang betul untuk membersihkan najis kucing yang terdapat di dalamrumah? Saya inginkan kepastian agar tidak was was lagi.
Jawapan: Najis kucing dikategorikan sebagai najis mutawassitah atau pertengahan. Maka cara untuk menghilangkannya adalah dengan membuang najis tersebut terlebih dahulu. Seterusnya kita bersihkan tempat tersebut dengan air mutlak serta memastikan tidak ada bau, warna, dan rasa (saki baki) najis tersebut yang masih tertinggal.
Kasut Dikencing Kucing
Bagaimana hendak membasuh kasut sekolah anak yang dikencing kucing? Air kencingnyasudah tidak ada tetapi baunya masih kuat. Bolehkah dibasuh dengan mesin basuh bersama kasutlain atau bagaimana?
Jawapan: Kasut itu masih dikira najis yang belum dibersihkan walaupun air kencingnya telah kering kerana baunya masih ada. Maka basuhlah dengan air mutlak yang mengalir sehingga hilang baunya. Hanya selepas itu baru boleh dibasuh dengan mesin basuh. Tidak boleh membasuhnya terus dengan mesin basuh. Jika tidak kasut itu akan menyebabkan air dalam mesin basuh itu menjadi najis, seterusnya menajiskan kasut yang lain. Ini kerana air itu tidak melebihi dua kolah.
Wallahu a‘lam.
Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11