Menu

 

A+ A A-

MURTAD

Hukuman Jenayah Murtad

ADA golongan yang mengatakan bahawa Islam ialah agama yang zalim dan kejam kerana meletakkan dasar hukuman bunuh terhadap orang yang keluar meninggalkan agama Islam. Tidakkah ini menggambarkan bahawa Islam agama yang tidak kuat hujahnya kerana itu Islam mengancam sesiapa yang murtad dengan hukuman bunuh?

Ramai masyarakat bukan Muslim takut hendak menganut agama Islam kerana bimbang akan dihukum bunuh jika mereka mengambil keputusan untuk kembali kepada agama asal. Fahaman ini berdasarkan kefahaman ijtihad para ulama silam berdasarkan hadis Nabi s.a.w. Ia adalah kefahaman yang berwibawa. Namun kefahaman begini ada masanya kurang selesa untuk diamalkan oleh masyarakat Islam yang hidup dalam negara bermasyarakat majmuk.

Tiadakah kefahaman yang lebih praktikal sesuai dengan roh al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.? Al-Quran sebagai dasar menetapkan bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama Islam”. (Surah al-Baqarah 2 : 256).

murtad-2

Pelbagai Tafsiran Ayat

Dalam Tafsir al-Qurtubi, terdapat enam pandangan ulama dalam mentafsirkan makna ayat ini. Pandangan tersebut ialah:

1 Ayat ini sudah terbatal dan dimansuhkan.

2 Ayat ini tidak dimansuhkan, tetapi ayat ini khas untuk golongan ahli kitab. Ini bermakna golongan ahli kitab daripada Yahudi dan Nasrani tidak dipaksa untuk beriman dengan agama Islam. Manakala golongan kafir penyembah berhala yang lain hendaklah dipaksa untuk menganut agama Islam.

3 Menurut Ibn Abbas, ayat ini turun bagi golongan Ansar. Dikatakan bahawa anak-anak golongan Ansar diserahkan kepada golongan Yahudi dengan sebab penyusuan, bahkan ada sebab kerana menilai agama Yahudi lebih baik. Apabila golongan Yahudi Bani Nadir diarah keluar dari Madinah, golongan Ansar menyatakan bahawa mereka tidak akan meninggalkan anak mereka begitu sahaja mengikut agama Yahudi bahkan akan memaksa mereka menganut agama Islam. Maka turunlah ayat ini.

4 Menurut satu keterangan, ayat ini turun berkaitan seorang lelaki bernama Abu Husain. Beliau mempunyai dua orang anak lelaki. Kedua-dua anak beliau kemudiannya menganut agama Nasrani dan pergi ke Syam. Abu Husain datang mengadu kepada Nabi s.a.w. dan meminta agar diutuskan utusan untuk membawa anaknya pulang. Maka turunlah ayat ini.

5 Ayat ini bermaksud agar tidak dikatakan terhadap golongan yang menganut agama Islam dengan paksaan pedang bahawa mereka dipaksa.

6 Ayat ini turun terhadap golongan tawanan perang. Apabila tawanan perang ialah ahli kitab yang dewasa, mereka tidak dipaksa untuk menganut agama Islam. Namun, apabila tawanan perang adalah golongan Majusi atau penyembah berhala sama ada kecil atau dewasa, maka mereka hendaklah dipaksa untuk menganut Islam.

Tafsiran yang sama juga disebutkan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsir beliau. Menurut beliau: “Janganlah kamu memaksa seseorang agar menganut agama Islam kerana Islam adalah terang, jelas dan kukuh dengan keterangan dan bukti-buktinya. Maka ia tidak perlu kepada paksaan agar masuk dalam Islam. Bahkan sesiapa yang Allah kurniakan kepadanya hidayah bagi Islam dan melapangkan dadanya, maka dia masuk dalam Islam atas bukti yang nyata. Namun, sesiapa yang dibutakan hatinya dan dikunci pendengaran serta penglihatannya, maka tidaklah memberi faedah masuknya ke dalam agama Islam dalam keadaan dipaksa...” (Tafsir Ibn Kathir, tafsiran ayat 256 surah al-Baqarah dengan terjemahan dan sedikit olahan bahasa).

Al-Quran juga menegur sikap memaksa orang lain untuk beriman kepada Allah. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 99 yang bermaksud: “Dan jika Tuhanmu berkehendak nescaya semua yang berada di bumi pasti beriman. Adakah kamu (hendak) memaksa manusia hingga mereka menjadi orang yang beriman?”

Orang Murtad Mesti Dihukum Bunuh

Kalau Islam membenarkan kebebasan beragama, kenapa orang murtad mesti dihukum bunuh?

Memang terdapat hadis bahawa sesiapa yang menukar agama hendaklah dibunuh. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menukar agamanya (daripada Islam kepada agama lain,) maka hendaklah kamu membunuhnya.” (Riwayat al-Bukhari. Nayl al- Autar, jil. 7, hlm. 225, no. hadis 3215)

Imam al-Bukhari meletakkan perbincangan khusus dalam kitab Sahihnya berkaitan murtad bawah tajuk “Kitab Meminta Orang Murtad dan Orang yang Ingkar agar Bertaubat serta Pembunuhan Mereka.” (Istitabah al-Murtaddin, jil. 12, hlm. 317- 373. Kefahaman ini nampaknya disepakati oleh para ulama silam. Dr. Wahbah al-Zuhayli menyatakan bahawa para ulama telah sepakat atas kewajipan membunuh orang murtad. (Al- Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jil. 7, hlm. 5580)

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas