Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENZIARAHI RAKAN NON-MUSLIM

BOLEHKAH saya menziarahi kawan saya yang bukan beragama Islam apabila mereka sakit? Sahabat saya mengatakan tidak wajar kerana seolah-olah reda dengan kekufuran mereka.

Alhamdulillah,

Segala puji bagi Allah. Pertamanya, Ustaz ucapkan terima kasih kepada yang bertanya. Ringkasnya, golongan bukan Islam dalam kategori zimmi, musta’man dan muahad boleh diziarahi apabila mereka sakit, lebih-lebih lagi sekiranya ziarah tersebut memberi manfaat untuk islam. Malah ia termasuk dalam erti berdakwah pada jalan Allah. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah 60:8)

Ayat ini jelas kepada kita bahawa agama Islam menuntut umatnya supaya berbuat baik dan adil kepada golongan kafir yang tidak memerangi Islam. Maka menjadi satu kebaikan kepada kita untuk menziarahi mereka kerana ia adalah salah satu perkara yang tidak dilarang oleh Allah s.w.t., bahkan dituntut.

Selain itu, Imam al-Bukhari Meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. bahawa seorang kanak-kanak Yahudi jatuh sakit. Lantas Nabi s.a.w. menziarahinya dan Baginda duduk berhampiran dengan kepalanya lalu bersabda yang bermaksud: “Islamlah kamu.” Kanak-kanak tersebut melihat kepada bapanya yang turut berada di sisinya.

Bapanya berkata: “Taatlah, Abu al-Qasim”. Lalu kanak-kanak tersebut memeluk Islam. Baginda Nabi s.a.w. lalu keluar sambil bersabda, maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada neraka.”

 

hukum-ziarahi-nonmuslim-1

 

Imam ibn Hajar al-Asqalani rhm. mengulas dengan menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan menziarahi orang kafir apabila mereka sakit. Sheikh ibn Taimiyyah pula menyatakan dalam Majmu’ Fatawa bahawa tidak menjadi kesalahan menziarahi pesakit yang bukan beragama Islam kerana menziarahi mereka terkandung maslahat yang besar dalam menjinakkan hatinya kepada islam.

Tidak timbul isu reda dengan kekufuran orang kafir apabila seorang Muslim menziarahi orang bukan Islam. Menziarahi mereka bukanlah kerana menghormati agama mereka atau memuliakan kekafiran mereka, tetapi sebenarnya kita menziarahi mereka kerana kita seorang yang berjiwa besar yang mempraktikkan anjuran dan petunjuk Baginda Nabi s.a.w.

Wallahu a’lam.

Ustaz Mohd Azrul Ismail
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas