Menu

 

A+ A A-

HUKUM PEMBEDAHAN KECANTIKAN

Apakah hukum berkenaan dengan tatu, mengikir gigi dan pembedahan kecantikan?

Islam menolak sikap melampau dalam mempercantik diri sehingga menukar ciptaan Allah. Al-Quran melihat sikap sebegini sebagai wahyu syaitan kepada pengikutnya. Syaitan berkata: “Aku akan sungguh-sungguh menyuruh mereka menukar kejadian Allah.” (Surah al-Nisa’: 119)

Begitu juga tatu badan dan mengikir gigi. Nabi s.a.w. melaknat orang yang membuat tatu dan yang menyuruh melakukannya, orang yang mengikir gigi dan orang yang menyuruh melakukannya. (Riwayat Muslim)

Tatu menghodohkan wajah dan kedua-dua belah tangan dengan warna biru dan lukisan yang buruk. Sesetengah orang Arab melampaui batas (membuat tatu) khususnya golongan perempuan yang mana mereka mengukir tatu pada sebahagian besar badan mereka. Sesetengah penganut agama pula menjadikannya sebagai lukisan untuk benda yang mereka sembah dan juga syiar bagi agama mereka. Mereka melukisnya di tangan dan dada mereka.

Belum lagi kesan buruk berupa kesakitan akibat cucukan jarum di badan orang yang ditatu. Semuanya itu akan membawa laknat kepada orang yang melakukan tatu dan orang yang menyuruh melakukan tatu itu untuk dirinya.

Adapun mengikir gigi iaitu mengikis dan memendekkannya maka Rasulullah melaknat perempuan yang melakukan dan meminta perbuatan itu. Kalau golongan lelaki yang melakukannya, tentu lebih lagi.

Rasulullah juga mengharamkan menjarangkan gigi: “Dan Allah melaknat al-mutaffalijaatsehingga mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

pembedahan1Al-Mutaffalijaat ialah perempuan yang menjarangkan gigi dan yang meminta supaya melakukannya. Ada wanita yang secara asalnya demikian (bergigi jarang) dan ada yang bukan. Lalu mereka yang bukan itu berusaha menjarangkan giginya. Perbuatan ini suatu bentuk penipuan dan sikap melampaui batas dalam berhias yang ditegah oleh Islam. Menerusi hadis-hadis yang sahih yang disebutkan ini, kita dapat mengetahui hukum syarak mengenai pembedahan kecantikan yang diterajui oleh tamadun nafsu syahwat yakni tamadun Barat yang materialistik.

Kaum perempuan dan lelaki membelanjakan ratusan bahkan ribuan dolar untuk mengubah bentuk hidung, buah dada dan lain-lain. Semuanya ini termasuk dalam laknat Allah dan RasulNya kerana menyeksa diri dan mengubah ciptaan Allah tanpa sebarang hajat selain berlebihan dalam menjaga penampilan luaran.

Adapun jika seseorang memiliki kecacatan yang mengaibkan dan menyebabkan penderitaan zahir dan batin setiap kali berada dalam sesuatu majlis atau di suatu tempat, maka dibolehkan untuk mengubatinya. Ia boleh menghilangkan rasa malu yang dihadapinya. Allah tidak menjadikan kesempitan dalam urusan agama.

Salah satu dalil penyokong ialah sabda Nabi, maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menjarangkan gigi untuk tujuan kecantikan.” Jadi, dapat difahami di sini bahawa yang dikutuk ialah orang yang melakukannya untuk mempercantik diri secara menipu. Kalau pembedahan itu diperlukan untuk menghilangkan sakit atau cacat, maka tidaklah mengapa melakukannya.

Mewarnakan Kuku

Apa pandangan tuan tentang kebiasaan sesetengah wanita yang mewarnakan kuku mereka dengan bahan pewarna yang dinamakan manicure. Adakah (perbuatan itu) halal atau haram?

Jawapan singkat untuk soalan ini, kita menyatakan bahawa manicure (kaedah mewarnakan kuku sahaja) itu dapat menghalang air wuduk sampai ke kulit. Maka ia menyebabkan wuduknya tidak sah dan seterusnya tidak boleh mengerjakan solat.

Seorang Muslimah yang setiap hari mengerjakan solat lima waktu dengan wuduk tidak memiliki ruang untuk menggunakan pewarna tersebut kerana ia akan menghalanginya daripada melakukan amalan harian yang wajib.

Sesiapa yang tidak menghiraukan solat yang menjadi tiang agama dan pembeza antara Islam dan kafir, maka tiada masalah baginya bersolek dan berhias dengan cara yang tidak halal. Setelah kekafiran, tidak ada lagi dosa yang perlu dibicarakan.

Menipiskan Bulu Kening

Apakah hukum menipiskan bulu kening wanita untuk tujuan perhiasan?

2Termasuk perkara melampau dalam berhias yang diharamkan Islam ialah nams, iaitu mengikis bulu kening dengan meninggikan atau meluruskannya. Sesungguhnya Rasulullah melaknat perempuan yang mencukur bulu kening dan orang yang menyuruh melakukannya. (Riwayat Abu Daud)

Hukum mencukur bulu kening semakin haram apabila perbuatan ini telah menjadi identiti pelacur atau non Muslim.

Sebahagian ulama Hanbali mengharuskan seorang isteri untuk menghias wajahnya dengan menghilangkan bulubulu di wajah, mewarnakan, mengukir dan membentuknya jika dengan kebenaran suami kerana ia merupakan perhiasan. Namun Imam al-Nawawi sangat tegas melarangnya kerana menganggapnya termasuk daripada namsyang diharamkan.

Walau bagaimanapun pandangan Imam al-Nawawi tertolak. Ini kerana menurut sebuah hadis Abu Daud bahawa al-Nams ialah perempuan yang mengukir bulu kening sehingga nipis. Jadi, tidak termasuk dalam maknanya perbuatan menghilangkan bulu-bulu yang tumbuh di wajah. Al-Tabari meriwayatkan daripada isteri Abu Ishak, suatu hari beliau menziarahi rumah Siti Aisyah. Beliau pada masa itu masih seorang perempuan muda yang menyukai kecantikan. Beliau bertanya kepada Aisyah: “Bolehkah seorang perempuan menghilangkan bulu di dahi untuk pandangan suaminya?” Aisyah menjawab: “Hilangkanlah keburukan daripada dirimu selagi mana yang termampu.”

Wallahu a‘lam.

pembedahan2

 

Dr Yusuf Al-Qaradawi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.9


Last modified onMonday, 30 March 2015 11:29
Dr. Yusuf al-Qaradawi

Tidak keterlaluan dikatakan beliau tokoh ulama paling berpengaruh masa kini. Merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam sedunia, sebuah pertubuhan yang menghimpunkan kesemua ulama daripada golongan Sunnah, Syiah dan Ibadhiah. Tesis PhD beliau “Zakat: Implikasinya Dalam Menyelesaikan Masalah Sosial” mendapat perhatian dunia Islam. Sehingga kini lebih daripada 120 buku yang ditulisnya. Beberapa kali dipenjarakan atas kelantangan dan sokongannya kepada Ikhwan al-Muslimin. Kini menetap di Qatar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Terkini daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi

Kembali ke atas