BASUH KAKI DAPAT HALAU SYAITAN
- Ditulis oleh Ustaz Azhar Idrus
- Kategori Hukum
- Read 19919 times
Orang tua kita selalu kata kalau balik dari kubur, kita hendaklah mandi terlebih dahulu. Kalau kita pulangke rumah dari mana-mana tempat, kena basuh kaki terlebih dahulu sebelum masuk rumah. Takut-takut ada jin atau syaitan yang ikut kita balik. Lebih-lebih lagi kalau di rumah kita ada anak kecil. Betulkah ustaz?
JAWAPAN :
Tidak ada hadis atau pun nas yang menyebut hal seperti itu. Yang ada ialah sesiapa yang memikul jenazah, sama ada jaraknya dekat atau jaraknya jauh, maka sunat mengambil wuduk apabila balik ke rumah. Siapa yang memandikan mayat pula, apabila balik ke rumah nanti, sunat mandi. Tetapi kalau pergi ke kubur, tidak sunat mandi apabila balik nanti. Soal basuh kaki itu ada asasnya kerana orang dulu-dulu memang perlu basuh kaki. Namun sekarang ini tidak ada lagi keperluan. Semua orang sudah bersepatu. Tidak mengotorkan lagi, maka tidak ada masalah.
Jin tidak ikut bukan dengan sebab mandi tetapi dengan bacaan. Dengan bacaan al-Quran, jin boleh lari. Maka dengan bacaan jugalah kita boleh menghindari jin. Begitu juga dengan doa-doa. Bukan dengan basuh kaki atau basuh muka! Bacalah doa pelindung sekurang kurangnya a‘uzubillahiminasy syaitanir rajiim. Maksudnya: Aku berlindung kepada-Mu wahai Tuhan yang sangat berkuasa daripada syaitan-syaitan.
Menahan Kentut Dalam Solat
SOALAN :Bolehkah kita menahan kentut atau kencing dalam solat?
JAWAPAN:
Ulama sebut bahawa jika menahan itu merosakkan khusyuk kita, maka hukumnya makruh. Maka sebaiknya kita kentut dan ambil wuduk semula. Tetapi kalau sedikit sahaja tidak sampai mengganggu solat, maka sunat kita tahan. Nabi bersabda, mafhumnya: “Jangan kamu solat dalam keadaan menahan hadas. ” (Riwayat Muslim) Apabila orang sudah iqamat, jika kita berasa hendak kencing sedikit sahaja, maka solatlah terus. Kalau sudah kronik (berasa nak kencing sangat), maka pergi kencing dululah. Kalau solat juga, solat itu tidak sempurna. Ini kerana apa yang Allah suruh, maksudnya: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. ” Sepatutnya kamu solat ingat Aku, tetapi ingat nak kencing. Begitu juga kalau nak berak. Kalau dalam solat terasa sangat nak berak atau kentut, maka berhenti solat. Pergilah berak atau kentut dan ambil wuduk yang lain. Ini kerana tujuan solat supaya tenteram hati bersama Allah. Kalau setakat rasa sikit-sikit, tidak perlu layanlah.
Ustaz Azhar Idrus
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Ustaz Azhar Idrus
Beliau mendapat pendidikan agama secara bertalaqqi dengan beberapa guru agama di sekitar Kuala Terengganu. Sekarang beliau bergerak aktif menyampaikan kuliah agama di seluruh negara. Cara penyampaian beliau yang humor, jelas dan mudah, menjadikan beliau amat diminati masyarakat.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.