Menu

 

A+ A A-

KAD KAHWIN PATUH SYARIAT

Mohon ustaz kupas tentang hukum mengundang orang ke majlis perkahwinan. Kakak saya akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Jadi saya ingin dapatkan sedikit panduan syariat.

JAWAPAN :

Mengundang para tetamu untuk datang ke kenduri kahwin hukumnya sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut dalam Islam.

Perkara ini berdasarkan beberapa hadis antaranya:

  1. Nabi s.a.w. pernah menyuruh Abdul Rahman bin Auf dengan sabdanya yang bermaksud: “Buatlah kenduri walaupun hanya dengan menyembelih seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari)
  2. Anas bin Malik turut menceritakan bahawa Nabi menyembelih seekor kambing sempena perkahwinan Baginda dengan Zainab binti Jahsy. (Riwayatal-Bukhari)

Berdasarkan hadis-hadis ini, majoriti ulama menyatakan bahawa sunat untuk menghebahkan dan mengadakan kenduri kahwin. Namun ada juga ulama yang menyatakan hukumnya wajib.

Berkenaan cara mengundang para tetamu, maka gunakanlah apa-apa cara yang tidak ditegah oleh syarak. Jika dahulunya kita menjemput para tetamu dengan mengunjungi dari rumah ke rumah. Namun pada zaman kini kita boleh memilih pelbagai alternatif seperti menghantar kad kahwin atau dengan menggunakan kemudahan internet seperti email ataupun laman social seperti Facebook dan Twitter.

 1KKPS

Kad Kahwin Islami

SOALAN :

Apa nasihat ustaz berkaitan urusan menyediakan kad undangan perkahwinan?

JAWAPAN :

Asasnya, kita semua sedar bahawa apa sahaja perkara yang kita lakukan akan dinilai oleh Allahs.w.t. Perkahwinan ialah suatu ibadah. Justeru, setiap urusan yang menjurus kepadanya juga dinilai sebagai ibadah jika tidak melanggar batasan syariat.

Ingatlah jika kita menunjukkan contoh yang baik dan masyarakat mengikutnya maka ganjaran pahala akan menanti kita tanpa sebarang kekurangan. Sebaliknya jika kita menunjukkan contoh yang buruk maka kita turut sama mendapat dosa apabila diikuti oleh orang lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Bantu membantulah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam kemungkaran.” (Surah alMaidah:2)

Nabi juga bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menunjukkan contoh yang baik dalam Islam, maka baginya pahala yang dilakukan dan juga pahala mereka yang mengikutinya tanpa sebarang kekurangan. Dan sesiapa yang menunjukkan contoh yang buruk dalam Islam maka baginya dosa yang dilakukan dan dosa mereka yang mengikutinya tanpa sebarang kekurangan.” (RiwayatMuslim)

Kad Kahwin Harga Beribu

SOALAN :

Apa pandangan ustaz tentang budaya menempah kad kahwin yang mahal-mahal hingga ada yang mencecah ribuan ringgit?

JAWAPAN :

Dalam segala urusan kehidupan, agama Islam menganjurkan umatnya supaya bersederhana. Begitulah juga dalam segala ibadah yang kita lakukan.

Undangan ke majlis perkahwinan sebenarnya termasuk lingkungan ibadah dan merupakan sunnah Nabi sendiri. Maka segala perkara yang berkaitan majlis perkahwinan perlulah mengikut syariat termasuklah dalam menyediakan kad undangan perkahwinan. 

Islam menganjurkan umatnya supaya menjauhi pembaziran.Allah berfirman yang bermaksud: “Janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang suka berlebih lebihan(membazir).” (Surah al-An‘am: 141)

Atas prinsip ini, kos penyediaan kad undangan perkahwinan itu tidak boleh terlalu mahal kerana hal ini boleh membawa kepada pembaziran. Realitinya pun, kad kahwin itu hanya berfungsi sebagai peringatan buat para tetamu supaya hadir ke lokasi majlis pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Apabila berakhirnya majlis itu, kad itu pun entah ke mana dibuangnya.

Maka, usah terikut-ikut dengan sesetengah masyarakat yang kurang faham dalam hal ini.Tambah merisaukan adalah jika perbuatan tersebut dilakukan untuk bersaing dan berbangga-bangga. Ingatlah sifat sombong atau takabbur itu bukanlah sifat orang beriman.

Kad Kahwin Ada Ayat al-Quran

SOALAN :

Apa pula hukum kad undangan perkahwinan yang ditulis dengan nama Allah dan ayat-ayat alQuran?

JAWAPAN :

Dalam kebanyakan surat yang Nabi utuskan ada dicatat ungkapan basmalah iaitu “Bismillahirrahmanirrahim”. Maka tidak salah untuk kita mengikut sunnah Nabi dengan meletakkan kalimah basmalah pada kad undangan perkahwinan tersebut.  

Malah tidak salah juga untuk kita meletakkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi sebagai “penyeri” dengan tujuan untuk memberi nasihat kepada para tetamu yang membacanya.

Kemungkinan ada dalam kalangan kita yang takut jika kad kahwin tersebut dibuang atau dipijak oleh orang lain. Maka kenalilah siapa yang kita undang. Tidak perlu menyerahkan kad tersebut kepada mereka yang tidak menghargainya. Cukuplah dengan menjemputnya secara lisan tanpa memberikan kad tersebut.

Gambar Pengantin Berdua-duaan

SOALAN :

Bagaimana pula dengan trend masa kini yang memuatkan gambar pasangan bakal pengantin dalam kad kahwin?

JAWAPAN :

Secara asasnya, hukumnya harus. Mungkin tujuannya supaya para tetamu dapat mengenali mereka. Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian seperti berikut:

  1. Gambar yang dipaparkan mestilah sopan. Individu itu mestilah menutup aurat dengan sempurna dan tidak keterlaluan ketika posing yang boleh menimbulkan syak wasangka dan membuatkan mereka yang melihatnya sakit mata.
  2. Tidak boleh dalam keadaan berdua-duaan melainkan telah bernikah. Jika kedua-dua pasangan itu belum diijabkabulkan, maka gambarnya tidak patut diambil secara berdua-duaan seolah-olah mereka telah berkahwin. Apatah lagi jika mereka berpegangan tangan, maka jelaslah hukumnya haram.

Wallahu a‘lam.

 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan 

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas