Menu

 

A+ A A-

BERSYUKURLAH SEBELUM IA SENYAP

Pada masa dahulu, ada tiga orang lelaki dalam kalangan bani Israel yang menghidap penyakit berbeza. Mereka ialah si kusta, si botak, dan si buta. Allah ingin menguji mereka lalu diutus malaikat yang datang dalam bentuk manusia.

Malaikat datang kepada si kusta dan bertanya: “Apakah perkara yang paling disukaimu?” Lelaki itu menjawab: “Kulit yang baik dan cantik warnanya. Sesungguhnya orang ramai telah meminggirkanku.” Lantas malaikat tersebut menyapu tubuhnya. Dengan takdir Allah s.w.t., lelaki tersebut mempunyai kulit yang baik lagi cantik warnanya. Malaikat bertanya lagi: “Harta apa yang paling disukaimu?” Dia menjawab: “Unta.” Lalu dia dikurniakan seekor unta yang telah bunting 10 bulan. Kemudian lelaki itu berkata: “Semoga engkau diberkati atas jasamu ini.”

Seterusnya, malaikat tersebut datang kepada si botak dan bertanya: “Apakah perkara yang paling disukaimu?” Dia menjawab: “Rambut yang elok, namun sekarang ia telah hilang daripadaku. Sesungguhnya orang ramai telahmenyisihkanku.” Lalu malaikat menyapu kepalanya dan dengan takdir Allah s.w.t., dia mendapat rambut yang diingininya. Malaikat bertanya lagi: “Harta apa yang paling engkau sukai?” Dia menjawab: “Lembu.” Lantas dia dikurniakan seekor lembu yang bunting. Kemudian lelaki itu berkata: “Semoga engkau diberkati atas jasamu ini.”

syukur1

Kali terakhirnya, malaikat datang kepada si buta dan bertanya: “Apakah perkara yang paling engkau sukai?” Dia menjawab: “Allah s.w.t. mengembalikan penglihatanku dan aku dapat melihat.” Maka, matanya disapu dan dengan takdir Allah s.w.t., dia dapat melihat kembali. Malaikat bertanya: “Apakah harta yang paling engkau sukai?” Dia menjawab: “Kambing.” Lalu dia dikurniakan seekor kambing yang bunting.

Selang beberapa lama, binatang ternakan mereka membiak serta memenuhi kandang yang luas milik mereka sendiri. Suatu hari, malaikat tadi datang semula menemui mereka dalam keadaan asal masing-masing. Dia datang dalam keadaan berpenyakit kusta dan berperwatakan seorang miskin kepada lelaki pertama. Dia memohon kepadanya agar diberikan bantuan yang dapat digunakan dalam perjalanan. Tetapi, lelaki tersebut tidak mahu menolongnya dan mendakwa bahawa harta itu diperoleh melalui cara warisan. Malaikat lantas menjawab: “Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu.” Jadilah lelaki itu seperti dahulu, penyakit kustanya menimpa lagi dan disisihkan manusia.

Kemudian, malaikat datang kepada lelaki kedua dalam keadaan asalnya dan melakukanperkara yang sama. Sama seperti lelaki pertama, dia tidak mahu membantu, malah berbohong kepadanya. Lantas malaikat berkata: “Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu.” Jadilah lelaki itu seperti dahulu, kepalanya botak dan disisihkan manusia.

Akhirnya, malaikat datang kepada lelaki ketiga dan memperlakukan perkara yang sama. Berbeza dengan dua orang saudaranya tadi, dia menjawab: “Sesungguhnya aku pernah buta, lalu Allah mengembalikan penglihatanku. Aku pernah menjadi fakir, lalu Allah memberikan kekayaan kepadaku. Ambillah apa yang engkau kehendaki. Demi Allah, aku tidak akan menyusahkanmu pada hari ini dengan sesuatu yang engkau ambil semata-mata kerana Allah.” Maka, malaikat menjawab: “Peganglah hartamu.Sesungguhnya kamu semua telah diuji. Lalu Allah telah meredaimu dan murka terhadap kedua-dua sahabatmu.” Selamatlah lelaki ketiga dengan sikapnya yang pemurah dan baik hati.

 syukur2

 

       Muhammad Yusof A Kadir

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas