SUMBER REZEKI BENTUK PERIBADI
- Ditulis oleh Mohd Zamerey Abd. Razak
- Kategori Ibadah
- Read 6717 times
PERSOALAN halal haram bukan setakat makan minum sahaja. Umat Islam perlu lebih prihatin memilih produk dan perkhidmatan yang halal berdasarkan panduan syariat. Jika ini diabaikan, kehidupan individu, masyarakat bahkan negara boleh tergugat. Bagaimana? Ikuti temubual dengan Ustaz Zamerey Abd. Razak, seorang pakar kewangan Islam untuk mengetahui bagaimana modal insan boleh tergugat akibat sumber rezeki yang haram.
Kepentingan sumber rezeki
Soalan: Bagaimana Islam melihat kepentingan sumber rezeki sebagai suatu perkara yang perlu diambil berat dalam membentuk generasi yang berkeperibadian tinggi.
Jawapan: Betapa pentingnya sumber rezeki dalam pembentukan keperibadian seseorang itu, dapat dihayati melalui firman Allah s.w.t., ayat 168 Surah al-Baqarah: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Dalam ayat 172: Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya.”
Dalam ayat 168 di atas, dihubungkaitkan antara soal rezeki dengan peringatan agar tidak mengikut jejak langkah syaitan. Bermakna, rezeki yang baik mestilah bukan dari usaha-usaha yang menjejaki langkah dan perbuatan syaitan. Ayat 172 pula menjelaskan rezeki yang dikurniakan adalah untuk disyukuri, melalui pengabdian kepada-Nya. Rezeki yang halal lagi baik akan mendorong tuannya mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. seterusnya menjauhi larangan-larangan. Ini jelas, bahawa sumber rezeki memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan pembentukan generasi yang baik.
Sumber rezeki yang halal lagi baik merupakan kunci kepada pembentukan masyarakat yang berkualiti; masyarakat yang hidup tanpa rasuah, tanpa penipuan, tanpa penganiayaan. Masyarakat yang hidup penuh beretika, kerana mereka tahu kesan daripada sumber rezeki yang haram adalah kehancuran di dunia dan di akhirat.
Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh dari hasil yang haram maka nerakalah tempat yang paling layak untuknya.” (Riwayat Tabrani)
Hadis ini menjelaskan bahawa setiap hasil haram yang dimakan, mestilah melalui proses pembersihan untuk melayakkan mereka memasuki syurga Allah s.w.t. Sekaligus memberitahu kepada kita bahawa hasil yang haram adalah sesuatu yang kotor sekaligus menyebabkan jiwa kita kotor. Justeru jiwa yang kotor itulah mudah terpesong melakukan perkara-perkara yang ditegah. Maka tidak mustahil kita melihat golongan yang tidak mengendahkan halal dan haram ini dengan mudah melakukan perkara mungkar dan maksiat. Hadis ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya sumber rezeki dititik-beratkan oleh setiap Muslim.
Sumber rezeki yang perlu dijauhi
Soalan: Sumber rezeki yang bagaimanakah yang perlu dijauhi oleh ummah yang bermaruah demi membentuk keperibadian yang soleh?
Jawapan: Kurniaan Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya terlalu banyak, firman-Nya bermaksud: Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya dan juga supaya kamu bersyukur. (Surah al-Qasas: 73)
Islam tidak melarang manusia mengumpulkan harta asalkan ianya dari sumber yang halal, dibelanjakan kepada yang halal dan mengeluarkan zakat jika cukup syarat-syaratnya. Jauhkan diri dari menipu, pecah amanah, terlibat dengan riba, perjudian, perkara-perkara syirik dan sebagainya. Sebagai contoh, pecah amanah atau penipuan. Kadangkala kita sempitkan definisi pecah amanah kepada kes penyelewengan duit sahaja, tetapi penyelewengan mungkin berlaku dalam urusan yang kecil pada mata kita tetapi besar dari sudut pandangan agama.
Sebagai contoh; kita bekerja dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang, dalam tempoh ini kita melakukan kerja-kerja sampingan berbentuk peribadi seperti jualan langsung, promosi insurans dan sebagainya. Masa yang digunakan adalah masa kita dibayar gaji oleh majikan. Ini juga termasuk dalam kategori pecah amanah. Jika memperolehi pendapatan dari tindakan ini, maka ianya juga bersumberkan sumber yang haram walaupun produknya halal.
Kesan akibat rezeki dari sumber yang haram
Soalan: Apakah kesan-kesan rezeki yang diperolehi dari sumber haram?
Jawapan: Dalam himpunan Hadis 40 karangan Imam Nawawi r.h., Rasulullah s.a.w. menjelaskan kepada para Sahabat kisah seorang lelaki yang telah melalui perjalanan yang jauh sehingga pakaian dan dirinya kusut masai. Lelaki tadi telah menadah tangan ke langit dan berdoa, “Ya Rabb, Ya Rabb...” Sedangkan dia makan makanan dan minuman yang haram, pakaiannya haram dan diberi makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah hendak menerima doanya?
Hadis ini menjelaskan kepada kita kesan langsung hasil dari sumber rezeki yang haram. Jika diperhalusi, banyak lagi kesan-kesan buruk akibat dari sumber rezeki yang haram, antaranya:
• Tujuan hidup manusia ialah untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Jika sumber rezekinya dari hasil haram, pastinya mereka tidak berkeinginan untuk melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. Apabila ibadat ditinggalkan maka manusia telah terpesong dari fitrah penciptaan manusia, maka pada saat itu mereka tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah. Rasuah, penipuan, penganiyaan, dan lain-lainya akan berleluasa, kesannya kita akan melihat kelompok masyarakat yang hilang integriti.
• Golongan ini akan hilang rasa ihsan dalam jiwa mereka kerana kesan dari diisi dengan rezeki yang haram.
• Pembangunan ekonomi yang dibina amatlah rapuh kerana semuanya mengintai peluang untuk saling mengaut keuntungan tanpa mengambil kira nilai-nilai dan tatasusila sebagai seorang yang bermaruah.
• Lahir generasi yang tidak dapat membezakan antara yang baik atau bermaruah dengan yang salah dan keji. Ini menyebabkan mereka begitu mudah terjebak dengan perbuatan yang tidak
beretika dan bermoral, baik dari sudut pandangan agama atau undang-undang.
Cara atasi keadaan daripada kesan-kesan sumber rezeki haram
Soalan: Bagaimana mengatasi keadaan daripada kesan-kesan rezeki yang diperolehi dari sumber haram?
Jawapan: Tidak ada jalan yang paling selamat, kecuali jalan yang telah ditetapkan oleh Pencipta yang maha agung Allah s.w.t. Manusia perlu sedar dari mana mereka datang, apa tujuan mereka berada di dunia, ke mana mereka akan pergi selepas ini. Proses kesedaran ini mesti berterusan dan tersusun agar ianya sentiasa dekat di hati. Jika ini dapat dihayati, pastinya soal memastikan sumber rezeki akan menjadi agenda utama setiap hamba Allah kerana mereka yakin bahawa mereka akan dipersoalkan di akhirat bagi setiap nikmat rezeki yang dimakan, dipakai dan diguna di dunia ini.
Ustaz Zamerey Abd. Razak
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.1
Mohd Zamerey Abd. Razak
Mohd Zamerey Abd Razak adalah Penolong Naib Presiden, Jabatan Syariah/Setiausaha Majlis Penasihat Syariah, Asian Finance Bank Bhd. (Konsortium Qatar Islamic Bank, RUSD Investment Bank-Arab Saudi & Global Investment House-Kuwait).