Menu

 

A+ A A-

PANDANGAN JAUH HINDAR KEMURKAAN ALLAH

BERITA bangunan tertua yang pernah menempatkan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya, runtuh, mengorbankan tujuh orang buruh binaan menimbulkan kegusaran orang ramai, apatah lagi kerajaan negeri. Bahkan sebelum ini, isu ranap beberapa banglo di Bukit Antarabangsa, Ampang telah mencatatkan sejarah hitam bagi negeri Selangor.

Bagi mengelak kemalangan yang melibatkan nyawa bertambah, kerajaan negeri mengarahkan kerja-kerja meruntuhkan saki baki bangunan itu dihentikan segera. Sementara itu beberapa pihak dipanggil untuk menyiasat punca runtuhan dan mencari jalan penyelesaian.

Selain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan siasatan, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) juga turut menyiasat struktur bangunan itu sebelum laporan penuh siasatan itu dihantar kepada kerajaan negeri.

Atas rasa bimbang keselamatan juga, penghuni 12 buah rumah berdekatan bangunan itu diarah berpindah sementara kerana pakar menjangka bangunan yang terbabit dalam kejadian itu menghadapi risiko akan runtuh bila-bila masa. Padanya keadaan itu boleh membahayakan bangunan dan penduduk di sekitar kawasan itu.

Tetapi belum pun selesai isu ini, timbul pula berita bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, Kuala Terengganu, yang bernilai RM292 juta yang baru siap setahun pula runtuh. Walaupun tiada nyawa yang melayang, namun kegusaran terus melanda kerajaan negeri.

Dua peristiwa di atas sungguh jauh bezanya, bagaikan langit dengan bumi. Kalau bangunan lama yang tidak lagi digunakan, malah dalam proses diruntuhkan, maka runtuhannya agak logik. Tetapi apa halnya dengan stadium yang masih muda? Inilah yang perlu difikirkan oleh semua pihak bagi mencari jawapan sekali gus menemui jalan keluar.

Sebenarnya, peristiwa yang terjadi itu seharusnya boleh memberi pengajaran kepada manusia. Tetapi berdasarkan pengalaman yang lampau, seperti tidak pernah ada pengajaran yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat mahupun kerajaan. Walaupun kajian demi kajian mengenai peristiwa runtuhan di negara ini dibuat namun peristiwa yang sama terus berlaku. Adakah jawapan pada kajian itu tidak tepat atau tidak pernah ada jawapan langsung?

jalan keluar 1

Kelemahan Kita

Di sinilah kelemahan umat Islam masa kini, apa yang berlaku hanya dilihat secara lahiriah sahaja, tidak mahu melihatnya secara serius menggunakan kaca mata hati. Selagi kita hanya melihat dengan mata kasar, A dilihat sebagai A, tentu penyelesaiannya tidak akan beroleh secara positif.

Umumnya kita melihat runtuhan bangunan di Bukit Antarabangsa sebagai bencana alam akibat kecuaian pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memantau. Kononnya terdapat retakan dan takungan air yang tidak diberi perhatian segera.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Seksyen 14, Petaling Jaya, keruntuhan bangunan bekas pasar raya itu kita lihat sebagai kecuaian kerja-kerja merobohkan bangunan itu. Lalu kontraktor yang ditugaskan merobohkan itu dipersalahkan, dan MBPJ juga dipersalahkan kerana tidak memantau kerja-kerja itu.

Manakala Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bumbungnya terbang menghempap kereta yang berada di luar stadium dilihat sebagai kesilapan kontraktor binaan. Bangunan itu dikatakan didirikan secara tergesa-gesa bagi membolehkan ia digunakan pada musim Sukma. Lalu kontraktor yang membuat bumbung dipersalahkan.

Memanglah dari sudut prosedur, pihak berkenaan wajar dipersalahkan, tetapi kalau kita perasan, semua peristiwa yang berlaku itu tidak boleh hendak dilogikkan oleh akal. Bangunan di Bukit Antarabangsa runtuh sebagai contoh, kenapa sebahagian sahaja, tidak semua, terutama bangunan yang tinggi di belakangnya?

Selain itu jika kita melihat kepada cara runtuhan dan masanya, sudah tentu ramai yang sepatutnya menjadi mangsa, tetapi kenapa tidak ramai yang tertimbus dan mati. Itulah yang dikatakan tidak boleh dilogikkan oleh akal.

Bangunan bekas pasar raya di Petaling Jaya itu, memang dalam kerja-kerja merobohkannya. Kerja itu sudah tentu dibuat dengan berhati-hati, apatah lagi jentera berat berada di atasnya. Adakah mereka tidak tahu bahawa bahagian bawahnya tidak kuat untuk menampung jentera berat di atasnya. Sudah tentu mereka sudah membuat kajian tentang kemampuannya.

Tetapi kenapa bangunan yang sedang dirobohkan itu, tiba-tiba roboh pada bahagian lain yang belum sampai masanya untuk dirobohkan lagi. Kenapa boleh roboh? Tidak siapa yang tahu secara tepat. Inilah yang dimaksudkan kejadian itu berlaku secara tidak logik.

Lebih tidak logik bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu yang baru setahun siap dibina tiba-tiba runtuh. Kontraktor dari Hong Kong yang berpengalaman dalam membuat bumbung, sudah tentu mahu menjaga prestasinya. Mereka tentu hendak menjaga nama baiknya, maka tidak mungkin dilakukan secara lebih kurang sahaja.

Jadi, sesuatu yang berlaku secara tidak logik ini seharusnya kita pulangkan kepada Allah. Allah sahaja yang tahu punca sebenarnya, malah Dia juga yang tahu mengapa bangunan itu harus roboh. Tetapi siapakah dalam kalangan umat Islam yang dapat melihat sebegitu. Mereka tidak nampak semua itu dan tidak mahu melihat semua itu di sebaliknya dengan merujuk kepada takdir Allah untuk mendidik hamba-Nya.

Pandangan Orang Awam

jalan keluar 2Orang awam yang selalunya terpengaruh dengan media tertentu akan berpegang kepada apa yang mereka baca, dengar, dan lihat. Tetapi kadang-kadang ada juga sebahagian mereka yang membaca pelbagai media dan di sini akan timbul terkeliru dalam hati mereka kerana terdapat percanggahan fakta antara satu sama lain.

Berdasarkan laporan media tersebut, mereka yang tidak berpeluang melihat sendiri kejadian itu akan memberi pandangan dan ulasan mengenainya yang bercanggah dengan yang sebenar. Namun bagi mereka yang tidak percaya kepada media tersebut lebih berminat untuk mendapat maklumat dari internet yang beritanya lebih dipercayai kebenarannya kerana dikatakan tidak terpengaruh dengan akta.

Walau apa pun pandangan mereka, solusi yang sebenarnya masih belum ada. Mereka akan salahkan kerajaan, salahkan orang politik yang meluluskan projek dan menyalahkan pemaju perumahan. Mereka tidak langsung melihat hikmat di sebalik peristiwa itu dan tidak cuba mengambil iktibar daripadanya.

Kesannya, kesilapan demi kesilapan yang sama terus dilakukan oleh manusia terutama umat Islam. Mereka terus menjalankan aktiviti kehidupan seperti biasa. Mereka terus derhaka kepada Allah, terus mengulang dosa dan maksiat, dan terus mencabar kekuasaan Allah dengan kerakusan dalam mentadbir alam ini.

Pandangan Islam

Islam mahu umat Islam dan manusia seluruhnya melihat apa yang berlaku di muka bumi ini sebagai ujian dan peringatan Allah sekali gus mendidik manusia supaya mengikut peraturan-Nya. Runtuhan bangunan misalnya, perlu dilihat sebagai teguran Allah yang serius terhadap umatnya yang masih degil melanggar peraturan Allah.

Merujuk kepada runtuhan bekas bangunan Jaya Supermarket, mungkin Allah mahu pemaju apatah lagi umat Islam supaya berhati-hati dalam semua urusan sama ada bersangkutan dengan alam, manusia, dan Allah. Jangan sampai apa yang kita lakukan itu membinasakan alam, menganiayai manusia dan menderhakai Allah.

Soal bangunan yang runtuh tidak perlu difikirkan lagi kerana yang berlaku tidak mungkin dikembalikan kepada asalnya. Tetapi yang perlu difikirkan adalah untuk masa depan, rancang yang terbaru dengan lebih baik seperti yang dikehendaki oleh Allah. Fikirkan risiko kemurkaan Allah dalam setiap perancangan.

Merujuk kepada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh, Allah memperlihatkan percaturan-Nya yang bijak untuk menyelamatkan nyawa manusia pada acara negeri atau kebangsaan. Bayangkan kalau bumbung itu runtuh pada waktu ada acara rasmi, sudah tentu ramai yang menjadi mangsa.

Selain itu Allah mahu menyedarkan hamba-Nya bahawa semua urusan dunia perlu mengikut peraturan yang ditetapkan dan yang dipersetujui oleh arkitek yang bertauliah. Jika peraturan tidak dipatuhi dan apa yang dirancang tidak dilaksanakan, pasti bangunan yang dibina itu tidak sempurna. Apatah lagi kalau projek itu tergendala, maka kosnya akan meningkat lalu merugikan wang kerajaan dan rakyat.

Kompleks Sukan Negeri yang bernilai RM292 juta itu sepatutnya cukup kukuh dan mantap tetapi kita tidak pasti, apakah sejumlah wang itu benar-benar kos pembinaan. Kita tidak pasti adakah jumlah itu sudah termasuk wang yang perlu dikeluarkan untuk kepentingan orang tertentu. Kita juga tidak tahu adakah wang itu sudah termasuk 10 peratus yang terpaksa dikeluarkan untuk beberapa orang yang terlibat di belakang tabir. Bayangkan kalau semua itu berlaku, berapa kos sebenar stadium itu?

Allah mahu mengajar umat Islam dan manusia seluruhnya bahawa amanah yang diabaikan, bukan sahaja pendapatan seseorang itu tidak halal dan tidak berkat, malah orang ramai yang terlibat tidak reda dengan keadaan itu, dan kerajaan dan rakyat akan rugi. Apatah lagi apabila stadium itu terpaksa dibina semula yang pasti memerlukan tambahan kos.

Ingatlah umat Islam yang mampu melihat semua kejadian Allah dengan pandangan mata hati pasti mereka akan berhati-hati dengan amaran Allah. Mereka tidak akan terlibat dengan memberi dan menerima rasuah. Mereka akan mematuhi perjanjian dan peraturan yang dipersetujui.

 

Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah dan Undang-undang) dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri. Berpengalaman sebagai editor majalah Dewan Agama dan Falsafah, dan sub editor akhbar Sinar Harian. Kini turut ditugaskan sebagai Penolong Pendaftar Nikah di Selangor. Kini sebagai editor Solusi, boleh dihubungi melalui e-mel: baei@telagabiru.net.my Lawati blog: http://baei.blogspot.com

Terkini daripada Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Kembali ke atas