Menu

 

A+ A A-

PERKASAKAN DIRI DENGAN DOA

DOA merupakan tanda ibadah dan pengabdian diri kepada Allah, kerana memohon kepada Allah adalah pengiktirafan bahawa hanya Allah yang Maha Berkuasa memenuhi segala hajat manusia.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 55-56, yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

Kasih dan sayang Allah s.w.t. kepada para hamba-Nya begitu jelas dinyatakan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 187)

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu sangat pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hambaNya yang mengangkat tangannya berdoa, tiba-tiba tak diberinya permintaannya itu.”

Hakikatnya doa dapat menyelamatkan seseorang daripada bala, berdasar kan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan lain-lain yang bermaksud: “Tidak dapat menolak qadak melainkan doa.” Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Doa itu bermanfaat terhadap apa yang sudah berlaku atau yang belum berlaku. Oleh itu, wahai hamba Allah, hendaklah kamu berdoa.” (Riwayat al-Hakim)

Namun bagaimanakah pendekatan doa yang sebenarnya? Nabi s.a.w. telah menjelaskan panduan doa, zikir dan munajat yang lengkap dalam pelbagai kesempatan dan situasi yang dialami olehnya bersama generasi umat Islam yang awal.

Buku yang disusun dalam gaya bahasa santai ini amat sesuai dibaca dalam majlis-majlis ilmu, sesudah solat, dalam usrah-usrah pelajar, di samping hidangan seisi keluarga dan dicadangkan agar dibaca bermula daripada inti sari ayat, keterangan hingga kepada kaifiat dan khasiatnya untuk diamalkan.

Kelebihan buku ini ialah setiap doa bersumberkan keterangan berkaitan latar belakang ayat dan kelebihan beramal dengannya berpandukan kitabkitab Tafsir terkemuka, antaranya Tafsir Ibn Kathir, al-Khazin, al-Qurtubi, al-Tabari, al-Durrul Manthur, al-Qurtubi, Adwa ‘ul Bayan, Fi Zilalil Quran, al-Baidhawi, al-Fakhrurrazi, Ibn Abi Hatim dan lain-lain.

Perkara ini sejajar dengan perkembangan minda umat Islam yang begitu pesat pada hari ini. Moga semuanya mendapat panduan dalam beramal.¤

 

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

_________________________________________________________________

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas