JIKA BENAR INGINKANNYA, BAYAR HARGANYA!
Jika kita tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan, penyebabnya antara dua. Pertama, kita tidak benar-benar inginkannya. Kedua, kita tidak membayar “harga” yang sepatutnya untuk mencapai apa yang kita inginkan itu. Begitulah dengan usaha membanteras rasuah yang sedang hebat diperkatakan sekarang.
Kejayaannya terletak kepada dua faktor ini. Apakah kita benar-benar inginkan ia dihapuskan, atau keinginan itu hanya ”separuh hati”?
Ada yang berbisik, “Kalau rasuah dapat dihapuskan memang baik tetapi kalau tidak, tidak mengapalah. Ia sudah jadi budaya, bukan senang untuk hapuskannya...” Bisikan seperti ini menunjukkan kita tidak benar-benar serius.
Pernah satu ketika selepas menjelaskan bagaimana perniagaan boleh menjadi satu ibadah (salah satu syaratnya adalah dengan meninggalkan perkara-perkara yang haram, antaranya rasuah), seorang ahli perniagaan dengan begitu sinis berkata, “Kalau tak rasuah, susahlah dapat projek...” Malah beberapa tahun yang lalu saya telah diajukan soalan oleh seorang pegawai dengan nada sindiran, “Apakah usaha menghapuskan rasuah masih relevan?”
Tekad Kita Belum Bulat
Ya, bukan mudah untuk menghapuskan satu keburukan yang telah menjadi budaya. Apabila yang buruk dianggap biasa, dan yang baik dianggap asing, perlu satu anjakan pemikiran dan tekad yang kuat untuk menegakkan kebenaran. Maksudnya, kalau kata-kata sinis bernada pesimis seperti di atas masih mendominasi hati kebanyakan kita, yakinlah rasuah tidak akan dapat dihapuskan.
Semua itu menunjukkan tekad kita belum bulat. Tidak seperti tekad Nabi s.a.w. yang ketika dipujuk oleh bapa saudaranya Abu Talib supaya berhenti berdakwah, Baginda berkata: “Wahai bapa saudaraku! Demi Allah, sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan tugas agama ini sehingga Allah memenangkannya atau aku sendiri hancur, aku tidak akan meninggalkan tugas ini.”
Itulah burning desire (keinginan yang meluap-luap) di dalam diri Rasulullah s.a.w. hingga merealisasikan impiannya untuk mengislamkan manusia. Kejayaan itu disebabkan Baginda benar-benar inginkannya. Dan kerana itu Baginda tidak mengenal jemu, payah, ugutan malah bujukan dalam perjuangannya.
Lihat bagaimana dimulakan perjuangannya di Makkah tetapi terbentur. Tidak putus asa, Baginda bergerak mencari sinar di Taif, masih ditolak. Kemudian hijrah sebilangan sahabat ke Habsyah. Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di kota Madinah dan kembali semula membuka kota Makkah. Baginda tidak mengenal undur, kerana Baginda benar-benar inginkannya!
Soalan kedua yang harus ditanyakan; apakah kita sanggup membayar harga keinginan itu walau setinggi mana sekalipun nilainya?
Sering kali apa yang kita inginkan menagih korban daripada sesuatu yang juga sangat kita sayangi. Kejayaan Rasulullah s.a.w. terpaksa “mengorbankan” deretan sahabat-sahabat yang sangat disayanginya – syahidnya Sumaiyah, Yassir, Sayidina Hamzah, Saad bin Muaz, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain. Bahkan sekian lama Baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan, keselesaan demi membayar harga kejayaan Islam itu.
Apakah Kita Sanggup Membayarnya?
Ya, bagaimana dengan “harga” keinginan kita untuk bebas rasuah? Apakah kita sanggup membayarnya? Sanggupkah kita “memotong” sebahagian anggota masyarakat yang terlibat dengannya (tidak kira betapa besar jasa, pangkat dan kedudukan mereka), sebagaimana seorang pesakit kencing manis yang sanggup memotong kakinya demi menyelamatkan anggota lain daripada merebak?
Mudah-mudahan dijauhkan kita daripada sikap berdolak dalik atau pilih kasih dengan hanya menghukum “ikan bilis” dan melepaskan “jerung-jerung besar”. Alhasil, tindakan kita untuk menghapuskan rasuah begitu bermusim sifatnya. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam.
Dua faktor yang disebutkan tadi melibatkan soal dalaman yakni jiwa dan hati nurani manusia. Rasulullah s.a.w. memiliki kedua-duanya, justeru keinginan yang menyala-nyala dan kesanggupannya membayar harga yang tinggi untuk kejayaan, disebabkan benar-benar yakin kepada Allah dan pembalasan pada hari akhirat.
Apabila Allah dibesarkan, akhirat diutamakan, maka menjadi murah nilaian dunia ini dan rasa kecil segala manusia. Dan ketika itulah segala-galanya akan rela dipertaruhkan demi untuk mendapat keredhaan Allah dan meraih syurga. Rasa hati seperti inilah yang diperlukan dalam memerangi rasuah dan kemungkaran-kemungkaran lain.
Andainya ada yang masih bertanya, mengapa kita belum berjaya membanteras rasuah, kembalilah kepada ayat pertama tulisan ini...
Abu Irdak
Sumber artikel daripada majalah Solusi 6