Menu

 

A+ A A-

PENDAKWAH IDEALISTIK VS REALISTIK

Ditulis oleh 

PENDAKWAH IDEALISTIK VS REALISTIK

Setelah sekian lama berdakwah secara kecil-kecilan bersama rakan-rakan di kawasan perumahan yang saya tinggal sekarang, saya terkadang rasa agak kecewa melihat suasana semasa masyarakat khususnya golongan muda yang masih hanyut dibuai keseronokan dunia. Pelbagai perancangan yang telah kami buat dan program-program dakwah yang dijalankan namun masih belum berjaya mengubah suasana. Apakah ubat terbaik mengatasi kekecewaan dalam berdakwah sebegini?

Pendakwah sejati memang memiliki idealisme dan cita-cita murni. Tetapi yang ada pada seorang pendakwah bukan cuma idealisme dan cita-cita semata. Pendakwah juga harus punya kesedaran tentang realiti.

Pendakwah yang sihat dan waras ialah pendakwah yang dapat mengimbangi antara ideal dan realiti. Idealis yang buta realiti akan selamanya hidup dalam mimpi dan fantasi. Sementara realis yang kehilangan ideal akan menjadi puntung hanyut dibawa arus.

Maka dalam mengejar idealisme dan cita-cita, pendakwah harus sentiasa realistik iaitu sikap realistik yang berprinsip sebagaimana istilah yang diutarakan oleh Rashid al-Ghannushi al-Kheriji, pemimpin Harakat al-Nahdah dari Tunisia.

Sunnah Berdakwah

Pendakwah yang realistik dapat mengukur jauh-dekatnya perjalanan menuju cita-cita idealnya. Tahu duduk pada patutnya, tahu tegak pada layaknya, tahu serai yang berumpun, tahu negeri yang beraja, tahu tepian yang berbahasa, tahu ladang yang bergalang, tahu hutan yang berlarangan, tahu rimba yang berpunya.

Dengan menginsafi jarak antara kemampuan diri dengan cita-cita yang meninggi, pendakwah tidak akan terburu-buru meledakkan kekuatannya (yang ada kalanya tak seberapa itu) sebelum waktunya. Ia tahu membezakan antara waktu membina kekuatan dan waktu meledakkan kekuatan. Apa yang diperlukan sekarang ialah perencanaan yang boleh berfungsi dengan segala tahapnya menuju realisasi cita-cita.

Begitulah kehendak sunnatullah sebagaimana yang diisyaratkan dalam kitab suciNya. Allah telah menciptakan alam ini dalam enam hari, sedangkan Ia Maha Berkuasa untuk sekadar menitahkan: kun fayakun.

Allah Maha Berkuasa untuk memenangkan Nabi Nuh sejak awal lagi. Namun baginda perlu berjuang siang dan malam, secara sulit dan terbuka selama hampir seribu tahun, barulah baginda diselamatkan dengan bahtera yang dibina sendiri, bukan bahtera yang diturunkan langsung dari langit.

Allah jua Maha Berkuasa untuk memenangkan RasulNya Muhammad s.a.w. sejak hari pertama kerasulannya dengan menghancurkan musuhnya. Namun jelas Allah tidak mengizinkan umat Islam meledakkan kekuatan mereka sebelum waktunya: “Tahanlah (tanganmu dari berperang) dan dirikan solat.” (Surah al-Nisa’: 77)

Hanya setelah cukup kemampuan, barulah mereka diizinkan berperang: “Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka.” (Surah al-Hajj: 39)

Berencana Elak Celaka

Semua ini adalah merupakan pengajaran buat pendakwah sepanjang zaman agar jangan terburu-buru tetapi harus tekun dalam merencana dan bekerja dengan sabar dan bijaksana. Pendakwah bukanlah golongan absurd yang hanyut dalam alam fantasi. Sebaliknya mereka merupakan realis di tengah-tengah kancah pergomolan persoalan-persoalan yang nyata  dan praktis.

Pendakwah yang ingin mencapai cita-cita harus punya budaya kerja berencana dan bukan budaya irtijal atau ad hoc. Dakwah ialah satu proses pendakian yang berterusan. Jika tidak diurus dengan sesempurnanya, kelak ditimpa celaka gurur dan ujub hingga membawa kejatuhan kita sendiri sebagaimana jatuhnya Iblis ketika menjadi egois dan mendabik dada kerana kehebatannya.

Dengan perhitungan itulah pendakwah perlu memantapkan dan mengukuhkan watak dan keperibadian sebagai pendakwah yang moderat – sesuai dengan watak kesederhanaan Islam dan sejalan pula dengan nurani dan cita rasa budaya umat.

Moderat bukan bererti lemah dan mengalah, tetapi dalam erti berbuat menurut kemampuan dan keperluan. Ayuhlah kita, merendah tidak membuang maruah, meninggi tidak membuang budi. Teruskan langkah kembali ke tengah-tengah masyarakat untuk meneruskan tugas islah – membangun umat dan mencipta sejarah.

Wallahu  a‘lam.

 

 

 

Ustaz Badli Shah Alauddin

       Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Read 7069 times
Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.