Bukan Salah Saya
- Kategori Angguk Geleng
- Ditulis oleh Solusi
- Komen artikel ini?
SEBUAH rumah tangga mengalami keadaan yang kacau bilau. Untuk mencari puncanya, ayah, ibu dan anak dalam keluarga itu menemui seorang pakar untuk mendapat kaunseling. Setelah melalui sesi bersemuka bersama, kaunselor tersebut menemui ketiga-tiganya secara berasingan.
“Agak-agak awak, apa yang menyebabkan rumah tangga ini bergoncang?” tanya kaunselor kepada si ayah.
“Ini semua gara-gara isteri saya. Dia tidak pernah patuh. Apa sahaja yang saya katakan, dia pasti melawannya.”
“Jadi bukan salah awak?”
“Pasti. Ini semua salah isteri saya. Dia derhaka,” jawab si ayah.
Selepas itu, giliran isteri pula ditemu duga oleh kaunselor tersebut.
“Ya, apa penjelasan puan?”
“Tak payah selidik panjang-panjang. Confirm salah suami saya.”
“Kenapa?”
“Macam mana saya nak beri ketaatan kepada suami yang cakap tak serupa bikin.”
“Jadi?”
“Lawan tetap lawan! Bukan salah saya. Salah dia.”
Kaunselor terdiam. Pening.
Tiba giliran si anak, kaunselor bertanya, “Mengapa awak menagih dadah sebagai jalan penyelesaian?”
“Bukan salah saya...” jawab si anak perlahan. Muram.
“Awak boleh berfikir. Mengapa memilih jalan yang salah?”
“Tuan sendiri dah lihat betapa teruknya persengketaan ibu dengan ayah saya. Saya jadi macam ni disebabkan mereka...”
“Jadi?”
“Saya salahkan dua-dua ibu bapa saya!”
Kaunselor mengumpulkan semula ketiga-tiga mereka dan berkata, ”Saya beri peluang kepada awak semua untuk berbincang. Berbincanglah dari hati ke hati dengan harmoni. Cari jalan penyelesaian. Jangan salah menyalah antara satu sama lain lagi ok?”
Selang tidak berapa lama setelah berbincang ketiga-tiga mereka pergi menemui kaunselor dengan wajah berseri-seri.
“Setelah berbincang, kami dah capai persetujuan.”
“Bagus,” puji kaunselor dengan penuh harapan.
“Kami semua tidak bersalah,” kata si ayah.
“Ya, bukan kami penyebab rumah tangga ini bergolak,” kata si ibu.
“Yang salah Internet. Ia penyebab kami tidak punya cukup waktu bersama,” kata si anak.
“Yang salah jiran sebelah. Dia menghasut saya melawan suami,” tambah si isteri.
“Yang salah media massa. Ia kerap menyiarkan berita negatif. Saya terpengaruh.” ujar si suami.
Kaunselor terpinga-pinga.