Menu

 

A+ A A-

FREEMASON

Ditulis oleh 

Bahaya Freemason

Saya telah mendengar banyak orang menyebut tentang Freemason yang dikaitkan dengan Yahudi. Tetapi saya masih tidak dapat gambaran apa sebenarnya Freemason. Boleh ustaz terangkan?

Freemason ialah sebuah organisasi persaudaraan antarabangsa. Freemason jika ditelusuri berasal daripada ajaran sesat Kabbalah, iaitu ajaran sesat Yahudi yang diwarisi dari era Firaun Mesir dan era Babylon kuno.

Sihir ialah inti pati ajaran Kabbalah. Ia mendukung penyembahan syaitan dan iblis untuk memohon tercapainya sihir-sihir yang dilakukan. Kabbalah sebenarnya yang mengajar bahawa setiap nombor mempunyai kuasa sihir (magis). Bertitik tolak dari sinilah timbul, beraneka ragam simbol, rajah dan lambang yang dipercayai dapat memanggil kuasa sihir.

Justeru, Freemason sebenarnya campuran ritual mistik ajaran sesat Kabbalah dan gerakan politik. Begitu banyak pertubuhan politik dan ekonomi Dajal yang digerakkannya di seluruh dunia seperti Bilderberg Group. Freemason juga berselindung di sebalik pertubuhan kebajikan yang kononnya menumpukan kepada kebajikan sosial dan konsep persamaan dan persaudaraan manusia.

Bagaimana cara gerak kerja gerakan Freemason ini?

Freemason mempunyai peringkat-peringkat penyertaan (level). Peringkat terendah akan diajar konsep persamaan dan persaudaraaan manusia tanpa menyentuh agama. Namun setiap kali kenaikan peringkat, ahli akan dimasukkan sedikit demi sedikit doktrin Satanism dan mistik Kabbalah. Akhirnya pada peringkat tertinggi seperti kumpulan 33rd degree, seseorang itu akan menyembah iblis sepenuhnya dan tunduk kepada perintah-perintah Dajal laknatullah.

Apakah prinsip gerakan Freemason dan bagaimana ia bermula?

Biarpun Freemason mempunyai pelbagai nama dengan fokus dan orientasi kerjanya yang berbeza, namun mereka berkongsi prinsip, pandangan moral dan metafizik yang sama. Lazimnya mereka berkongsi kepercayaan kepada satu “Makhluk Agung” (Supreme Being).

Freemason zaman moden bermula dengan tertubuhnya Grand Lodge di London pada tahun 1717. Sebahagian pengkaji Barat berkeyakinan bahawa Freemason sebenarnya sudah ditubuhkan di Scotland pada abad ke-14, ketika Knight Templar atau Kesatria Templar dihapuskan oleh Raja Perancis Philipe le Bel dan Paus Clement V.

Pertubuhan ini kini wujud dalam berbagai-bagai bentuk di seluruh dunia. Keahliannya dianggarkan sekitar lima juta. Di England, Scotland dan Ireland sahaja ahlinya seramai 480,000 orang. Manakala lebih kurang dua juta orang ahli berada di Amerika Syarikat. Di Scotland, Knight Templar ini menyusup ke dalam organisasi-organisasi buruh binaan (Mason) dan menguasai kelab-kelab pekerjanya (lodge). Mereka kemudian menggelarkan diri mereka sebagai Freemason.

Hakikatnya ia nama lain bagi kumpulan Kabbalah Yahudi-Talmud. Di Eropah, Freemason terbahagi dalam dua kelompok besar iaitu Scotland Rites dan York Rites. Merekalah yang bertanggungjawab menyebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Tadi ustaz ada menyebut istilah lodge. Boleh ustaz jelaskan lebih terperinci?

Perkataan “lodge”ertinya kumpulan mesyuarat Mason di beberapa buah tempat dan bilik atau bangunan di mana mereka bertemu. Bangunan Masonik juga kadang-kadang dipanggil “haikal” kerana banyak symbol Masonry yang digunakan untuk mengajar pelajaran Freemason datang dari bangunan Haikal Sulaiman (Solomon Temple) di Palestin. Istilah lodge itu sendiri merujuk kepada struktur yang dibina oleh tukang batu di sebelah gereja semasa pembinaan. Pada musim sejuk, apabila pembinaan bangunan terpaksa berhenti, mereka tinggal di rumah persinggahan (lodge) dan bekerja mengukir batu.

Apakah tahap-tahap yang boleh dicapai oleh mereka yang menyertai gerakan ini?

Degree” adalah peringkat atau tahap keahlian. Ia juga merupakan majlis yang membolehkan seseorang mencapai tahap keahlian tertentu. Terdapat tiga peringkat, dipanggil Pemasukan Perantis, Fellow craft, dan Master Mason. Nama-nama ini diambil daripada persatuan kraf. Pada zaman pertengahan, apabila seseorang mahu menyertai suatu kemahiran, seperti tukang emas, tukang kayu atau tukang batu, dia mula-mula menjadi perantis. Sebagai seorang pelatih, beliau akan belajar alat dan kemahiran yang berkaitan. Apabila dia telah membuktikan kemahiran beliau, beliau menjadi Fellow Craft. Setelah dia mempunyai kebolehan yang luar biasa, beliau akan dikenali sebagai Master Craft.

freemason-1

Nampaknya perbincangan kita semakin menarik. Namun atas keterbatasan ruang, minta ustaz lanjutkan penerangan tentang asal usul gerakan Freemason.

Sebenarnya, terdapat pelbagai legenda dan teori mengenai asal-usul kewujudan Freemason. Ada yang mengaitkannya dengan kultus Iris-Osiris pada zaman Mesir kuno. Ada pula yang mengatakan bahawa ia ditubuhkan pada abad ke-2 SM oleh ahli kitab atau pendeta Yahudi daripada mazhab Essene. Sesetengah pengkaji Freemason berpendapat bahawa Freemason berakar umbi daripada peristiwa pembinaan Haikal Sulaiman (King Solomon’s Temple) di Jerusalem pada tahun 967 SM.

Asas cerita itu tertumpu kepada seseorang yang bernama Hiram Abiff, ketua arkitek pembinaan yang mendakwa mengetahui rahsia Haikal Sulaiman. Menurut legenda ritual Freemason, persaudaraan Mason telah ada sejak pembangunan Haikal Nabi Sulaiman sejak ratusan abad silam. Disebabkan haikal yang dibina sangat besar, ia memerlukan satu bentuk organisasi kerja yang baik untuk memastikan pembangunan haikal selesai tepat pada waktunya. Keadaan ini mendorong perkembangan organisasi pekerja “stonemason” dan arkitek ke dalam pelbagai tingkatan dan kelas dengan tanggungjawab yang berbeza-beza.

Banyak watak-watak yang diungkap dalam buku Kings and Chronicles dalam Kitab Yahudi sesuai dengan situasi-situasi yang ada di pelbagai tingkatan organisasi Masonry, misalnya Nabi Sulaiman, Hiram (Raja Tyre yang membekalkan bahan material dan sumber manusia untuk pembangunan haikal), Adoniram, dan sebagainya. Meskipun gerakan Freemason melakukan ritual-ritual zaman Nabi Sulaiman, namun tidak dapat dijadikan bukti bahawa gerakan tersebut telah wujud sejak zaman itu.

Mohd Hanif Hj. Ismail
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Read 11158 times
Ustaz Haji Mohd Hanif bin Hj Ismail

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) Universiti al-Azhar. Kini menjadi pendidik di Sek. Men. Agama Tanjung Karang. Aktif dalam berceramah. Antara buku yang dihasilkan beliau iaitu “Zionisme: Order Barat Menghancurkan Umat Islam ” dan “Baitul Maqdis: Kesucian Yang Dipertahankan.”

Terkini daripada Ustaz Haji Mohd Hanif bin Hj Ismail

Artikel berkaitan: SALAH FAHAM TENTANG RUH »