Menu

 

A+ A A-

IMAM AL NAWAWI

Ditulis oleh 

SEJAK kanak-kanak lagi sudah dikesan kelebihan luar biasa yang dimilikinya. Punya potensi yang cukup besar untuk menonjol dalam lapangan berkaitan ilmu pengetahuan. Teguran daripada seorang alim tempatan tersohor, Syeikh Yasin Yusuf Marakashi menjadi azimat berharga

Ketekunan yang didorong rasa cinta meluap-luap terhadap ilmu pengetahuan akhirnya meletakkan kanak-kanak tersebut di tempat yang selayak dengannya. Demikianlah takdir hidup Yahya bin Syarah bin Hasan bin Husain al-Nawawi atau lebih masyhur dan tersohor dengan gelaran Imam al- Nawawi. Ulama terbilang kelahiran Nawa, sebuah kampung di dalam daerah Damsyik, Syria, ini telah mengabdikan hampir seluruh usianya menadah ilmu dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Kegemarannya menuntut ilmu pertama kali disaksikan oleh Syeikh Yasin semasa Imam al-Nawawi sedang membaca al-Quran, sedangkan pada masa yang sama beberapa orang kanak-kanak sebaya sedang bermain. Apabila diajak bermain dia menolak. Malah berusaha menghindar dan menangis kerana kawan-kawan memaksanya meninggalkan pembacaan dan ikut bermain bersama mereka. Syeikh Yasin Yusuf Marakashi, seorang ulama yang berpandangan jauh. Anak itu dilihat mempunyai potensi menjadi orang yang paling pintar dan paling zuhud pada zamannya nanti.

Malah ia juga dilihat mampu menyumbangkan manfaat yang sangat besar kepada umat Islam. “Jagalah budak ini baik-baik. Dia bakal menjadi seorang ulama besar dan ahli ibadah,” kata Syeikh Yasin kepada guru al-Quran kanak-kanak bertuah itu. “Adakah tuan ini seorang ahli nujum atau penilik nasib?” Syeikh Yasin menjawab, “Bukan, tetapi Allah menghendaki aku mengeluarkan kata-kata itu.”

Dibawa ke Damsyik

Bapa Imam al-Nawawi sebenarnya sudah menyedari kelebihan anaknya itu. Malangnya Nawa tidak mempunyaikemudahan yang diperlukan bagi seorang yang mahu mencapai kejayaan dalam menuntut ilmu. Imam al-Nawawi dibawa ke Damsyik. Kota besar itu terkenal sebagai pusat pengajian serta menjadi tumpuan pelajar dari serata tempat.

Damsyik pada waktu itu sudah pun mempunyai lebih 300 buah institut, kolej dan universiti. Imam al-Nawawi belajar di Madrasah Rawahiyah. Menimba ilmu daripada guru-guru terkenal. Setiap hari masanya dipenuhi dengan menadah kitab dan menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan oleh alim ulama di Kota Damsyik. Imam al-Nawawi menghadiri 12 majlis ilmu dalam sehari.

Cukup apa yang ada

Kesibukan menuntut ilmu membuatkan dia tidak menghiraukan sangat soal makan dan minum. Makannya hanya sekadar keperluan saja. Malah tidur malam pun dihadkan. Baginya masa amat berharga, rugi kalau tidak digunakan untuk menimba ilmu. Rehatnya di hadapan kitab-kitabnya. Hilang penat, Imam al-Nawawi akan menyambung semula kajian atau penyelidikannya.

Imam al-Nawawi memberikan tip bagaimana untuk menguasai ilmu: “Aku menulis segala yang berkaitan dengannya, baik penjelasan kalimat yang sulit mahupun pemberian harakat pada kata-kata. Dan Allah telah memberikan barakah dalam waktuku.” Di Damsyik, Imam al-Nawawi berguru dengan lebih 20 orang ulama. Sesetengah mereka terkenal sebagai pakar dalam bidang masing-masing.

Beliau mempelajari ilmu hadis, perundangan Islam dan pelbagai ilmu lain daripada ulama-ulama terkenal waktu itu. Antara guru beliau ialah Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maghribi, Abu Muhammad Abdurrahman bin Ibrahim al- Fazari, Abul-Abbas Ahmad bin Salim al-Misri, Abu Abdullah al-Jiyani, Abu Muhammad al-Tanukhi dan ramai lagi. Imam al-Nawawi dikurniakan Allah s.w.t. kelebihan mudah mengingati dan menghafaz setiap pelajaran yang dipelajarinya. Kecintaan yang luar biasa kepada ilmu pengetahuan tidak pernah membangkitkan rasa jemu atau penat dalam usaha gigihnya sebagai seorang penuntut ilmu, sehingga akhirnya mencapai darjat ulama yang disegani ramai.

Pulang daripada menunaikan haji pada tahun 665 Hijrah iaitu kira-kira 16 tahun selepas menjadi warga Damsyik, Imam al-Nawawi mula melibatkan diri dalam bidang pengajaran pula. Apa yang dimilikinya dicurahkan kepada masyarakat. Namun begitu, dia tidak mahu menerima gajidaripada khidmat yang diberikan. Sepertimana tokoh-tokoh ulama salafussoleh lainnya, Imam al-Nawawi memilih kehidupan yang zuhud demi memelihara kewarakannya.

Sangat menjaga ketaatannya kepada Allah s.w.t. agar terpelihara ketakwaannya. Sangatbersederhana dan cukup dengan apa yang ada. Namun tidak pula menjejaskan wibawanya sebagai seorang alim terbilang. Kegemaran mutalaah ilmu sudah mendarah daging dalam dirinya. Walaupun sudah menjadi tempat rujuk umat, Imam al-Nawawi terus berdampingan dengan kitab. Malamnya jarang digunakan untuk tidur, sebaliknya dimanfaatkan untuk menulis atau beribadah. Ulama besar dalam fiqah mazhab Syafii ini cukup menyerlah dalam bidang hadis dan bahasa.

Kedudukannya sangat tinggi berbanding para ulama zamannya. Seorang ulama sezaman, Syeikh Ibn Farh menyifatkan Imam al-Nawawi memiliki tiga darjat yang sukar dicapai oleh orang lain – alim, zuhud dan menegakkan amar makruf nahi mungkar. Memang Imam al-Nawawi sangat tegas menunaikan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Keprihatinannya memberi teguran kepada pihak pemerintah, tanpa ada rasa takut atau ragu-ragu memang diakui ramai. Kesan daripada ketegasannya menegakkan hukum, Imam al-Nawawi diusir keluar dari Damsyik. Raja ditanya, “Kenapa tuanku tidak bunuh saja Imam al-Nawawi yang telah melanggar perintah paduka tuanku?” Lalu jawab raja, “Demi Allah! Aku sangat segan kepadanya.”

imam al nabawi

Enggan memberi fatwa

Menurut riwayat, suatu ketika Sultan al- Zahir Bebris mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol), lalu diminta fatwa alim ulama mengharuskan kerajaan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Sekalian ulama fiqah negeri Syam telah menulis menerangkan fatwa tersebut. Tetapi baginda sultan masih tidak puas hati kerana Imam al-Nawawi belum memberi fatwanya.

Setelah mengkaji masalah yang dikemukakan, Imam al-Nawawi tegas enggan memberi fatwa. Baginya, kedudukan kewangan pemerintah Damsyik itu belum sampai ke peringkat terpaksa menggunakan harta rakyat. Imam al-Nawawi menghembuskan nafas terakhir pada 24 Rejab 676 Hijrah dalam usia yang masih muda iaitu 45 tahun. Sepanjang hidupnya sebagai ulama yang gigih mencurahkan ilmu kepada masyakat tanpa takut ancaman atau mengambil kesempatan, memungkinkan beliau tidak sempat memikirkan soal berumah tangga. Imam al-Nawawi diberi gelaran Muhyiddin (yang menghidupkan agama). Namun ironisnya, beliau sangat membenci gelaran tersebut¤

 

         Zuraimi Ismail

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

_________________________________________________________________

Read 7158 times