BERANI KERANA SUNNAH
- Ditulis oleh Umar Muhammad Noor
- Kategori Sirah Rasulullah
- Read 15547 times
BUKIT Uhud pada tahun 3 Hijrah menyaksikan peristiwa yang amat menyedihkan. Tentera Muslimin yang memang sedikit jumlahnya dibandingkan dengan pasukan Musyrikin dari Makkah mengalami kekalahan, walaupun mencapai kemenangan pada pusingan pertama. Situasinya agak gawat, sehingga ramai para sahabat melarikan diri dari medan pertempuran.
Rasulullah s.a.w. sendiri menderita luka-luka yang bukan sedikit. Gigi depan Baginda patah, muka Baginda berlumuran darah. Ketika sedang menyandarkan tubuh Baginda untuk berehat, tiba-tiba Ubay bin Khalaf berteriak, “Mana Muhammad? Aku tidak ingin selamat jika dia selamat!” Tokoh kafir itu lengkap dengan baju besi, menunggang kuda dan bersenjata lengkap.
Dia pernah bersumpah sewaktu di Makkah bahawa dia akan membunuh Nabi s.a.w. dengan tangannya. Ketika itu Rasulullah s.a.w. mendengar apa yang diucapkannya, dan dengan yakin Baginda bersabda yang bermaksud, “Sebaliknya, aku yang akan membunuhnya.” Tiba masanya dunia melihat janji siapa yang lebih tepat. Ubay bin Khalaf terang-terangan mencabar Nabi s.a.w. Para sahabat berpendapat Baginda tidak perlu menyahut cabaran tersebut.
Seorang sahabat yang pada waktu itu bersama Nabi s.a.w. berkata, “Wahai Rasulullah, izinkan salah seorang daripada kami membunuhnya.” Namun Baginda menolak dan menjawab, “Jangan, biarkan dia.” Jiwa yang dipenuhi keberanian dan selalu berlindung kepada Allah daripada sifat pengecut itu bangkit dan mengambil tombaknya. Tidak lama kemudian Ubay bin Khalaf tumbang akibat tusukan tombak Nabi s.a.w. di lehernya.
Keberanian Rasulullah s.a.w.
Kisah bersejarah ini memperlihatkan keberanian yang bersemayam di jiwa besar Rasulullah s.a.w. Kita akan menemui banyak lagi kisah-kisah serupa dalam perjalanan hidup Nabi s.a.w. sehingga sifat ini seolah-olah menjadi keperibadian dan identiti Baginda yang paling menonjol. Al-Qadi ‘Iyad dalam al-Syifa meriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib katanya, “Setiap kali peperangan berkecamuk dan situasi mulai menakutkan, kami semua berlindung di belakang Nabi s.a.w. Tidak ada orang yang lebih dekat dengan musuh daripada Baginda.” Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik berkata, “Rasulullah s.a.w. ialah manusia yang paling tampan, paling berani dan paling pemurah."
Suatu malam penduduk Madinah dikejutkan oleh suara yang menakutkan, Rasulullah s.a.w. segera keluar mendahului mereka untuk melihatnya.” Sebagai seorang Muslim, kita dituntut mencontohi sunah ini dan tampil sebagai para pemberani dalam segala aspek kehidupan. Kita mesti berani menghadapi masalah, berani mencuba perkara-perkara baru, berani mengambil risiko, berani memperjuangkan idealisme, dan berani melakukan segalanya yang bersifat amar makruf nahi mungkar. Muslim seorang pemberani bukan penakut. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Sa’ad Abi Waqqas bahawa Rasulullah s.a.w selalu berdoa dan memerintahkan umatnya untuk membaca doa ini yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah, malas, penakut dan tua. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian.”
Berani dan Tawakal
Berani bukan bererti bertindak tanpa pertimbangan, kerana sikap seperti itu lebih tepat disebut “kegilaan”. Dan berani bukan pula terlalu banyak pertimbangan, sehingga tidak pernah bertindak. Asas yang mendasari keberanian haruslah pertimbangan matang, namun di iringi dengan tawakal sempurna kepada takdir Allah s.w.t. Syeikh Abdul rahman Habannakah, seorang ulama dan pemikir dari Syria, dalam bukunya al-Akhlaq al-Islamiyah wa Usuluha mendefinisikan keberanian sebagai “kekuatan dalam jiwa yang mendorong untuk melangkah dengan cerdas ke tempat-tempat berbahaya demi memperoleh kebaikan atau menolak keburukan, meskipun tempat itu dipastikan atau dikhuatirkan dapat membinasakan dirinya.” Definisi ini mensyaratkan kecerdasan sebagai unsur terpenting keberanian dan menjadi garis pemisah antara berani dan “sembrono” (tahawwur) atau “kegilaan” (junun).
Seorang Muslim pemberani meletakkan asas setiap tindakannya dengan keyakinan penuh bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh Allah s.w.t. dengan qadak dan qadar-Nya. Keyakinan ini memberikan ketenangan dalam hati meskipun ia sedang menghadapi, bahkan sedang berada dalam situasi yang paling mencemaskan. Imannya selalu membisikkan bahawa Allah s.w.t menentukan ajalnya jika memang pada waktu itu ajalnya, maka dia tidak akan mampu melarikan diri. Jika bukan pada waktunya, maka ia pasti selamat melalui kesulitan yang sangat besar ini.
Ia selalu mengulang-ulang firman Allah s.w.t, “Katakanlah: sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang yang beriman harus bertawakal.” (Surah al-Tawbah 9: 51) Oleh sebab posisinya yang sangat vital, konsep qadak dan qadar ini menjadi salah satu rukun terpenting dalam struktur keimanan Muslim. Rasulullah s.a.w. dengan penuh perhatian menanamkan akidah ini kepada sahabat-sahabat kecil yang ada di sekitar Baginda. Baginda bersabda kepada Abdullah bin Abbas yang pada ketika itu masih berusia sekitar 10 tahun, yang bermaksud: “Wahai anak, aku akan mengajarmu beberapa kalimah (yang harus kamu ingat). Jagalah (perintah dan larangan) Allah, maka Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, maka kau akan menemui-Nya selalu di hadapanmu.
Jika kau hendak meminta, maka mintalah kepada Allah.” “Ketahuilah, andai semua manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali sesuai dengan apa yang telah Allah tentukan. Dan andai mereka berkumpul untuk menyakitimu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali sesuai dengan apa yang telah Allah tentukan untukmu.” (riwayat al-Tirmizi) Bibit-bibit keberanian yang disemai dalam jiwa sahabat-sahabat kecil ini dipupuk dengan baik melalui suri teladan yang ditampilkan para sahabat Nabi s.a.w. yang lebih dewasa. Dengan keberanian luar biasa Zubir bin al-Awwam, Khalid bin al-Walid, Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan lain-lain menerjah musuh demi membela agama dan umat yang dicintai.
Kisah-kisah keberanian mereka di medan perang ini kemudian diceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka agar melahirkan tokoh-tokoh pemberani yang baru. Sering kali dikatakan bahawa para sahabat Nabi s.a.w. sangat serius menceritakan maghazi kepada anak-anak dan murid-murid mereka sebagaimana mereka mengajarkan al-Quran. Hasilnya, Islam tersebar dari jazirah Arab hingga ke Afrika dan ke eropah, sehingga umat Islam berjaya mengalahkan empayar Rom dan Parsi yang menguasai dunia berabad-abad, hanya dalam beberapa puluh tahun saja.
Berani Bertegas
Keberanian merupakan induk bagi kebanyakan akhlak-akhlak terpuji, salah satunya bersikap tegas. Sikap berani bertegas ini sangat diperlukan setiap Muslim pada era globalisasi dan dunia moden hari ini. Pemuda yang tidak memiliki ketegasan akan hanyut bersama arus budaya Barat yang merosak kehidupan seperti pergaulan bebas, dadah, minuman keras, merokok dan lain-lain. Keberanian diperlukan untuk tegas berkata “tidak” kepada setiap rayuan dan ajakan yang akan merosakkan dirinya.
Setiap pemuda Muslim harus menjadi individu yang berkeperibadian kuat dan tidak akan bersikap ikut-ikutan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi orang ikut-ikutan sambil berkata: ‘Jika orang berbuat baik, aku akan berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, aku akan ikut jahat.’ Akan tetapi, tegaskan pendirian kamu: ‘Jika orang berbuat baik, kamu juga berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, kamu tidak ikut menjadi jahat.’” (riwayat al-Tirmizi) Pemuda Muslim yang penuh keberanian akan giat bekerja untuk mewujudkan tujuan-tujuan luhur kemanusiaan.
Jiwa besar mereka mendorong diri enggan melarutkan diri dalam kesenangan dan kelalaian, sementara umatnya, bangsanya dan masyarakatnya begitu memerlukan bantuan dan tenaganya. Orang dewasa yang tidak memiliki ketegasan akan terjatuh dalam pujuk rayu kemaksiatan yang sering menawarkan diri di tempat kerjanya seperti rasuah, korupsi dan lain-lain.
Bersedia Menerima Kritikan
Keberanian juga melahirkan sikap terbuka bagi setiap nasihat dan koreksi yang ditujukan kepada nya. Ini adalah kerana tidak semua berani melihat kekurangan dirinya dan menerima kenyataan tersebut, apa lagi jika kenyataan itu didengarnya daripada orang lain. Kebanyakan kita mentafsirkan kritikan sebagai hinaan dan nasihat sebagai celaan sehingga reaksi yang sering kita lakukan adalah membalas hinaan tersebut. Padahal orang berjiwa besar selalu berani menerima kritikan sebagai suatu keprihatinan dan tanda cinta. Bilal bin Sa’ad seorang tokoh tabiin di Syam berkata, “Seorang teman yang setiap kali berjumpa memberitahu keburukanmu lebih baik daripada seorang teman yang setiap kali berjumpa memberimu wang.” Umar al-Khathab berkata, “Orang yang paling saya cintai ialah seseorang yang menunjukkan kesalahan-kesalahan saya.” Malah sahabat Nabi s.a.w ini bersedia mengakui kekeliruannya di hadapan umum ketika seorang wanita membantah niatnya untuk membatasi kadar mas kahwin. Tanpa malu-malu dan segan, Umar berkata, “Wanita ini benar, Umar keliru.”
Bukan hanya itu, jiwa besar Umar mendorongnya untuk mencari dan bertanya kepada orang lain tentang dirinya. Padahal ia seorang Amirul Mukminin, sahabat Nabi s.a.w. yang terbaik selepas Abu Bakar al-Siddiq, salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga, dan panglima perang yang berjaya mengalahkan raja-raja Parsi dan Rom. Dia bertanya kepada Huzaifah bin al-Yaman, “Kamu orang yang paling mengetahui sifat-sifat munafik. Adakah sifat-sifat munafik itu ada pada saya?”
Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Ummu Salamah tentang sebahagian sahabatnya yang tidak akan bertemu dengan Baginda di akhirat. Ertinya, mereka tidak akan masuk syurga. Mendengar berita itu, Umar segera menemui Ummu Salamah dan bertanya, “Apakah saya termasuk orang yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w.?” Jawab Ummu Salamah, “Tentunya kamu tidak termasuk golongan itu.Dan aku tidak akan membuka rahsia ini kepada orang lain selain kamu.” ¤
Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada Majalah Solusi Isu No.4
Umar Muhammad Noor
Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.